Pergi ke kandungan

Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan/Bahagian Yang Pertama

Daripada Wikisumber

UNDANG-UNDANG NEGERI KELANTAN

UNDANG-UNDANG PERLEMBAGAAN TUBUH KERAJAAN KELANTAN

BAHAGIAN YANG PERTAMA

Jata Kelantan

IBRAHIM

(Tandatangan Kebawah Duli Yang Maha Mulia)
(MOHOR)

Bismillahhirahmanirrahim

Alhamdulillah Rabbil 'alamin, wassolatu wassalamu ala Sayyidina Muhammad wa ala Alihi wa Sahbihi ajmain.

ALWATHIQ BILLAHI IBRAHIM bagi Kerajaan dan Jajahan Kelantan dan segala Daerah Takluknya, Sultan dan Raja, Raja dan Ketua bagi Darjah Kerabat Yang Amat Dihormati, Raja dan Ketua bagi Darjah Kebesaran Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia, Raja dan Ketua bagi Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia dan Taulan bagi Darjah Kebesaran, Saint Michael dan Saint George Yang Amat Terbilang:

BAHAWA KITA telah mengaku di dalam Perjanjian yang KITA telah buat dengan YANG MAHA MULIA BAGINDA KING pada 21 haribulan Januari tahun 1948 (yang kemudian daripada ini digelarkan "Perjanjian Kelantan Tahun 1948"), hendaklah memerintah Negeri Kelantan KITA tertakluk kepada syarat-syarat satu Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan yang bertulis yang akan berbetulan dengan Perjanjian yang tersebut itu dan juga dengan Perjanjian yang lain lagi yang KITA telah buat dengan YANG MAHA MULIA BAGINDA KING pada 21 haribulan Januari Tahun 1948 (yang kemudian daripada ini digelarkan "Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu Tahun 1948"):

DAN BAHAWA KITA telah bersetuju di dalam Perjanjian Kelantan Tahun 1948, iaitu Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan yang bertulis yang tersebut itu akan dikurnia dan dijalankan oleh KITA dengan seberapa segeranya yang boleh atau, jika KITA fikir dikehendaki dengan Bahagian-Bahagian dari suatu masa ke suatu masa:

DAN BAHAWA kerana menurut pengakuan KITA yang diberi di dalam Perjanjian Kelantan Tahun 1948, mustahaklah dengan serta-merta KITA menguasa dan melantikkan dua buah Majlis Mesyuarat kerana membantu dan menasihat KITA di dalam pekerjaan memerintah Negeri Kelantan KITA, iaitu sebuah Majlis Mesyuarat Kerajaan yang akan digelar di dalam bahasa Inggeris "State Executive Council", dan sebuah Majlis Mesyuarat Negeri yang akan digelar di dalam bahasa Inggeris "Council of State" dan KITA sifatkan dikehendaki yang KITA patut mengadakan syaratsyarat lagi bagi memerintah dan kemakmuran Negeri Kelantan KITA:

DAN BAHAWA KITA memikirkan dikehendaki iaitu hal memberi kuasa dan pelantikan kedua-dua buah Majlis Mesyuarat yang tersebut itu dan mengadakan syarat-syarat lagi yang tersebut itu hendaklah dijadikan Bahagian Yang Pertama bagi Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan yang bertulis yang tersebut itu:

MAKA YANG DEMIKIAN ADALAH KITA, dengan hak-hak dan kuat kuasa kelebihan KITA sebagai Sultan dan Raja bagi Negeri Kelantan dengan nasihat, persertaan dan persetujuan Pegawai-Pegawai Melayu KITA Yang Kanan dan Orang-Orang Besar Negeri Kelantan KITA, dengan ini MENYATAKAN DAN MENITAHKAN dengan nama KITA, dan bagi pihak KITA, dan bagi dan kerana pihak Waris Ganti KITA, bagaimana yang kemudian ini tersebut:

UNDANG-UNDANG PERLEMBAGAAN TUBUH KERAJAAN

Bahagian Yang Pertama kepada Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan

1. Adapun Perkara-Perkara yang terkandung di dalam ini (yang kemudian daripada ini digelarkan "Bahagian ini") hendaklah menjadi Bahagian Yang Pertama kepada Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Negeri Kelantan yang akan digelarkan di dalam bahasa Inggeris "The Laws of the Constitution of Kelantan" dan hendaklah dibaca dengan terkena kepada Perlembagaan Persekutuan dan hendaklah berjalan kuasanya dengan serta-merta.

2. (Dipotong oleh G.N. No. 181/1959).

Pindaan kepada Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan

3. (1) Syarat-syarat yang berikut daripada Perkara ini hendaklah berjalan kuat kuasa berkenaan dengan pindaan Bahagian ini.

(2) Syarat-syarat Bahagian ini, selain Perkara-Perkara 5 dan 6 bolehlah, dengan terkena kepada Fasal (3), dipinda dengan satu undang-undang dari Badan Undangan Negeri dan tidaklah boleh dipinda dengan mana-mana jalan yang lain.

(3) Sesuatu Rang Undang-Undang kerana membuat suatu pindaan kepada Bahagian ini hendaklah tidak dilulus oleh Dewan Negeri melainkan telah disokong pada masa Bacaan-Bacaan Kali Yang Kedua dan Yang Ketiga dengan undi-undi yang tidak kurang daripada dua pertiga daripada jumlah bilangan ahlinya.

(3A) Pindaan yang berikut adalah dikecualikan daripada Fasal (3), iaitu-mana-mana pindaan kepada takrif wilayah Negeri yang dibuat akibat daripada kelulusan sesuatu undang-undang mengubahkan sempadan-sempadan Negeri di bawah Perkara 2 Perlembagaan Persekutuan yang mana Badan Undangan Negeri dan Majlis Raja-Raja telah memberi persetujuan di bawah Perkara tersebut.

(4) Di dalam Perkara ini "pindaan" termasuk tambahan dan pembatalan.

Makna

4. (1) Di dalam Bahagian ini, melainkan nasnya berkehendak makna lain "Badan Undangan" maknanya pihak yang berkuasa yang mempunyai kuasa di bawah Perlembagaan ini pada membuat undang-undang bagi Negeri ini;

"Dewan Negeri" maknanya Dewan Negeri bagi Negeri itu;

"jawatankuasa" maknanya sesuatu jawatankuasa yang terdiri dari kesemua ahli Dewan Negeri atau mana-mana jawatankuasa tetap, jawatankuasa terpilih, jawatankuasa khas atau jawatankuasa yang lain bagi Dewan Negeri itu atau dilantik oleh Dewan itu;

"Kebawah Duli Yang Maha Mulia" maknanya Sultan bagi Negeri dan termasuk Waris Gantinya dan, jika berbetulan dengan maknanya termasuk Al-Marhum Raja-Raja yang memerintah yang dahulu daripadanya dan, jika ada Pangkuan Raja, termasuk Pemangku Raja atau jika ada Majlis Pangkuan Raja, termasuk Majlis itu;

"Kebawah Duli Yang Maha Mulia dalam Majlis Mesyuarat" maknanya Kebawah Duli Yang Maha Mulia menjalankan kerja mengikut nasihat Majlis Mesyuarat Kerajaan;

"Kumpulan Wang Yang Disatukan" maknanya Kumpulan Wang Yang Disatukan Bagi Negeri;

"Majlis Mesyuarat Kerajaan" maknanya Majlis Mesyuarat yang telah ditubuhkan di bawah syarat Bahagian ini;

"Menteri Besar" maknanya pegawai yang dilantik dengan kerana Perkara 12 dan, hendaklah termasuk sama Timbalan Menteri Besar;

"Negeri" maknanya Negeri Kelantan dan termasuk semua jajahan takluknya, pulau-pulau dan tempat-tempat yang pada satu haribulan Disember 1941, telah ditadbirkan menjadi bahagian daripadanya, dan lautan kawasan berhampiran dengannya;

“parti politik” ertinya –

(a) mana-mana pertubuhan yang menurut mana-mana tujuan atau kaedahnya, tidak kira sama ada tujuan atau kaedah itu merupakan tujuan atau kaedah utamanya, atau semata-mata merupakan tujuan atau kaedah yang menjadi tambahan kepada tujuan atau tujuan-tujuan utamanya atau kepada kaedah atau kaedah-kaedah utamanya, mengadakan peruntukan bagi pertubuhan itu menyertai, melalui calon-calonnya, dalam pemilihan ke Dewan Rakyat, atau ke Dewan Undangan Negeri; atau
(b) mana-mana pertubuhan yang, walau apa pun apa-apa jua yang terkandung dalam tujuan-tujuan atau kaedah-kaedahnya, menjalankan apa-apa aktiviti atau meneruskan apa-apa tujuan yang melibatkan penyertaannya, melalui calonnya, dalam pemilihan ke Dewan Rakyat, atau ke Dewan Undangan Negeri,

dan termasuklah gabungan pertubuhan sedemikian yang telah didaftarkan di bawah mana-mana undang-undang persekutuan;

