Pergi ke kandungan

Laman:Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).pdf/146

Daripada Wikisumber
Laman ini telah dibaca pruf
146
Undang-Undang Malaysia
Akta 715


Jadual waktu dan senarai tambang hendaklah ditampalkan di stesen kereta api

119. Tiap-tiap pengendali berlesen hendaklah menyimpan di tiap-tiap stesen kereta api suatu salinan jadual waktu yang berkuat kuasa pada masa itu pada kereta api dan suatu senarai tambang am yang boleh dikenakan untuk membuat perjalanan dari stesen kereta api itu, yang senarai itu ditampalkan di tiap-tiap tempat di mana tiket lazimnya dikeluarkan kepada penumpang di stesen kereta api itu, dan pengendali berlesen itu hendaklah membenarkan semua orang untuk memeriksa jadual waktu atau senarai tambang am itu dengan percuma pada setiap waktu yang munasabah.

Pengemukaan memorandum bagi apa-apa perubahan dalam struktur tambang yang sedia ada, dsb.

120. (1) Seseorang pengendali berlesen hendaklah menyediakan dan mengemukakan kepada Ketua Pengarah Pengangkutan Awam Darat suatu memorandum bagi apa-apa perubahan dalam struktur tambang, tambang muatan atau caj yang sedia ada yang diluluskan di bawah seksyen 84, 86 atau 101, untuk kelulusan Menteri, atas syor Ketua Pengarah Pengangkutan Awam Darat.

(2) Apabila struktur tambang, tambang muatan atau caj yang baharu diluluskan oleh Menteri di bawah subseksyen (1), pengendali berlesen itu hendaklah dalam apa-apa tempoh yang tidak kurang daripada tiga puluh hari sebelum berkuat kuasanya tambang, tambang muatan atau caj yang baharu itu—

(a) menyiarkan struktur tambang, tambang muatan atau caj yang baharu itu dalam sekurang-kurangnya dua akhbar nasional, yang satu daripadanya hendaklah dalam bahasa kebangsaan; dan
(b) memastikan bahawa struktur tambang, tambang muatan atau caj yang baharu itu ditampalkan untuk perhatian orang awam mengikut seksyen 119.