- (c) bahawa kewajipan seseorang pengendali berlesen di bawah Bab 4 Bahagian ini dipatuhi sepenuhnya.
(2) Seseorang pengendali berlesen yang tidak mematuhi mana-mana syarat yang dikenakan pada lesen pengendali di bawah seksyen ini melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak kurang daripada satu ribu ringgit tetapi tidak lebih daripada lima ratus ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
Pembaharuan lesen pengendali
59. (1) Tertakluk kepada subseksyen (2), mana-mana pengendali berlesen di bawah Bab ini, yang memuaskan hati Ketua Pengarah Pengangkutan Awam Darat bahawa semenjak tarikh pengeluaran lesen pengendali itu, dia telah dengan sah dan berterusan mengadakan secara memuaskan dan cekap perkhidmatan kenderaan barangan mengikut terma dan syarat lesen pengendali itu, hendaklah apabila membuat permohonan kepada Ketua Pengarah Pengangkutan Awam Darat bagi pembaharuan lesen pengendali itu, diberi keutamaan daripada semua permohonan lain bagi lesen pengendali untuk menjalankan perkhidmatan sedemikian atau perniagaan mengendalikan atau mengadakan perkhidmatan sedemikian yang sebahagian besarnya adalah sama dengan perkhidmatan yang telah dikendalikan atau diadakan oleh pengendali berlesen itu.
(2) Tertakluk kepada subseksyen (3) dan (4), Ketua Pengarah Pengangkutan Awam Darat boleh, apabila suatu permohonan dibuat oleh pengendali berlesen itu, memperbaharui lesen pengendali itu dengan apa-apa syarat yang difikirkan patut oleh Ketua Pengarah Pengangkutan Awam Darat atau menolak permohonan itu.
(3) Sesuatu permohonan bagi pembaharuan lesen pengendali di bawah subseksyen (1) hendaklah dibuat sekurang-kurangnya sembilan puluh hari sebelum tarikh habis tempoh lesen pengendali yang sedia ada dan hendaklah disertai dengan fi pembaharuan yang ditetapkan.