Pergi ke kandungan

Laman:Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).pdf/154

Daripada Wikisumber
Laman ini telah dibaca pruf
154
Undang-Undang Malaysia
Akta 715


Bab 9
Pelbagai: peruntukan penguatkuasaan khusus, dsb.

Penalti am bagi kemungkiran Bahagian IV, kecuali Bab 4, dan perundangan subsidiari

133. Mana-mana orang yang melanggar atau tidak mematuhi mana-mana peruntukan Bahagian ini, kecuali Bab 4, atau mana-mana perundangan subsidiari yang dibuat di bawah Akta ini yang berhubungan dengan peruntukan itu melakukan suatu kesalahan dan, jika tiada penalti khas diperuntukkan dengan nyata dalam Bahagian ini, boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga bulan atau kedua-duanya.

Lien bagi tambang, tambang muatan dan caj lain

134. (1) Jika, atas permintaan yang dibuat oleh atau bagi pihak seseorang pengendali berlesen, mana-mana orang tidak membayar apa-apa jumlah wang yang kena dibayar kepada atau yang boleh didapatkan oleh pengendali berlesen itu daripadanya berkenaan dengan apa-apa barangan, sama ada jumlah wang itu kena dibayar bagi pengangkutan, pengendalian, penstoran, demuraj, atau caj lain, atau sebagai pembayaran balik apa-apa jumlah wang yang dibelanjakan oleh pengendali berlesen atau apa-apa jumlah wang lain walau bagaimana sekalipun ia berbangkit, pengendali berlesen itu boleh menahan keseluruhan atau mana-mana barangan itu atau, jika barangan itu telah dialihkan dari premis kereta api itu, mana-mana barangan lain orang itu yang ketika itu atau selepas itu berada dalam milikan pengendali berlesen itu.

(2) Apabila mana-mana barangan telah ditahan di bawah subseksyen (1), pengendali berlesen itu boleh—

(a) dalam hal barangan yang cepat rosak, menjual barangan itu dengan serta-merta melalui lelong awam atau perjanjian persendirian sebagaimana yang difikirkannya suai manfaat; atau