atau pegawai pengangkutan awam darat dalam menjalankan suatu audit di bawah seksyen ini,
melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi dua ratus ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
Ketua Pengarah Pengangkutan Awam Darat hendaklah diberitahu mengenai apa-apa perubahan dalam kawalan pengendali berlesen, dsb.
113. (1) Menjadi kewajipan tiap-tiap pengendali berlesen, pada setiap masa, untuk memberitahu Ketua Pengarah Pengangkutan Awam Darat dengan serta-merta mengenai perkara yang berikut:
- (a) apa-apa perubahan dalam kawalan pengendali berlesen itu;
- (b) apa-apa pertikaian perindustrian antara pengendali berlesen itu dengan pekerjanya;
- (c) apa-apa kejadian kebakaran dalam premisnya;
- (d) apa-apa bencana alam semula jadi yang menjejaskannya;
- (e) apa-apa celaan atau denda yang dikenakan terhadap pengendali berlesen itu di bawah mana-mana undang-undang bertulis; dan
- (f) apa-apa prosiding atau tuntutan yang dimulakan atau dibuat terhadap pengendali berlesen itu yang mungkin mengakibatkan kesan buruk terhadap keadaan kewangannya atau pada keupayaannya untuk melaksanakan apa-apa syarat di bawah lesen pengendali itu.
(2) Bagi maksud perenggan (1)(a), “kawalan” berhubungan dengan seseorang pengendali berlesen, ertinya mempunyai kuasa, secara langsung atau tidak langsung, untuk mengarahkan pengurusan dan dasar pengendali berlesen itu.