(10) Seseorang pengendali berlesen yang melanggar subseksyen (8) atau (9) melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi lima ratus ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
Pemeriksaan
105. Selepas suatu kereta api telah dibuka, kereta api itu hendaklah diperiksa oleh orang yang dilantik oleh Ketua Pengarah Pengangkutan Awam Darat mengikut apa-apa cara dan pada apa-apa lat tempoh yang dinyatakan dalam peraturan-peraturan yang dibuat di bawah perenggan 252(1)(tao).
Kuasa untuk menutup kereta api setelah dibuka
106. (1) Jika selepas pemeriksaan suatu kereta api, orang yang dilantik oleh Ketua Pengarah Pengangkutan Awam Darat berpendapat bahawa penggunaan kereta api itu mungkin akan menyebabkan bahaya kepada orang awam atau kerosakan kepada barangan yang dibawa di atas kereta api itu, dia hendaklah memberitahu Ketua Pengarah Pengangkutan Awam Darat tentang pendapatnya berserta dengan alasan bagi pendapatnya itu.
(2) Ketua Pengarah Pengangkutan Awam Darat boleh sesudah itu mengarahkan supaya kereta api itu ditutup, atau dalam hal stok kereta, mengarahkan supaya stok kereta itu diberhentikan penggunaannya atau kereta api itu hanya digunakan atas apa-apa syarat yang difikirkan perlu oleh Ketua Pengarah Pengangkutan Awam Darat bagi keselamatan orang awam atau barangan yang dibawa di atas kereta api itu.
Pembukaan semula kereta api selepas penutupan
107. (1) Sesuatu kereta api yang diarahkan supaya ditutup tidak boleh dibuka semula sehingga ia telah diperiksa oleh orang yang dilantik oleh Ketua Pengarah Pengangkutan Awam Darat dan pembukaan semulanya telah diluluskan oleh Menteri.