(3) Ketua Pengarah Pengangkutan Awam Darat hendaklah, dengan secepat yang dapat dilaksanakan, membuat pemberitahuan yang perlu dalam Warta berkenaan dengan perubahan dalam struktur tambang, tambang muatan atau caj yang sedia ada.
Bab 8
Kesalahan khusus berhubungan dengan kereta api
Mabuk atau kemungkiran kewajipan oleh pegawai kereta api
121. Mana-mana pegawai kereta api yang—
- (a) berada dalam keadaan mabuk semasa menunaikan apa-apa kewajipannya; atau
- (b) enggan atau abai untuk melaksanakan kewajipannya atau melaksanakan kewajipannya dengan cara yang tidak wajar, jika kewajipannya adalah sedemikian sehingga keadaan mabuk atau keengganan, pengabaian atau pelaksanaan tidak wajar kewajipannya itu, mengikut mana-mana yang berkenaan, berkemungkinan akan membahayakan keselamatan mana-mana orang atau barangan yang dibawa di atas kereta api, melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.
Penggunaan tidak wajar alat isyarat kecemasan
122. Mana-mana orang yang menggunakan secara tidak wajar alat isyarat kecemasan yang disediakan oleh seseorang pengendali berlesen dalam mana-mana koc kereta api atau pada mana-mana tren kereta api bagi kegunaan penumpang untuk memberhentikan tren kereta api itu dalam hal kecemasan melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga bulan atau kedua-duanya.