"Pegawai Kewangan Negeri" maknanya Pegawai yang telah dilantik kerana sebab Perkara 13;

"Penasihat Undang-Undang Negeri" maknanya Penasihat Undang-Undang Negeri yang dilantik dengan kerana Perkara 13; "Perlembagaan Persekutuan" maknanya Perlembagaan bagi Persekutuan;

"persidangan" maknanya perhimpunan duduk mesyuarat satu Dewan yang dilembagakan di bawah Bahagian ini mulai daripada Dewan itu pada mulanya bersidang lepas daripada telah dipanggil pada mana-mana waktu dan habis apabila Dewan itu ditangguhkan dengan tidak di tetap hari atau apabila habis satu tempoh mesyuarat dengan tidak bertangguh;

"pilihan" maknanya sesuatu pilihan bagi maksud memilih seseorang ahli bagi Dewan Negeri;

"pilihan raya" maknanya kesemua pilihan-pilihan yang dijalankan kemudian daripada dibubarkan Dewan Negeri itu;

"rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia" maknanya ialah mana-mana orang yang di bawah undang-undang yang bertulis yang pada masa itu berjalan kuat kuasanya di dalam Negeri ini menjadi seorang rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja bagi Negeri Kelantan;

"Setiausaha Kerajaan" maknanya Pegawai yang telah dilantik kerana sebab Perkara 13;

"tempoh mesyuarat" maknanya permesyuaratan Dewan Negeri mulai apabila Dewan itu bermesyuarat kali yang pertama kemudian daripada ditubuhkan atau kemudian daripada diberhenti ataupun dibubarkan pada bila-bila masa dan habisnya apabila Dewan itu diberhenti ataupun dibubarkan dengan tidak diberhentikan;

"warganegara Persekutuan Tanah Melayu" maknanya seseorang yang menjadi warganegara Persekutuan dengan kerana Bahagian III daripada Perlembagaan Persekutuan;

"Yang di-Pertuan Agong" maknanya Yang di-Pertuan Agong Persekutuan, dan termasuk Timbalan Yang di-Pertuan Agong atau seseorang Raja yang menjalankan menurut undang-undang tanggungan-tanggungan Yang di-Pertuan Agong.

(1A) (Dipotong oleh G.N. No. 181/1959).

(2) Dengan terkena kepada syarat-syarat yang disebutkan dahulu daripada Perkara ini, maka Fasal (2) dan (4) daripada Perkara 160 daripada Perlembagaan Persekutuan hendaklah dipakai bagi memberi pengertian kepada Bahagian ini sebagaimana dipakainya bagi memberi pengertian kepada Perlembagaan Persekutuan.

(3) Melainkan nasnya berkehendakkan pengertian yang lain maka mana-mana perujukan di dalam Bahagian ini kepada suatu Perkara, Bahagian atau Jadual yang tertentu ialah perujukan kepada Perkara atau Bahagian ataupun Jadual itu kepada Bahagian ini; dan mana-mana perujukan kepada suatu Fasal yang tertentu ialah perujukan kepada Fasal itu bagi Perkara yang perujukan berlaku.

(4) Melainkan jika pengertian bagi mana-mana perkataan atau sebutan disyaratkan dengan khas oleh Bahagian ini atau Perlembagaan Persekutuan atau jika nasnya berkehendakkan pengertian yang lain maka [1]Ordinan Tafsiran dan Fasal-Fasal Am Tahun 1948 [M.U. 7 tahun 1948], hendaklah dipakai bagi memberi pengertian kepada Bahagian ini sebagaimana dipakainya bagi memberi pengertian kepada mana-mana undang-undang yang bertulis.

Agama Negeri

5. Adalah agama Negeri itu hendaklah agama Islam sebagaimana yang dahulu-dahulu dipegang dan dijalankan di dalam Negeri:

Dengan syarat segala agama lain bolehlah dijalankan dengan aman dan sempurna oleh mereka yang memegang agama-agama itu di dalam mana-mana bahagian daripada Negeri.

Yang Maha Mulia menjadi Ketua Agama Negeri

6. (1) Adapun Ketua bagi Agama Negeri ini ialah Yang Maha Mulia dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu, di dalam bahasa Inggeris "Council of Religion and Malay Custom", yang ditubuh di bawah undang-undang Negeri yang ada sekarang, hendaklah terus membantu dan menasihat Yang Maha Mulia mengikut undang-undang itu.

(2) Dengan tidak mengendahkan bahawa ada seorang Pemangku Raja di dalam Negeri dengan sebab Yang Maha Mulia itu dipilih memegang jawatan, atau menjalankan tanggungan Yang diPertuan Agong, Yang Maha Mulia hendaklah terus menjalankan tanggungan-tanggungannya sebagai Ketua bagi Agama Negeri.

(3) Yang Maha Mulia sebagai Ketua bagi Agama Negeri hendaklah mengikut syarat-syarat Perlembagaan Persekutuan membenarkan Yang di-Pertuan Agong mewakilinya di dalam manamana perbuatan, pemerhatian atau istiadat bagi agama Islam yang mana mengikut persetujuan Majlis Mesyuarat Raja-Raja Melayu adalah meluasi Persekutuan seumumnya.

Raja memerintah menurut undang-undang

7. Kebawah Duli Yang Maha Mulia hendaklah melaku membawa dirinya kepada semua rakyatnya dan kepada semua orang yang duduk di dalam Negeri dengan keadaan adil dan memerintah menurut undang-undang. Tiadalah boleh seseorang itu dihilangkan kemerdekaannya, ditahan atau dipenjara akan dia melainkan dengan mengikut penjalanan undang-undang. Kebebasan dan kemerdekaan segala orang yang tidak ditegah oleh perbuatan benar dan adil bagi undang-undang itu ialah asas bagi kesemua kerajaan yang baik.

Mohor Negeri

8. Kebawah Duli Yang Maha Mulia hendaklah menyimpan dan menggunakan Mohor Kerajaan bagi Negeri Kelantan kerana mengecap semua perkara yang kena dibubuh Mohor itu.

Cogan kata Kerajaan Kerajaan, Bendera dan Alatan Kebesaran

8A. Cogan kata Kerajaan, iaitu "Berserah kepada Tuhan Kerajaan Kelantan", dan Jata Kerajaan dan Mahkota serta segala Alatan-Alatan Kerajaan dan Bendera Raja, dan Bendera Negeri hendaklah selama-lamanya dipakai dan diperkekalkan dengan rupa dan keadaannya seperti dahulu juga.

Pewakilan Kebawah Duli Yang Maha Mulia di dalam Majlis Mesyuarat Raja-Raja Melayu

9. (1) Maka berkuasalah Kebawah Duli Yang Maha Mulia melantikkan dengan Surat di bawah ini tandatangannya dan Mohor Negeri mana-mana orang dari bangsa Melayu dan beragama Islam mengambil tempatnya sebagai seorang ahli Majlis Mesyuarat Raja-Raja Melayu.

(2) Tiap-tiap pelantikan itu hendaklah bagi satu tempoh dan hendaklah terkena kepada syarat-syarat dan sekatan-sekatan yang ditetapkan di dalamnya.

KUASA MEMERINTAH

Kuasa memerintah

10. Kuasa memerintah bagi Negeri ini hendaklah diserah kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia tetapi tanggungan-tanggungan bolehlah di bawah undang-undang, dikurniakan kepada mana-mana orang atau mana-mana kuasa.

Kuasa memerintah kena dibuat atas nama Kebawah Duli Yang Maha Mulia

11. Semua kuasa memerintah bagi Kerajaan Negeri hendaklah disebut telah dibuat atas nama Kebawah Duli Yang Maha Mulia.

Pelantikan Menteri Besar

12. (1) Kebawah Duli Yang Maha Mulia hendaklah melantik dengan Surat di bawah tandatangannya dan Mohor Negeri, seorang Menteri Besar mengikut syarat-syarat perenggan (a) daripada Fasal (2) daripada Perkara 16.

(1A) Maka Kebawah Duli Yang Maha Mulia hendaklah melantik dengan Surat di bawah tandatangannya dan Mohor Negeri, seorang Timbalan Menteri Besar mengikut syarat-syarat perenggan (c) daripada Fasal (2) daripada Perkara 16.

