Lintasan rata suwa
97. (1) Suatu syarikat kereta api boleh, mengikut budi bicaranya, atas permintaan yang dibuat oleh mana-mana orang, membina dan membuka lintasan rata suwa di mana-mana tempat di atas suatu landasan kereta api, dan boleh mengenakan syarat mengenai penggunaan lintasan rata suwa itu.
(2) Kos pembinaan suatu lintasan rata suwa dan sewa tahunan bagi penyenggaraan lintasan rata suwa itu hendaklah dibayar oleh orang yang baginya lintasan rata itu dibina.
(3) Syarikat kereta api itu boleh, sekiranya orang yang baginya lintasan rata suwa itu dibina tidak mematuhi syarat yang dikenakan, atau jika suai manfaat untuk berbuat demikian demi kepentingan kereta api itu, menutup mana-mana lintasan rata suwa.
(4) Menteri boleh membuat peraturan-peraturan di bawah perenggan 252(1)(tan) berkenaan dengan pembinaan, pembukaan dan penutupan dan syarat penggunaan lintasan rata suwa.
Lintasan rata kerja
98. (1) Menteri boleh, pada bila-bila masa atas syor Ketua Pengarah Pengangkutan Awam Darat, melalui pemberitahuan dalam Warta mengisytiharkan mana-mana jalan atau jalan kecil yang dilintasi oleh suatu landasan kereta api sebagai suatu “lintasan rata kerja”.
(2) Bilamana suatu perisytiharan telah dibuat di bawah subseksyen (1), syarikat kereta api itu hendaklah mengadakan di lintasan rata kerja itu, get atau sawar yang merintangi jalan atau jalan kecil itu, yang—
- (a) tidak boleh ditutup merintangi landasan kereta api itu; dan
- (b) hendaklah dikunci apabila tidak digunakan, yang kunci get atau sawar itu hendaklah disimpan oleh seorang pegawai kereta api.