ini hendaklah disifatkan sebagai telah dibatalkan mulai dari tarikh pemegang lesen itu terhenti dilesenkan sebagai suatu pengusahaan pelancongan.
(4) Menjadi kewajipan setiap pemegang lesen untuk memberitahu Ketua Pengarah Pengangkutan Awam Darat, tidak lewat daripada dua hari selepas berlakunya kejadian yang dinyatakan dalam subseksyen (3), mengenai berlakunya kejadian itu dan tarikh kuat kuasa kejadian itu, dan mengembalikan lesen yang dikeluarkan di bawah Bab ini kepada Ketua Pengarah Pengangkutan Awam Darat mengikut subseksyen (5).
(5) Jika suatu lesen—
- (a) telah dibatalkan, ia tidak mempunyai kuat kuasa dari tarikh pembatalan itu dan pemegang lesen hendaklah dalam masa empat belas hari dari tarikh pembatalan lesen itu mengembalikan lesen itu kepada Ketua Pengarah Pengangkutan Awam Darat; atau
- (b) telah digantung, ia tidak mempunyai kuat kuasa dalam tempoh penggantungan itu.
(6) Seseorang pemegang lesen yang melanggar subseksyen (4) melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.
Larangan berhubungan dengan lesen yang digantung
46. (1) Seseorang pemegang lesen yang lesennya telah digantung di bawah seksyen 45 tidak boleh, semasa tempoh penggantungan itu, menggunakan, atau menyebabkan atau membenarkan penggunaan kenderaan pelancongan yang dengannya lesen itu berkaitan.
(2) Seseorang pemegang lesen yang melanggar subseksyen (1) melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.