(2) Dengan terkena kepada syarat-syarat Fasal (4) daripada Perkara 16, maka tidaklah boleh dilantik siapa-siapa menjadi Menteri Besar atau Timbalan Menteri Besar melainkan ia itu daripada bangsa Melayu, rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan beragama Islam.

Pelantikan pegawai-pegawai

13. (1) Kebawah Duli Yang Maha Mulia hendaklah dengan pengesyoran daripada Suruhanjaya yang munasabah dengan Surat di bawah tandatangannya dan Mohor Negeri, melantikkan mana-mana orang memegang jawatan sepenuh masa di dalam perkhidmatan awam masing-masingnya menjadi Setiausaha Kerajaan, Penasihat Undang-Undang Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri:

Dengan syarat bahawa sebelum berlaku di atas pengesyoran Suruhanjaya Perkhidmatan itu maka Kebawah Duli Yang Maha Mulia hendaklah menimbang nasihat Menteri Besar dan boleh sekali merujuk balik pengesyoran itu kepada Suruhanjaya itu supaya dapat ditimbangnya semula:

Dan dengan syarat bahawa jikalau Suruhanjaya Perkhidmatan tidak mempunyai kuasa berkenaan dengan mana-mana pelantikan daripada pegawai-pegawai yang tersebut di dalam Fasal ini maka pelantikan itu bolehlah diperbuat oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia yang melakukan mengikut timbangannya.

(2) (a) Setiausaha kerajaan, yang hendaklah daripada bangsa Melayu dan beragama Islam hendaklah menjadi pegawai kanan menjaga segala urusan tadbiran bagi Negeri.

(b) Penasihat Undang-Undang Negeri hendaklah memberi nasihat di dalam perkara undang-undang yang diedarkan kepadanya oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia atau Kerajaan Negeri.

(c) Pegawai Kewangan Negeri hendaklah menjadi pegawai kanan menjaga segala urusan kewangan Negeri.

(3) Tiap-tiap seorang pegawai yang seumpama itu hendaklah diberi hak mengambil bahagian di dalam perjalanan Majlis Mesyuarat Kerajaan dan Dewan Negeri dan boleh dilantik menjadi seorang ahli mana-mana jawatankuasa Dewan itu tetapi tidaklah boleh mengundi di dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan atau Dewan Negeri atau pun di dalam mana-mana jawatankuasa yang seumpama itu.

(4) Dahulu daripada mana-mana pegawai itu hadir mula-mula sekali persidangan Majlis Mesyuarat Kerajaan, maka hendaklah pegawai itu mengangkat sumpah dan tandatangan di hadapan Menteri Besar, sumpah rahsia yang berikut:

"Bahawa saya, , dengan sesungguhnya mengangkat sumpah (atau berikrar) bahawa saya tidak akan menyampaikan atau membukakan dengan terus atau tidak terus kepada mana-mana orang akan apa-apa perkara yang dibawa bagi pertimbangan saya ataupun diketahui oleh saya dalam masa saya menghadiri Majlis Mesyuarat Kerajaan melainkan sebagaimana yang dikehendaki bagi menunaikan kewajipan-kewajipan saya dengan sempurnanya seumpama itu atau sebagaimana yang dibenarkan dengan khasnya oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan."

(5) Orang yang masing-masingnya memegang jawatan Setiausaha Kerajaan, Penasihat Undang-Undang Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri dahulu sedikit daripada berjalan kuat kuasa Perkara itu hendaklah terus memegang jawatan itu dengan keadaan serupa juga kiranya ia telah dilantik di bawah Perkara ini.

13A. (Dipotong oleh G.N. No. 181/1959).

14. (Dipotong oleh G.N. No. 181/1959).

Kebawah Duli Yang Maha Mulia hendaklah mengikut nasihat

15. (1) Pada menjalankan kewajipan-kewajipannya menurut Perlembagaan ini atau mengikut apa-apa jua undang-undang atau sebagai ahli Majlis Raja-Raja, maka Kebawah Duli Yang Maha Mulia hendaklah mengikut nasihat Majlis Mesyuarat Kerajaan atau nasihat ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan yang menjalankan kewajipan menurut kuasa-kuasa am Majlis Mesyuarat Kerajaan jika disyaratkan pada akasnya oleh undang-undang Perlembagaan Persekutuan atau Perlembagaan ini, tetapi berhak boleh meminta apa-apa keterangan berkenaan dengan tadbir Negeri itu yang ada kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan.

(2) Kebawah Duli Yang Maha Mulia bolehlah memutuskan mengikut timbangannya di dalam menjalankan kewajipan-kewajipan yang tersebut di bawah ini (selain daripada kewajipan-kewajipan yang boleh diputuskan mengikut timbangannya menurut Perlembagaan Persekutuan) iaitu –

(a) melantik Menteri Besar;
(b) menahankan persetujuannya di atas permintaan hendak membubarkan Dewan Negeri itu;
(c) meminta diadakan mesyuarat Majlis Raja-Raja yang semata-mata berkenaan dengan kebebasan-kebebasan, taraf kedudukannya, kehormatan-kehormatan dan darjah kebesaran Kebawah Duli-Duli Yang Maha Mulia atau berkenaan dengan perkara-perkara, upacara-upacara atau istiadat agama;
(d) apa-apa jua kewajipan sebagai Ketua agama Islam atau berkenaan dengan adat istiadat orang Melayu;
(e) melantik Waris atau Waris-Warisnya, Raja Perempuan, Pemangku Raja atau Majlis Pangkuan Raja;
(f) pelantikan orang kepada pangkat, gelaran-gelaran, kehormatan-kehormatan dan kebesaran adat Melayu, dan menugaskan kewajipan-kewajipan yang bersangkut-paut dengannya;
(g) kawalan balai-balai penghadapan, istana raja dan semua jabatan Kerajaan Negeri.

(3) Undang-undang Negeri bolehlah membuat syarat menghendakkan Kebawah Duli Yang Maha Mulia melakukan selepas berunding dengan atau atas pengesyoran mana-mana orang atau badan-badan pertubuhan di dalam menjalankan apa-apa jua kewajipannya selain daripada –

(a) kewajipan-kewajipan yang boleh dijalankan mengikut timbangannya;
(b) kewajipan-kewajipan berkenaan dengan menjalankan yang mana syarat telah diperbuat di dalam Perlembagaan Negeri ataupun Perlembagaan Persekutuan.

Majlis Mesyuarat Kerajaan

16. (1) Kebawah Duli Yang Maha Mulia hendaklah melantik sebuah Majlis Mesyuarat Kerajaan.

(2) Majlis Mesyuarat Kerajaan hendaklah dilantik mengikut seperti yang tersebut di bawah ini, iaitu –

(a) Ke bawah Duli Yang Maha Mulia hendaklah mula-mula sekali melantik sebagai Menteri Besar untuk mengetuai Majlis Mesyuarat Kerajaan iaitu seorang daripada ahli Dewan Negeri yang mengikut tilikannya harus mempengaruhi kepercayaan sebilangan besar daripada ahli-ahli Dewan itu;
(b) Baginda dengan nasihat Menteri Besar hendaklah melantik tidak lebih daripada sepuluh orang dan tidak kurang daripada empat orang ahli-ahli lain daripada ahli-ahli Dewan Negeri; dan
(c) Baginda dengan nasihat Menteri Besar, hendaklah melantik seorang ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan menjadi Timbalan Menteri Besar yang hendak menolong Menteri Besar pada menjalankan kuasa-kuasanya dan menunaikan kewajipan-kewajipannya dan, dengan perintahan-perintahan daripada Menteri Besar, hendaklah ia menjalankan kuasa-kuasa itu dan menunaikan kewajipan-kewajipan Menteri Besar itu,

tetapi kalau pelantikan itu diperbuat apakala Dewan Negeri itu dibubarkan, seseorang yang telah menjadi ahli Dewan Negeri yang lepas bolehlah dilantik tetapi hendaklah tidak terus memegang jawatan kemudian daripada persidangan yang pertama bagi Dewan Negeri yang akan datang melainkan ianya menjadi ahli daripadanya.

(3) Dengan tidak mengendahkan apa-apa di dalam Perkara ini, seseorang yang menjadi warganegara diberi jalan permohonan ataupun daftaran menurut [2]Perkara 17 dalam Perlembagaan Persekutuan hendaklah tidak dilantik menjadi Menteri Besar.

