Bab 7
Tambang dan tambang muatan
Tambang
117. (1) Tertakluk kepada subseksyen (2) dan (3), tiada seorang pun boleh menuntut, mengutip dan memegang simpan apa-apa tambang berhubung dengan perkhidmatan kereta api yang melebihi apa-apa kadar tambang yang diluluskan oleh Menteri di bawah seksyen 84, 86, 101 atau 120.
(2) Menteri boleh, atas syor Ketua Pengarah Pengangkutan Awam Darat, mengecualikan mana-mana orang daripada pembayaran apa-apa tambang berhubung dengan perkhidmatan kereta api, tertakluk kepada apa-apa terma dan syarat yang difikirkannya patut.
(3) Tiada apa jua dalam seksyen ini boleh menghalang seseorang pengendali berlesen daripada mengecualikan mana-mana orang, selain orang yang dikecualikan oleh Menteri di bawah subseksyen (2), daripada membayar apa-apa tambang bagi apa-apa tempoh, jika suatu permohonan bagi pengecualian itu dibuat oleh pengendali berlesen itu dan permohonan itu diluluskan oleh Ketua Pengarah Pengangkutan Awam Darat secara bertulis, tertakluk kepada apa-apa syarat yang difikirkannya patut.
(4) Seseorang yang menuntut, mengutip atau memegang simpan atau cuba untuk menuntut, mengutip atau memegang simpan apa-apa tambang dengan melanggar subseksyen (1) melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi satu ratus ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
(5) Tiada seorang pun boleh membuat perjalanan dengan kereta api tanpa terlebih dahulu membayar tambangnya dan mendapatkan tiket.
(6) Tiap-tiap orang yang bercadang untuk membuat perjalanan dengan kereta api hendaklah, selepas membayar tambangnya, diberi suatu tiket yang menyatakan kelas koc kereta api atau penginapan yang baginya, stesen atau tempat yang darinya, dan stesen atau tempat yang kepadanya, tambang itu dibayar.