Pergi ke kandungan

Laman:Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).pdf/174

Daripada Wikisumber
Laman ini telah dibaca pruf
174
Undang-Undang Malaysia
Akta 715


(5) Ketua Pengarah Pengangkutan Awam Darat tidak boleh, hasil daripada penyiasatan itu, membuat dapatan yang menentang seorang pengadu atau responden melainkan jika ia telah memberi pengadu atau responden itu peluang untuk membuat penghujahan mengenai perkara yang dengannya penyiasatan itu adalah berhubungan dalam tempoh masa yang tidak kurang daripada tiga puluh hari.

(6) Ketua Pengarah Pengangkutan Awam Darat hendaklah menimbangkan penghujahan yang dibuat oleh pengadu atau responden itu di bawah subseksyen (5) sebelum membuat keputusannya.

Laporan tentang penyiasatan

164. (1) Selepas tamatnya suatu penyiasatan, Ketua Pengarah Pengangkutan Awam Darat hendaklah menyediakan dan memberikan suatu laporan kepada Menteri.

(2) Laporan di bawah subseksyen (1) hendaklah meliputi—

(a) penjalanan penyiasatan yang berkenaan;
(b) apa-apa dapatan yang dibuat oleh Ketua Pengarah Pengangkutan Awam Darat hasil daripada penyiasatan itu;
(c) keterangan dan bahan lain yang berdasarkannya dapatan itu dibuat; dan
(d) apa-apa perkara lain yang berhubungan dengan atau, berbangkit daripada, penyiasatan itu sebagaimana yang difikirkan patut oleh Ketua Pengarah Pengangkutan Awam Darat atau sebagaimana yang diarahkan oleh Menteri.

Penyiaran laporan

165. Menteri boleh mengarahkan Ketua Pengarah Pengangkutan Awam Darat supaya menyiarkan suatu laporan mengenai suatu penyiasatan jika Menteri berpuas hati bahawa penyiaran itu adalah perlu demi kepentingan negara atau awam.