(4) Tatkala melantik seorang Menteri Besar, Kebawah Duli Yang Maha Mulia bolehlah, mengikut timbangannya meninggalkan mana-mana syarat di dalam Perkara 12 menghadkan pilihannya kepada seorang Menteri Besar, jika pada pendapatnya adalah mustahak berbuat sedemikian menurut kehendak syarat-syarat Perkara ini.

(5) Majlis Mesyuarat Kerajaan hendaklah kesemuanya bertanggungjawab kepada Dewan Negeri.

(6) Jika Menteri Besar itu berhenti daripada mempengaruhi kepercayaan sebilangan besar daripada ahli Dewan Negeri, melainkan dengan permintaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia membubarkan Dewan Negeri itu maka hendaklah ia memohon berhenti daripada Majlis Mesyuarat Kerajaan.

(7) Dengan tertakluk kepada Fasal (6), seorang ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan selain daripada Menteri Besar hendaklah memegang jawatan itu mengikut kesukaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia, melainkan pelantikan mana-mana ahli itu telah dibatalkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia atas nasihat Menteri Besar tetapi mana-mana ahli Majlis Mesyuarat itu bolehlah berhenti daripada jawatannya pada bila-bila masa jua.

(8) Seorang ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan hendaklah tidak boleh mengambil bahagian di dalam mana-mana perusahaan, perniagaan atau pekerjaan yang berhubung dengan apa-apa perkara atau pejabat yang di dalam tanggungannya dan, selagi ia mengambil bahagian dalam manamana perusahaan, perniagaan atau pekerjaan tidak boleh mengambil bahagian di dalam mana-mana keputusan yang harus mengenai kepentingan-kepentingan kewangan di dalam perusahaan, perniagaan atau pekerjaan itu.

Sumpah jawatan

17. Melainkan bagi maksud membolehkan Perkara ini di turut, maka tidaklah boleh seorang ahli itu duduk atau mengundi di dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan sehingga ia telah mengangkat sumpah dan menandatangan di hadapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia atau di hadapan seorang yang dikuasakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia kerana itu akan akuan sumpah bagaimana yang tersebut:

"Adalah saya, , setelah dipilih dan dimasukkan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan atau State Executive Council bagi Negeri Kelantan dengan sesungguhnya bersumpah (atau berikrar) bahawa saya pada tiaptiap masa apabila dikehendaki akan memberi dengan seterusnya, nasihat-nasihat saya setakat mana di dalam daya upaya timbangan saya kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan ialah bagi kesempurnaan urusan hal ehwal Negeri; bahawa tidaklah saya dengan terus atau tidak terusnya persampaikan atau membukakan kepada mana-mana orang akan apa-apa perkara yang dibawa ke bawah timbangan saya atau akan diketahui oleh saya sebagai seorang ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan melainkan sebagaimana yang dikehendaki bagi menunaikan kewajipan-kewajipan saya dengan sempurnanya seumpama itu atau sebagaimana yang dibenarkan dengan khasnya oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan.",

dan kepada akuan sumpah itu hendaklah ditambah apa jua perkataan yang akan mengikat hati orang yang mengangkat sumpah itu menurut kepercayaan agamanya.

18. (Dipotong oleh G.N. No. 181/1959).

19. (Dipotong oleh G.N. No. 181/1959).

20. (Dipotong oleh G.N. No. 181/1959).

Cukup bilangan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan

21. Maka tidaklah boleh dikatakan Majlis Mesyuarat Kerajaan itu tidak berkuasa menguruskan apa-apa pekerjaan kerana ada sebab ada kekosongan di antara ahli-ahlinya, tetapi tidaklah boleh diuruskan apaapa pekerjaan melainkan tangguhnya mesyuarat sahaja sekiranya dibantah oleh mana-mana ahli yang hadir bahawa ada kurang daripada empat kali hadir selain daripada ahli yang mengetuai.

22. (Dipotong oleh G.N. No. 181/1959).

23. (Dipotong oleh G.N. No. 181/1959).

24. (Dipotong oleh G.N. No. 181/1959).

Rayuan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia atau Kebawah Duli Yang Maha Mulia dalam Majlis Mesyuarat

25. (1) Dengan terkena kepada syarat-syarat Fasal (3) Perkara 15, jika di bawah mana-mana undang-undang yang bertulis manamana appeal ke atas keputusan mana-mana orang adalah terletak kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia atau Kebawah Duli Yang Maha Mulia dalam Majlis Mesyuarat, maka hendaklah menjadi sah bagi Kebawah Duli Yang Maha Mulia atau Kebawah Duli Yang Maha Mulia dalam Majlis Mesyuarat, melainkan tujuan yang berlawanan ada di dalam undang-undang yang bertulis itu, apabila appeal yang seumpama itu diperbuat kepadanya, melantik sebuah jawatankuasa yang mengandungi tidak kurang daripada tiga orang bagi maksud mendengar appeal itu dan menasihatkan Baginda tentang keputusan yang patut diperbuat ke atasnya:

Dengan syarat bahawa tidaklah boleh mana-mana orang yang daripadanya keputusan appeal itu diperbuat dilantik ahli jawatankuasa itu.

(2) Tatkala menimbang mana-mana nasihat yang diberi kepadanya di bawah syarat-syarat Fasal (1) daripada Perkara ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dalam Majlis Mesyuarat hendaklah tidak terikat pada menerima nasihat itu.

Minit-minit

26. (1) Hendaklah disimpan minit-minit bagi semua pekerjaan Majlis Mesyuarat Kerajaan.

(2) Pada tiap-tiap kali persidangan lazim bagi Majlis Mesyuarat itu hendaklah disahkan minit persidangan yang telah lalu, dengan atau tidak dengan apa-apa pindaan sebagaimana halnya berkehendak sebelum daripada diuruskan pekerjaan-pekerjaan lain.

Bahasa rasmi dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan

27. Adapun bahasa rasmi bagi Majlis Mesyuarat Kerajaan itu hendaklah bahasa Melayu:

Dengan syarat bahawa-

(a) dengan tidak mengendahkan syarat-syarat Perkara ini, bahasa Inggeris bolehlah digunakan bagi satu tempoh dan bagi satu maksud yang sementara ini boleh disyaratkan oleh atau mengikut Perkara 152 daripada Perlembagaan Persekutuan; dan
(b) satu naskhah rasmi di dalam bahasa Inggeris hendaklah dicadangkan bagi tiap-tiap perkara yang dikehendaki dicetak atau ditulis, dan naskhah itu bolehlah diisytiharkan di dalam Warta Kerajaan.

KUASA MEMBERI AMPUN

Kuasa memberi ampun

27A. (1) Maka berkuasalah Kebawah Duli Yang Maha Mulia mengurniakan ampun, menangguh atau meringankan berkenaan dengan mana-mana kesalahan yang dilakukan dalam Negeri (selain daripada mana-mana kesalahan yang telah dibicarakan oleh mahkamah tentera); dan mana-mana kuasa yang dikurniakan oleh undang-undang Persekutuan atau Negeri pada mengurang, menangguh atau meringankan hukuman itu bagi mana-mana hukuman hendaklah boleh dijalankan olehnya.

(2) Kuasa-kuasa yang tersebut di dalam Fasal (1) hendaklah dijalankan dengan cara itu dan terkena kepada syarat-syarat yang ditetapkan di dalam Perkara 42 daripada Perlembagaan Persekutuan.

SYARAT ISTIMEWA BERSABIT DENGAN ORANG MELAYU

Bahagian peruntukan berkenaan dengan perkhidmatan-perkhidmatan, permit-permit, dan lain-lainnya, bagi orang Melayu

27B. (1) Maka hendaklah menjadi tanggungjawab Kebawah Duli Yang Maha Mulia pada menjaga kedudukan istimewa orang Melayu dan hak-hak yang halal bagi lain-lain kaum mengikut syarat-syarat Perkara ini.

(2) Maka hendaklah Kebawah Duli Yang Maha Mulia dengan terkena kepada syarat Perkara 15 menjalankan tanggungantanggungannya di bawah Bahagian ini dan undang-undang Negeri dengan apa cara yang boleh jadi perlu menjaga kedudukan istimewa orang Melayu dan menjamin bahagian bagi orang Melayu akan kadar yang Baginda fikir berpatutan bersabit dengan kedudukan-kedudukan di dalam perkhidmatan awam bagi Negeri dan scholarship, elaun-elaun kepada penuntut-penuntut dan lain-lain kebebasan pelajaran atau latihan yang seumpama itu atau kemudahan-kemudahan istimewa yang diberi atau dikurnia oleh Kerajaan dan, apabila mana-mana permit atau lesen bagi menjalankan perniagaan atau pekerjaan dikehendaki oleh undangundang Negeri, maka dengan terkena kepada syarat-syarat undang-undang itu dan Perkara ini bersabit dengan permit-permit dan lesen-lesen.

