Pergi ke kandungan

Laman:Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).pdf/72

Daripada Wikisumber
Laman ini telah dibaca pruf
72
Undang-Undang Malaysia
Akta 715


(2) Jika pemohon bagi suatu lesen di bawah Bab ini tidak menzahirkan maklumat yang dikehendaki di bawah subseksyen (1), dia melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.

Pemindahan lesen dilarang

49. (1) Tertakluk kepada subseksyen (3), suatu lesen yang dikeluarkan di bawah Bab ini hendaklah menjadi khas kepada pemegang lesen itu, dan tidak boleh dipindahkan atau diserahhakkan.

(2) Seseorang pemegang lesen yang melanggar subseksyen (1) melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.

(3) Walau apa pun perenggan 45(1)(c), Ketua Pengarah Pengangkutan Awam Darat boleh, sekiranya berlaku likuidasi pemegang lesen itu atau, apabila seorang penerima atau pengurus dilantik berhubungan dengan perniagaan mengadakan perkhidmatan kenderaan pelancongan pemegang lesen itu atau, jika atas apa-apa sebab Ketua Pengarah Pengangkutan Awam Darat berpuas hati bahawa adalah tidak adil untuk tidak berbuat demikian, membenarkan pemindahan lesen itu.

Perlindungan kepentingan awam

50. Kecuali sebagaimana yang diperuntukkan dengan nyata selainnya, tiada apa jua dalam Bab ini boleh disifatkan sebagai memberi pemegang lesen apa-apa hak yang berterusan kepada apa-apa faedah yang berbangkit daripada Bab ini, atau daripada mana-mana lesen yang dikeluarkan atau disifatkan telah dikeluarkan di bawahnya atau daripada mana-mana syarat yang dikenakan pada mana-mana lesen itu.