Pengelakan kontrak
249A. Apa-apa kontrak bagi pengangkutan seorang penumpang di dalam suatu kenderaan perkhidmatan awam, kenderaan pelancongan atau kereta api hendaklah, setakat yang ia berupa sebagai menidakkan atau membataskan tanggungan mana-mana orang berkenaan dengan mana-mana tuntutan yang mungkin selainnya boleh dibuat secara sah terhadap orang itu berkenaan dengan kematian atau kecederaan badan penumpang itu semasa dibawa di dalam, memasuki atau turun dari kenderaan perkhidmatan awam, kenderaan pelancongan atau kereta api itu atau yang berupa mengenakan apa-apa syarat berkenaan dengan penguatkuasaan mana-mana tanggungan sedemikian, adalah tidak sah.
Menteri boleh memberi kuasa kepada mana-mana orang untuk menjalankan fungsi Ketua Pengarah Pengangkutan Awam Darat
249B. Walau apa pun yang terkandung dalam Akta ini, Menteri boleh melalui peraturan-peraturan memberi kuasa kepada mana-mana orang, atas syarat yang disifatkannya layak, untuk menjalankan apa-apa fungsi Ketua Pengarah Pengangkutan Awam Darat di bawah Akta ini berkenaan dengan pelesenan terminal, pelesenan pengendali perkhidmatan kenderaan perkhidmatan awam, pelesenan kenderaan pelancongan, pelesenan pengendali perkhidmatan kenderaan barang, pelesenan pengendali perkhidmatan kereta api dan pembukaan kereta api, pengumpulan bayaran atau caj di bawah Akta ini.
Arahan oleh Ketua Pengarah Pengangkutan Awam Darat
250. (1) Ketua Pengarah Pengangkutan Awam Darat boleh dari semasa ke semasa mengeluarkan arahan secara bertulis kepada mana-mana orang, sebagaimana yang diperuntukkan dalam Akta ini, mengenai pematuhan atau ketidakpatuhan mana-mana syarat suatu lesen atau lesen pengendali atau mana-mana peruntukan Akta ini, termasuk untuk meremedikan kemungkiran suatu syarat lesen atau lesen pengendali itu atau mana-mana peruntukan Akta ini.
(2) Sebelum membuat suatu arahan di bawah subseksyen (1), Ketua Pengarah Pengangkutan Awam Darat hendaklah mengeluarkan