(3) Maka berkuasalah Kebawah Duli Yang Maha Mulia supaya menjamin mengikut Fasal (2) Perkara ini bahagian kepada orang Melayu bersabit dengan kedudukan-kedudukan di dalam perkhidmatan awam dan scholarship, elaun-elaun kepada penuntut-penuntut dan lain-lain kebebasan pelajaran atau latihan atau kemudahankemudahan istimewa, memberi perintah-perintah am yang boleh dikehendaki bagi maksud itu kepada mana-mana Suruhanjaya Perkhidmatan Awam yang mana takluk kuasanya meluasi kepada orang di dalam perkhidmatan awam bagi Negeri itu atau kepada mana-mana pihak yang berkuasa yang ditugaskan tanggungjawab bagi memberi scholarship, elaun-elaun kepada penuntut atau lain-lain kebebasan pelajaran atau latihan atau kemudahan-kemudahan istimewa; dan Suruhanjaya atau pihak yang berkuasa itu hendaklah menurut perintah-perintah itu dengan sempurnanya.

(4) Dalam menjalankan tanggungan-tanggungannya di bawah Bahagian ini dan undang-undang Negeri mengikut Fasal-Fasal (1), (2) dan (3) Perkara ini, maka Kebawah Duli Yang Maha Mulia hendaklah tidak melucutkan mana-mana orang di dalam mana-mana jawatan awam yang dipegang olehnya atau menyambungkan mana-mana scholarship, elaun kepada penuntut-penuntut atau lainlain kebebasan pelajaran atau latihan atau kemudahan-kemudahan istimewa yang diperolehnya.

(5) Perkara ini tidaklah mengurangkan syarat-syarat Perkara 60.

(6) Jika dengan sebab undang-undang Negeri yang ada sesuatu permit atau lesen dikehendaki bagi menjalankan mana-mana perniagaan atau pekerjaan, maka berkuasalah Kebawah Duli Yang Maha Mulia menjalankan tanggungan-tanggungannya di bawah undang-undang itu dengan apa cara, atau memberi perintah-perintah am kepada mana-mana pihak yang berkuasa yang ditugaskan di bawah undang-undang itu memberi permit atau lesen-lesen yang boleh dikehendaki supaya menjamin bahagian kadar bagi lesen-lesen atau permit-permit bagi orang Melayu sebagaimana Kebawah Duli Yang Maha Mulia fikir berpatutan; dan pihak yang berkuasa itu hendaklah menurut perintah-perintah itu dengan sempurnanya.

(7) Tidaklah apa-apa di dalam Perkara ini akan berjalan melucutkan atau memberi kuasa melucutkan mana-mana orang daripada mana-mana hak, kebebasan, permit atau lesen manamana orang yang didapat atau yang diperoleh atau yang dipegang olehnya atau memberi kuasa menolakkan daripada membaharui semula kepada mana-mana orang akan mana-mana permit atau lesen atau penolakan daripada memberi kepada waris-waris, penggantipengganti atau ketentuan-ketentuan seseorang akan mana-mana permit atau lesen apabila membaharui semula atau pemberian itu boleh dijangka dengan berpatutan mengikut keadaan biasa.

(8) Dengan tidak mengendahkan sebarang apa di dalam Bahagian ini, jika dengan sebab mana-mana undang-undang Negeri manamana permit atau lesen dikehendaki bagi menjalankan mana-mana perniagaan atau pekerjaan, maka orang itu bolehlah mengadakan syarat kerana bahagian satu kadar bagi permit-permit atau lesen-lesen bagi orang Melayu; tetapi tidaklah undang-undang yang seumpama itu bagi maksud menjaminkan bahagian itu akan

(a) melucutkan atau memberi kuasa melucutkan mana-mana orang daripada mana-mana hak, kebebasan, permit atau lesen yang didapat atau yang diperoleh atau yang dipegang olehnya; atau
(b) memberi kuasa menolakkan daripada membaharui semula kepada mana-mana orang akan mana-mana permit atau lesen itu atau penolakan daripada memberi kepada waris-waris, pengganti atau ketentuan-ketentuan mana-mana orang akan mana-mana permit atau lesen apabila membaharui semula atau pemberian itu boleh dijangka dengan berpatutan mengikut syarat-syarat yang lain daripada undang-undang itu mengikut keadaan biasa, atau menggalangkan mana-mana orang daripada menukarkan bersekali dengan perniagaannya akan mana-mana lesen yang boleh ditukar untuk menjalankan perniagaan itu; atau
(c) jika dahulunya permit atau lesen tidak dikehendaki bagi menjalankan perniagaan atau pekerjaan, memberi kuasa menolakkan daripada memberi satu permit atau lesen kepada mana-mana orang bagi menjalankan mana-mana perniagaan atau pekerjaan yang mana dahulu sedikit daripada berjalan kuat kuasanya undang-undang itu, ia telah pun menjalankan dengan suci hati, atau memberi kuasa menolakkan pada akhirnya daripada membaharui semula kepada mana-mana orang akan mana-mana permit atau lesen, atau penolakan daripada memberi kepada waris-waris, pengganti-pengganti atau ketentuan-ketentuan mana-mana orang akan mana-mana permit atau lesen apabila menolakkan atau pemberian boleh dijangka dengan berpatutan mengikut syarat-syarat yang lain daripada undang-undang itu mengikut keadaan biasa.

(9) Tidaklah apa-apa di dalam Perkara ini akan menguasakan Badan Undangan menyekatkan perniagaan atau pekerjaan semata-mata bagi maksud bahagian-bahagian bagi orang Melayu.

DEWAN NEGERI
(LEGISLATIVE ASSEMBLY)

Badan Undangan bagi Negeri

28. Badan Undangan bagi Negeri ini akan mengandungi Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan sebuah Dewan, yang akan dipanggil Dewan Negeri (di dalam bahasa Inggeris "Legislative Assembly").

Ahli-ahli Dewan Negeri

29. Dewan Negeri hendaklah mengandungi empat puluh lima orang ahli-ahli yang dipilih.

29A. (Dipotong oleh G.N. No. 181/1959).

29B. (Dipotong oleh G.N. No. 181/1959).

Kelayakan ahli-ahli

30. Tiap-tiap seorang warganegara berumur atau berumur lebih daripada lapan belas tahun yang tinggal di dalam Negeri ini adalah layak menjadi ahli Dewan Negeri, melainkan ianya tidak layak kerana menjadi seorang ahli mengikut Perlembagaan Persekutuan atau Bahagian ini atau pun mengikut mana-mana undang-undang yang disebut di dalam Perkara 31.

Tidak layak menjadi ahli Dewan Negeri

31. (1) Dengan tertakluk kepada syarat-syarat Perkara ini, seseorang itu tidak layak menjadi ahli Dewan Negeri jika –

(a) ialah seorang yang telah didapati atau ditetapkan tidak sempurna akal;
(b) ialah muflis yang belum selesaikan lagi;
(c) ia memegang sesuatu jawatan yang bermanfaat;
(d) setelah dilantik masuk sama ada kepada pilihan Parlimen ataupun kepada Dewan Negeri, atau setelah melakukan sebagai wakil pilihan kepada seorang yang telah dilantik itu, ia mungkir memasukkan mana-mana penyata berkenaan dengan perbelanjaan pilihan yang dikehendaki oleh undang-undang dalam masa dan cara yang dikehendaki itu;
(e) ia telah didapati salah di atas satu kesalahan oleh sebuah mahkamah di Persekutuan dan dihukum penjara selama suatu tempoh tidak kurang daripada satu tahun atau didenda sebanyak tidak kurang daripada dua ribu ringgit dan telah tidak menerima pengampunan;
(f) ia tidak layak di bawah mana-mana undang-undang bersabit dengan kesalahan-kesalahan berhubung pilihan-pilihan sama ada kepada Parlimen ataupun kepada Dewan Negeri dengan sebab ianya telah didapati salah daripada satu kesalahan yang seumpama itu atau pun dalam perbicaraan bersabit sesuatu pilihan didapati salah daripada satu perbuatan yang bersabit dengan kesalahan yang seumpama itu; atau
(g) ia dengan sengajanya mendapat kewarganegaraannya negara asing, atau menjalankan hak-hak kewarganegaraannya di dalam negara asing atau telah membuat ketetapan taat setia kepada sebuah negara asing.

