orang itu dalam tempoh dua belas bulan selepas tarikh penjualan atau pelupusan itu, hendaklah terlucut hak kepada Kerajaan Persekutuan.
Penentuan berat kenderaan yang berkaitan
82. (1) Menjadi sah bagi mana-mana pegawai polis yang diberi kuasa secara bertulis bagi maksud itu oleh Ketua Pegawai Polis, mana-mana pegawai pengangkutan jalan yang diberi kuasa secara bertulis bagi maksud itu oleh Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan atau mana-mana pegawai pengangkutan awam darat yang diberi kuasa secara bertulis bagi maksud itu oleh Ketua Pengarah Pengangkutan Awam Darat untuk menghendaki orang yang menjaga mana-mana kenderaan yang berkaitan untuk membenarkan kenderaan yang berkaitan itu ditimbang oleh pegawai itu, sama ada dengan muatan atau tanpa muatan, dan bagi berat yang dipindahkan ke jalan oleh mana-mana bahagian kenderaan yang berkaitan itu yang bersentuhan dengan jalan untuk diuji, dan bagi maksud itu boleh menghendaki pemandu kenderaan itu untuk memandunya dengan serta-merta ke mana-mana tempat yang lain untuk ditimbang.
(2) Apabila diminta oleh orang yang menjaga kenderaan yang berkaitan itu, pegawai polis yang diberi kuasa secara bertulis bagi maksud itu oleh Ketua Pegawai Polis, pegawai pengangkutan jalan yang diberi kuasa secara bertulis bagi maksud itu oleh Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan atau pegawai pengangkutan awam darat yang diberi kuasa secara bertulis bagi maksud itu oleh Ketua Pengarah Pengangkutan Awam Darat hendaklah, selepas selesai menimbang kenderaan itu, mengeluarkan pendua atau salinan perakuan yang berkenaan dengan penimbangan itu kepada orang itu.
(3) Seseorang yang menjaga mana-mana kenderaan yang berkaitan yang enggan atau tidak mematuhi kehendak di bawah subseksyen (1), atau mengalihkan muatannya atau mana-mana bahagiannya sebelum kenderaan yang berkaitan itu ditimbang dengan sewajarnya, melakukan suatu kesalahan dan boleh, dalam hal sabitan pertama, didenda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga bulan dan, dalam hal sabitan kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi satu ribu ringgit atau