Pergi ke kandungan

Laman:Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).pdf/71

Daripada Wikisumber
Laman ini telah dibaca pruf
Pengangkutan Awam Darat
71


Larangan menggunakan kenderaan pelancongan yang tidak dilesenkan

47. (1) Tiada seorang pun boleh menggunakan suatu kenderaan motor atau menyebabkan atau membenarkan suatu kenderaan motor digunakan sebagai kenderaan pelancongan melainkan jika berkuat kuasa berkenaan dengan kenderaan itu suatu lesen yang dikeluarkan di bawah Bab ini yang membenarkan penggunaan sedemikian, atau selainnya mengikut lesen itu dan apa-apa syarat yang dikenakan pada lesen itu.

(2) Seseorang yang melanggar subseksyen (1) melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi lima puluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Kepentingan pengangkutan yang lain hendaklah dizahirkan oleh pemohon

48. (1) Tanpa menjejaskan seksyen 37 atau 44, mana-mana orang yang memohon bagi suatu lesen atau bagi pengubahan suatu lesen atau mana-mana syarat lesen itu hendaklah menzahirkan atau mengemukakan dalam borang permohonan yang ditentukan oleh Ketua Pengarah Pengangkutan Awam Darat—

(a) mana-mana lesen atau lesen pengendali lain yang telah dikeluarkan kepadanya di bawah Akta ini;
(b) apa jua pun kepentingan kewangan yang dipunyai olehnya dalam perniagaan mana-mana orang lain yang mengadakan perkhidmatan atau kemudahan bagi pengangkutan awam darat di dalam Semenanjung Malaysia; dan
(c) apa-apa kepentingan atau hak yang dipunyai oleh mana-mana orang lain dalam perniagaannya dan apa-apa hak yang dipunyai oleh orang yang lain itu untuk menamakan mana-mana pengarah syarikat pemohon itu.