(2) Tidak berkelayakan mana-mana orang di bawah perenggan (d) atau perenggan (e) daripada Fasal (1) bolehlah dibuang oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan kiranya tidak dibuang hendaklah terhenti pada akhir satu tempoh lima tahun mulai dari tarikh yang penyata yang tersebut di dalam perenggan (d) di atas telah dikehendaki dimasukkan atau, menurutlah mana-mana yang berlaku, tarikh yang orang itu telah didapati kesalahan sebagaimana yang disebut di dalam perenggan (e) yang tersebut itu telah dibebaskan daripada tahanan atau tarikh telah dikenakan denda yang tersebut di dalam perenggan (e) itu, dan mana-mana orang hendaklah layak di bawah perenggan (g) Fasal (1) dengan sebab cumanya kerana melakukan olehnya apa-apa perkara dahulu daripada ia menjadi seorang warganegara.

(3) Seseorang yang melepaskan keahliannya dalam Dewan Negeri hendaklah, selama tempoh lima tahun bermula dari tarikh pelepasan keahliannya berkuat kuasa, hilang kelayakannya daripada menjadi ahli Dewan Negeri.

Pertukaran parti politik anggota, dsb.

31A. (1) Tertakluk kepada peruntukan Perkara ini, seseorang ahli Dewan Undangan Negeri hendaklah terhenti menjadi ahli Dewan Undangan itu dan kerusinya hendaklah menjadi kosong sebaik sahaja suatu tarikh kekosongan luar jangka dipastikan oleh Speaker jika –

(a) setelah dipilih ke Dewan Undangan sebagai anggota suatu parti politik –
(i) dia melepaskan keanggotaan parti politik itu; atau
(ii) dia tidak lagi menjadi anggota parti poltik itu; atau
(b) setelah dipilih ke Dewan Undangan bukan sebaggai anggota suatu parti politik, dia menyertai suatu parti politik sebagai anggota.

(2) Seseorang ahli Dewan Undangan tidak terhenti menjadi ahli Dewan Undangan itu menurut perkara ini hanya disebabkan oleh –

(a) pembubaran atau pembatalan pendaftaran politiknya;
(b) pelepasan keanggotaannya daripada parti politiknya apabila dipilih sebagai Speaker; atau
(c) pemecatannya daripada keanggotaan dalam parti politiknya.

(3) Bilamana Speaker menerima notis bertulis daripada mana-mana ahli Dewan Undangan mengenai berlakunya kekosongan luar jangka dalam kalangan ahli Dewan Undangan di bawah Perkara ini, Speaker hendaklah memastikan bahawa berlakunya kekosongan luar jangka itu dan memberitahu Suruhanjaya Pilihanraya sewajarnya dalam tempoh dua puluh satu hari dari tarikh dia menerima notis bertulis itu.

(4) Bagi maksud mengadakan pilihan raya di bawah Fasal (5) Perkara 46, kekosongan luar jangka itu hendaklah diisi dalam tempoh enam puluh hari dari tarikh Suruhanjaya Pilihan Raya menerima pemberitahuan itu daripada Speaker.”

Keputusan bersabit dengan tidak layak

32. Jika mana-mana masalah berbangkit sama ada seseorang ahli Dewan Negeri menjadi tidak layak daripada menjadi ahlinya maka keputusan Dewan itu hendaklah diambil dan hendaklah jadi yang muktamad.

Syarat-syarat yang menyekat seorang itu menjadi ahli berganda

33. Seseorang itu hendaklah tidak boleh menjadi dengan serentaknya ahli Dewan Negeri lebih daripada satu kawasan pilihan.

Akibat tidak layak dan tegahan lantikan dengan tiada persetujuan

34. (1) Jika seseorang ahli Dewan Negeri itu mati atau menjadi tidak layak menjadi ahli Dewan itu, maka tempatnya hendaklah menjadi kosong.

(2) Jika seseorang yang tidak layak bagi menjadi ahli Dewan Negeri itu dipilih kepada ahli Dewan itu, atau jika satu pilihan itu berlawanan dengan Perkara 31, maka pilihan itu hendaklah menjadi tidak sah.

(3) Jika pilihan seseorang itu akan atau harus menjadi tidak sah di bawah Fasal (2), maka pelantikannya bagi pilihan itu hendaklah menjadi tidak sah.

(4) Seseorang itu tidaklah boleh dengan sahnya dilantik bagi pilihan bagi Dewan Negeri dengan tiada persetujuan.

35. (Dipotong oleh G.N. No. 181/1959).

35A. (Dipotong oleh G.N. No. 181/1959).

Cukup bilangan

36. Tidaklah boleh dijalankan oleh Dewan Negeri itu apa-apa pekerjaan melainkan pekerjaan menangguhkan, jika dibantah oleh mana-mana ahli yang hadir bahawa kurang daripada sepuluh orang ahli-ahli ada hadir selain daripada Speaker atau ahli yang mengetuai.

Berhentian ahli

37. Seorang ahli Dewan Negeri bolehlah berhenti daripada menjadi ahli dengan tulisannya sendiri dialamatkan kepada Speaker.

Ketiadaan hadir mana-mana ahli

38. Jika seseorang ahli Dewan Negeri tidak hadir dengan tiada mendapat kebenaran Speaker pada tiap-tiap kali persidangan Dewan itu diadakan bagi tempoh enam bulan maka Speaker bolehlah menetapkan tempatnya itu kosong.

Menjalankan kuasa membuat undang-undang

39. (1) Maka kuasa bagi Badan Undangan membuat undang undang hendaklah dijalankan dengan jalan Rang Undang-Undang yang diluluskan oleh Dewan Negeri dan dipersetujui oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia.

(2) Tidaklah boleh mana-mana Rang Undang-Undang atau pindaan mengenai perbelanjaan daripada Kumpulan Wang Yang Disatukan bagi Negeri ini dibawa atau dicadangkan di dalam Dewan Negeri melainkan oleh seorang ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan.

(3) Satu Rang Undang-Undang hendaklah menjadi undang-undang sesudah dipersetujui oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia, tetapi tidaklah boleh mana-mana undang-undang berjalan kuat kuasanya sehingga telah disiarkan, sebagaimanapun dengan tiada mencacatkan Badan Undangan menangguhkan kuat kuasanya mana-mana undang-undang atau membuat undang-undang dengan berjalan kuat kuasa kebelakangan.

Mengisytiharkan Rang Undang-Undang

40. Tiap-tiap Rang Undang-Undang, selain daripada Rang Undang-Undang daripada ahli hendaklah, melainkan di dalam perkara sangat mustahak hendak disegerakan yang akan disah dengan tulisan oleh Speaker, diisytiharkan bagi pengetahuan orang ramai di dalam Warta Kerajaan sekurang-kurangnya empat belas hari dahulu daripada dibawa kepada Dewan Negeri.

Perkataan mengundangkan undang-undang

41. Semua undang-undang yang diluluskan oleh Badan Undangan hendaklah digelar "Enakmen" dan perkataan mengundangkan itu hendaklah berbunyi "diperbuat undang-undang ini oleh Badan Undangan bagi Negeri Kelantan".

Ucapan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia

42. Kebawah Duli Yang Maha Mulia bolehlah bertitah kepada Dewan Negeri dan bolehlah menghantar perutusan-perutusan kepadanya.

Rang Undang-Undang daripada ahli

43. Dikecualikan disyaratkan lain di dalamnya, maka satu undang-undang yang diperbuat di bawah Bahagian ini, yang bukan kehendak kerajaan yang dihajat menyentuh atau mendatang faedah kepada mana-mana orang yang tertentu atau kepada mana-mana persekutuan atau pertubuhan yang dilembagakan, tidak akan menyentuh hak-hak Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan GantiGantinya atau hak-hak mana-mana pertubuhan siasah atau yang dilembagakan atau hak-hak mana-mana orang pun.

Peraturan Dewan Negeri

44. (1) Tertakluk kepada syarat-syarat Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan ini, maka hendaklah Dewan Negeri mengaturkan peraturannya sendiri dan berkuasalah dari satu masa ke satu masa membuat, meminda dan membatalkan Peraturan-Peraturan Tetap dan Perintah-Perintah bagi mengaturkan tertib penjalanan pekerjaannya sendiri dan bagi penjalanan pekerjaan.

(2) Dewan Negeri berkuasalah melakukan dengan tidak mengendahkan mana-mana kerusi kosong di dalam ahlinya, dan kehadiran atau pengambilan bahagian mana-mana orang yang tidak berhak kepadanya tidaklah membatalkan mana-mana penjalanan.

