pengertian seksyen 98), syarikat kereta api itu hendaklah menyebabkan get atau sawar yang baik dan berkesan didirikan dan disenggarakan di tempat di mana landasan kereta api merintangi jalan itu, dan hendaklah mengambil kerja orang yang patut untuk membuka dan menutup get atau sawar itu, yang get atau sawar itu hendaklah ditutup kepada jalan apabila stok kereta melintasi jalan itu.
(2) Ketua Pengarah Pengangkutan Awam Darat boleh, pada bila-bila masa, mengisytiharkan bahawa subseksyen (1) tidak terpakai bagi mana-mana lintasan yang dinyatakan dalam perisytiharan itu, dan dengan itu syarikat kereta api itu hendaklah dilepaskan daripada obligasi yang dikenakan oleh subseksyen (1) berkenaan dengan lintasan rata itu.
(3) Jika mana-mana perisytiharan sedemikian telah dibuat di bawah subseksyen (2), syarikat kereta api itu hendaklah mendirikan papan amaran di tepi jalan itu dan isyarat wisel di tepi landasan kereta api itu pada jarak yang sesuai dari lintasan rata itu, dan pemandu tiap-tiap enjin atau kenderaan bergerak yang lain hendaklah membunyikan wisel enjin atau kenderaan bergerak yang lainnya mengikut isyarat itu sebelum enjin atau kenderaan bergerak yang lain itu melintasi jalan itu.
(4) Syarikat kereta api itu tidaklah bertanggungan bagi apa-apa kerosakan yang disebabkan kepada mana-mana orang atau harta oleh laluan mana-mana enjin, kenderaan bergerak yang lain atau mana-mana stok kereta yang lain yang terpasang padanya yang melintasi jalan itu di mana-mana lintasan rata yang dinyatakan dalam perisytiharan di bawah subseksyen (2), melainkan jika terbukti bahawa pemandu enjin, kenderaan bergerak yang lain atau stok kereta yang lain itu tidak membunyikan wisel enjin, kenderaan bergerak yang lain atau stok kereta yang lainnya mengikut isyarat itu.
(5) Jika suatu Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri atau kerajaan tempatan membina suatu jalan yang merintangi suatu landasan kereta api yang sedia ada, Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri atau kerajaan tempatan yang bertanggungjawab bagi penyenggaraan jalan itu hendaklah bertanggungan untuk membayar kepada syarikat kereta api itu kos pembinaan mana-mana get atau sawar yang didirikan oleh syarikat kereta api itu di tempat di mana jalan itu merintangi landasan kereta api itu dan sewa tahunan bagi penyenggaraannya.