Pergi ke kandungan

Laman:Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).pdf/172

Daripada Wikisumber
Laman ini telah dibaca pruf
172
Undang-Undang Malaysia
Akta 715


Bab 3
Penyiasatan

Penyiasatan oleh Ketua Pengarah Pengangkutan Awam Darat

161. Walau apa pun peruntukan mana-mana undang-undang bertulis yang lain, Ketua Pengarah Pengangkutan Awam Darat hendaklah menyiasat apa-apa perkara mengenai pentadbiran Akta ini jika—

(a) Menteri mengarahkan Ketua Pengarah Pengangkutan Awam Darat supaya menjalankan suatu penyiasatan mengenai apa-apa kesalahan di bawah Akta ini yang telah dilakukan atau mungkin dilakukan; atau
(b) Ketua Pengarah Pengangkutan Awam Darat mempunyai alasan untuk mempercayai bahawa suatu kesalahan di bawah Akta ini telah, sedang atau akan dilakukan.

Aduan kepada Ketua Pengarah Pengangkutan Awam Darat

162. (1) Ketua Pengarah Pengangkutan Awam Darat boleh menjalankan suatu penyiasatan mengenai perkara yang disebut dalam seksyen 161 apabila diterima aduan bertulis daripada seseorang.

(2) Aduan itu hendaklah menyatakan orang yang terhadapnya aduan itu dibuat (disebut sebagai “responden”).

(3) Jika menjadi ternyata kepada Ketua Pengarah Pengangkutan Awam Darat bahawa—

(a) seseorang berhasrat untuk membuat suatu aduan; dan
(b) orang itu memerlukan bantuan untuk merumuskan aduan itu atau mengubahnya ke dalam bentuk bertulis,

menjadi kewajipan Ketua Pengarah Pengangkutan Awam Darat untuk mengambil langkah yang munasabah untuk memberikan bantuan yang sesuai kepada orang itu.