(3) Tertakluk kepada Fasal (4) dan Perkara 3, Dewan itu hendaklah jika dengan sebulat suara mengambil keputusannya dengan undi suara ramai yang mengundi dan ahli yang mengetuai hendaklah membuang undinya apabila mustahak supaya mengelakkan persamaan undi-undi, tetapi hendaklah tidak mengundi di dalam mana-mana perkara yang lain.

(4) Tatkala mengaturkan peraturannya, Dewan itu boleh mensyaratkan berkenaan dengan mana-mana keputusan bersabit dengan penjalanannya bahawa hendaklah tidak diperbuat melainkan dengan undi-undi suara ramai yang tertentu atau pun dengan bilangan undi-undi yang tertentu.

(5) Ahli-ahli yang tidak hadir ke Dewan itu hendaklah tidak dibenarkan mengundi.

Speaker Dewan Negeri

45. (1) Dewan Negeri hendaklah dari semasa ke semasa memilih mana-mana orang yang ditentukan oleh Dewan sebagai Speaker, dan tidaklah boleh menjalankan apa-apa urusan semasa jawatan Speaker kosong selain daripada pemilihan Speaker.

(1A) Seseorang tidak boleh dipilih sebagai Speaker melainkan jika dia menjadi ahli atau layak menjadi ahli Dewan Negeri.

(1B) Mana-mana orang yang bukannya ahli Dewan Negeri yang dipilih sebagai Speaker –

(a) hendaklah, sebelum menjalankan tugas-tugas jawatannya, mengangkat dan menandatangani di hadapan Dewan sumpah jawatan; dan
(b) hendaklah, oleh sebab dia memegang jawatannya itu, menjadi ahli Dewan sebagai tambahan kepada ahli-ahli yang dipilih ke Dewan:

Dengan syarat bahawa perenggan (b) tidaklah mempunyai kuat kuasa bagi maksud peruntukan Perkara 16 dan tiada seorang pun berhak, menurut kuasa perenggan itu, mengundi atas apa-apa perkara di hadapan Dewan.

(2) Speaker boleh pada bila-bila masa meletakkan jawatannya dan hendaklah mengosongkan jawatannya –

(a) apabila Dewan Negeri bermesyuarat bagi pertama kalinya selepas suatu pilihan raya umum;
(b) apabila dia terhenti menjadi ahli Dewan melainkan oleh sebab pembubarannya atau, jika dia menjadi ahli semata-mata menurut kuasa perenggan (b) Fasal (1B), apabila dia terhenti berkelayakan menjadi ahli;
(c) apabila telah menjadi hilang kelayakan di bawah Fasal (5); atau
(d) jika pada bila-bila masa, Dewan membuat ketetapan sedemikian.

(2A) Dewan Negeri boleh dari semasa ke semasa memilih seorang daripada ahlinya untuk menjadi Timbalan Speaker.

(2B) Seseorang Timbalan Speaker boleh pada bila-bila masa meletakkan jawatannya dan hendaklah mengosongkan jawatannya –

(a) apabila dia terhenti menjadi ahli Dewan Negeri; atau
(b) jika pada bila-bila masa Dewan menetapkan sedemikian.

(3) Dalam masa peninggalan Speaker itu daripada satu persidangan Dewan Negeri, Timbalan Speaker atau jika Timbalan Speaker tidak hadir atau jika jawatan Timbalan Speaker kosong, maka ahli lain yang boleh diputuskan oleh aturan-aturan Peraturan Dewan itu, hendaklah melaku sebagai Speaker.

(4) Badan Undangan itu hendaklah mengadakan syarat dengan undang-undang kerana upahan Speaker dan Timbalan Speaker dan upahan yang disyaratkan itu hendaklah dikenakan di atas Kumpulan Wang Yang Disatukan.

(5) Seseorang ahli yang dipilih menjadi Speaker atau Timbalan Speaker adalah hilang kelayakan dari memegang jawatan itu jika tiga bulan selepas dipilih memegang jawatan itu atau pada bila-bila masa selepas itu ia adalah atau menjadi ahli mana-mana lembaga pengarah atau lembaga pengurusan, atau seorang pegawai atau pekerja, atau melibatkan diri dalam hal ehwal atau urusan, sesuatu pertubuhan atau badan, sama ada diperbadankan atau sebaliknya, atau sesuatu pengusahaan perdagangan, perindustrian atau lain-lain pengusahaan, sama ada ia menerima atau mendapat atau tidak apa-apa saraan, hadiah, untung atau faedah daripadanya:

Dengan syarat bahawa hilang kelayakan itu tidak boleh dipakai jika pertubuhan atau badan itu menjalankan apa-apa kerja kebajikan atau sukarela atau tujuan yang berfaedah kepada masyarakat atau mana-mana bahagiannya, atau apa-apa kerja atau tujuan lain berupa khairat atau sosial, dan ahli itu tidak menerima apa-apa saraan, hadiah, untung atau faedah.

(6) Jika timbul sesuatu soal mengenai hilang kelayakan Speaker atau Timbalan Speaker di bawah Fasal (5) Dewan Negeri hendaklah mengambil keputusan mengenainya dan keputusan itu adalah muktamad.

Memanggil, memberhenti dan membubarkan Dewan Negeri

46. (1) Kebawah Duli Yang Maha Mulia hendaklah dari satu masa ke satu masa memanggil Dewan Negeri dan hendaklah tidak dibiarkan selama enam bulan berlalu di antara persidangan yang akhir di dalam satu tempoh mesyuarat dengan tarikh yang ditetapkan bagi persidangannya yang pertama di dalam tempoh mesyuarat yang akan datang.

(2) Kebawah Duli Yang Maha Mulia boleh memberhenti atau membubarkan Dewan Negeri.

(3) Dewan Negeri, dikecuali dibubarkan terlebih dahulu, hendaklah berjalan kuasa selama lima tahun daripada tarikh persidangannya yang pertama dan hendaklah kemudian daripada itu terbubar sendiri.

(4) Apabila Dewan Negeri itu telah dibubarkan, maka hendaklah diadakan satu pilihan raya dalam tempoh enam puluh hari dari tarikh pembubaran itu dan Dewan Negeri yang baru itu hendaklah dipanggil bersidang pada suatu tarikh tidak lewat dari sembilan puluh hari daripada tarikh itu.

(5) Sesuatu kekosongan luar jangka hendaklah diisi dalam tempoh enam puluh hari dari tarikh dipastikan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya bahawa ada kekosongan:

Dengan syarat bahawa jika kekosongan luar jangka itu dipastikan pada suatu tarikh dalam masa dua tahun dari tarikh Dewan Negeri akan terbubar, mengikut Fasal (3), maka kekosongan luar jangka itu tidak boleh diisi melainkan jika Speaker memberitahu Suruhanjaya Pilihan Raya secara bertulis bahawa kekuatan dari segi bilangan parti yang membentuk majoriti semua ahli Dewan Negeri terjejas oleh kekosongan itu, dan dalam keadaan sedemikian kekosongan itu hendaklah diisi dalam masa enam puluh hari dari tarikh pemberitahuan itu diterima.

Sumpah ahli

47. (1) Tiap-tiap ahli Dewan Negeri hendaklah sebelum menduduki kerusinya mengangkat dan menandatangani di hadapan ahli yang mengetuai di dalam Dewan itu akan sumpah yang berikut:

"Adalah saya, , yang telah dipilih sebagai seorang ahli Dewan Negeri bagi Negeri Kelantan dengan sesungguhnya bersumpah (atau berikrar) bahawa saya dengan setianya akan menunaikan kewajipan-kewajipan saya sebagai ahli itu dengan sedaya upaya saya; bahawa saya akan bersetiawan dan akan bertaat setia dengan sebenarnya kepada Negeri Kelantan, dan bahawa saya akan memelihara, menjaga dan mempertahankan Perlembagaan Negeri Kelantan.",

dan, sekiranya ia seorang rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia, sehingga ia telah juga mengangkat dan menandatangani dengan sebegitu juga akan sumpah taat setia sebagaimana berikut:

"Adalah saya, , bersumpah bahawa saya akan bersetiawan dan akan bertaat setia dengan sebenarnya kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia, dan kepada Waris-Waris Gantinya, menurut undang-undang."

(2) Kepada tiap-tiap sumpah hendaklah ditambah apa-apa perkataan yang akan mengikatkan hati orang yang mengangkat sumpah itu menurut kepercayaan agamanya.

(3) Seorang ahli bolehlah, sebelum mengangkat sumpah mengambil bahagian di dalam pemilihan Speaker itu.

