(4) Jika suatu aduan telah dibuat kepada Ketua Pengarah Pengangkutan Awam Darat di bawah seksyen ini, Ketua Pengarah Pengangkutan Awam Darat boleh menjalankan siasatan mengenai responden itu bagi maksud untuk memutuskan—
- (a) sama ada Ketua Pengarah Pengangkutan Awam Darat mempunyai kuasa untuk menyiasat perkara yang dengannya aduan itu adalah berhubungan; atau
- (b) sama ada Ketua Pengarah Pengangkutan Awam Darat patut, mengikut budi bicaranya, menyiasat perkara itu.
(5) Jika Ketua Pengarah Pengangkutan Awam Darat memutuskan untuk tidak menyiasat, atau tidak menyiasat selanjutnya, suatu perkara yang dengannya aduan itu adalah berhubungan, ia hendaklah dengan secepat yang dapat dilaksanakan dan mengikut apa-apa cara yang difikirkannya patut, memberitahu pengadu dan responden mengenai keputusan itu dan sebab bagi keputusan itu.
Penjalanan penyiasatan
163. (1) Sebelum memulakan sesuatu penyiasatan mengenai suatu perkara yang dengannya aduan itu adalah berhubungan, Ketua Pengarah Pengangkutan Awam Darat hendaklah memberitahu responden bahawa perkara itu akan disiasat.
(2) Suatu penyiasatan di bawah Bahagian ini hendaklah dijalankan sebagaimana yang difikirkan patut oleh Ketua Pengarah Pengangkutan Awam Darat.
(3) Ketua Pengarah Pengangkutan Awam Darat boleh, bagi maksud suatu penyiasatan, mendapatkan maklumat daripada mana-mana orang yang difikirkannya patut.
(4) Tertakluk kepada subseksyen (5), tidaklah perlu bagi seorang pengadu atau responden untuk diberi peluang untuk hadir di hadapan Ketua Pengarah Pengangkutan Awam Darat berkaitan dengan penyiasatan itu.