Peruntukan berhubungan dengan pelantikan di bawah seksyen 194 atau 195
196. (1) Seseorang yang dilantik oleh Ketua Pengarah Pengangkutan Awam Darat di bawah perenggan 194(1)(a) atau 195(1)(c) hendaklah dilantik selama apa-apa tempoh yang ditentukan oleh Ketua Pengarah Pengangkutan Awam Darat, tetapi tidak melebihi, dalam apa-apa hal, dua tahun, tetapi boleh dilantik semula oleh Ketua Pengarah Pengangkutan Awam Darat dengan kelulusan Menteri bagi tiga tempoh berturut-turut yang lanjut yang tidak melebihi satu tahun bagi setiap tempoh, dan hendaklah dalam tempoh pelantikan atau pelantikan semula itu memegang jawatannya selama dipersetujui oleh Ketua Pengarah Pengangkutan Awam Darat.
(2) Terma dan syarat pelantikan yang disebut dalam subseksyen (1) hendaklah, tertakluk kepada perintah yang di bawahnya pelantikan itu dibuat dan kepada subseksyen (1), ditentukan oleh Ketua Pengarah Pengangkutan Awam Darat dan hendaklah mengikat pemegang lesen, pengendali berlesen, pemegang lesen terminal atau pemegang lesen perniagaan pengantaraan yang berkenaan.
(3) Seseorang yang memegang apa-apa lantikan yang disebut dalam subseksyen (1) tidak dikenakan apa-apa obligasi atau tanggungan semata-mata oleh sebab dia memegang lantikan sedemikian.
(4) Jika seorang penerima atau pengurus telah dilantik berkenaan dengan seorang pemegang lesen, pengendali berlesen, pemegang lesen terminal atau pemegang lesen perniagaan pengantaraan oleh Mahkamah Tinggi di bawah perenggan 194(1)(b), semua kos, caj dan perbelanjaan yang sepatutnya, termasuk saraan penerima atau pengurus itu, hendaklah dibayar daripada aset pemegang lesen, pengendali berlesen, pemegang lesen terminal atau pemegang lesen perniagaan pengantaraan itu dengan diberi keutamaan daripada segala tuntutan lain.