(4) Sekiranya seorang ahli tidak mengambil tempatnya dalam tempoh tiga bulan kemudian dari tarikh Dewan Negeri itu mula-mula bersidang selepas daripada pilihannya ataupun masa yang lebih lanjut lagi sebagaimana yang dibenarkan oleh Dewan itu, maka tempatnya hendaklah menjadi kosong.

Upahan bagi ahli

48. Badan Undangan hendaklah dengan undang-undang membuat syarat-syarat bagi upahan ahli-ahli Dewan Negeri.

Minit-minit

49. (1) Hendaklah disimpan minit-minit bagi semua pekerjaan-pekerjaan Dewan Negeri.

(2) Pada tiap-tiap persidangan Dewan itu maka hendaklah disahkan minit-minit persidangan yang telah lalu dengan atau dengan tiada pindaan, ikutlah bagaimana kehendaknya, sebelum daripada menjalankan kerja-kerja lain.

Bahasa Dewan Negeri

50. (1) Dengan tertakluk kepada syarat-syarat Perkara 152 daripada Perlembagaan Persekutuan, bahasa rasmi Dewan itu hendaklah bahasa Melayu.

(2) Dengan tidak mengendahkan syarat-syarat Fasal (1), bagi satu tempoh selama tempoh sepuluh tahun selepas Hari Merdeka dan kemudian daripada itu sehingga Parlimen mensyaratkan yang lain, nas-nas yang sah –

(a) bersabit dengan semua Rang Undang-Undang yang akan dibawa atau dibuat pindaan-pindaan kepadanya yang hendak dicadang di dalam Dewan Negeri; dan
(b) bersabit dengan semua undang-undang dan semua undang-undang tambahan yang dikeluarkan oleh Kerajaan bagi Negeri ini,

hendaklah di dalam bahasa Inggeris.

(3) Satu naskhah rasmi hendaklah dicadangkan bagi tiap-tiap perkara yang hendak dicetak atau ditulis, dan naskhah itu bolehlah diisytiharkan di dalam Warta Kerajaan.

Kebebasan

51. Dewan Negeri hendaklah mempunyai kebebasan-kebebasan dan kuasa-kuasa yang diterangkan di dalam Jadual Yang Pertama.

HAL EHWAL WANG

Tiada pencukaian melainkan jika dibenarkan oleh undang-undang

52. Tiada cukai atau kadar boleh dilevikan oleh atau bagi maksud Negeri kecuali melalui atau di bawah kuasa undang-undang.

Perbelanjaan yang dipertanggungkan pada Kumpulan Wang Yang Disatukan

53. (1) Maka hendaklah dipertanggungkan pada Kumpulan Wang Yang Disatukan bagi Negeri, sebagai tambahan kepada apa-apa pemberian, saraan atau wang lain yang dipertanggungkan edemikian melalui mana-mana peruntukan lain Perlembagaan Negeri atau melalui undang-undang Negeri –

(a) Peruntukan Diraja bagi Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan saraan bagi Speaker Dewan Negeri;
(b) segala caj hutang yang Negeri bertanggungan membayarnya; dan
(c) apa-apa wang yang dikehendaki untuk menunaikan apaapa penghakiman, keputusan atau award terhadap Negeri oleh mana-mana mahkamah atau tribunal.

(2) Bagi maksud peruntukan ini caj hutang termasuklah bunga, caj kumpulan wang penjelas hutang, pembayaran balik atau pelunasan hutang dan segala perbelanjaan berkaitan dengan pemerdapatan pinjaman atas jaminan Kumpulan Wang Yang Disatukan dan pembayaran bunga atas hutang dan penebusan hutang yang diwujudkan dengan jalan sedemikian.

Penyata kewangan tahunan

54. (1) Dengan tertakluk kepada Fasal (3), Kebawah Duli Yang Maha Mulia hendaklah, berkenaan dengan tiap-tiap tahun kewangan, menyebabkan dibentangkan di hadapan Dewan Negeri suatu penyata terimaan dan perbelanjaan yang dianggarkan bagi Negeri untuk tahun itu, dan, melainkan jika diperuntukkan selainnya oleh Badan Undangan Negeri berkenaan dengan mana-mana tahun, penyata itu hendaklah dibentangkan sedemikian sebelum permulaan tahun itu.

(2) Anggaran perbelanjaan itu hendaklah menunjukkan secara berasingan –

(a) jumlah wang yang dikehendaki untuk membayar perbelanjaanyang dipertanggungkan pada Kumpulan Wang Yang Disatukan; dan
(b) dengan tertakluk kepada Fasal (3), jumlah wang yang masing-masing dikehendaki untuk membayar kepala-kepala bagi perbelanjaan lain yang dicadangkan dibayar daripada Kumpulan Wang Yang Disatukan.

(3) Terimaan yang dianggarkan yang hendaklah ditunjukkan dalam penyata tersebut tidak termasuk apa-apa jumlah wang yang diterima melalui Zakat, Fitrah dan Baitulmal atau hasil agama Islam yang seumpamanya; dan jumlah wang yang hendaklah ditunjukkan di bawah perenggan (b) Fasal (2) tidak termasuk –

(a) jumlah wang yang merupakan hasil daripada apa-apa pinjaman yang diperdapatkan oleh Negeri bagi maksud tertentu dan yang diuntukkan bagi maksud itu oleh undang-undang yang membenarkan pinjaman itu diperdapatkan;
(b) jumlah wang yang merupakan apa-apa wang atau bunga atas wang yang diterima oleh Negeri yang tertakluk kepada suatu amanah dan yang hendaklah digunakan mengikut terma-terma amanah itu;
(c) jumlah wang yang merupakan apa-apa wang yang dipegang oleh Negeri yang telah diterima atau diuntukkan bagi maksud apa-apa kumpulan wang amanah yang ditubuhkan oleh atau mengikut undang-undang persekutuan atau undang-undang Negeri.

(4) Penyata tersebut hendaklah juga menunjukkan, setakat yang dapat dilaksanakan, aset dan liabiliti Negeri pada akhir tahun kewangan yang baru genap, cara aset itu dilaburkan atau dipegang, dan kepala-kepala am yang berkenaan dengannya liabiliti itu masih belum selesai.

Rang Undang-Undang Perbekalan

55. Kepala-kepala bagi perbelanjaan yang hendaklah dibayar daripada Kumpulan Wang Yang Disatukan bagi Negeri tetapi tidak dipertanggungkan padanya, selain jumlah wang yang disebut dalam perenggan (a) dan (b) Fasal (3) Perkara 54, hendaklah dimasukkan ke dalam suatu Rang Undang-Undang, yang hendaklah dikenali sebagai Rang Undang-Undang Perbekalan, yang membuat peruntukan bagi pengeluaran jumlah wang yang perlu daripada Kumpulan Wang Yang Disatukan untuk membayar perbelanjaan itu dan penguntukan jumlah wang itu bagi maksud yang dinyatakan dalamnya.

Perbelanjaan tambahan dan perbelanjaan lebih

56. Jika berkenaan dengan mana-mana tahun kewangan didapati –

(a) bahawa amaun yang diuntukkan melalui Enakmen Perbekalan bagi maksud itu tidak mencukupi, atau bahawa telah timbul keperluan perbelanjaan bagi suatu maksud yang baginya tiada amaun diuntukkan melalui Enakmen Perbekalan; atau
(b) bahawa apa-apa wang telah dibelanjakan bagi apa-apa maksud melebihi amaun yang diuntukkan (jika ada) bagi maksud itu melalui Enakmen Perbekalan,

maka suatu anggaran tambahan yang menunjukkan jumlah wang yang dikehendaki atau dibelanjakan itu hendaklah dibentangkan di hadapan Dewan Negeri dan kepala-kepala bagi apa-apa perbelanjaan itu hendaklah dimasukkan ke dalam suatu Rang Undang-Undang Perbekalan.

Pengambilan keluar daripada Kumpulan Wang Yang Disatukan

57. (1) Tertakluk kepada peruntukan yang berikut dalam Perkara ini, tiada wang boleh diambil keluar daripada Kumpulan Wang Yang Disatukan melainkan jika wang itu –

(a) dipertanggungkan pada Kumpulan Wang Yang Disatukan; atau
(b) dibenarkan dikeluarkan melalui Enakmen Perbekalan.

(2) Tiada wang boleh diambil keluar daripada Kumpulan Wang Yang Disatukan kecuali mengikut cara yang diperuntukkan oleh undang-undang persekutuan.

(3) Fasal (1) tidak terpakai kepada mana-mana wang sebagaimana yang disebut di dalam perenggan-perenggan (a) dan (b) Fasal (3) daripada Perkara 54.

(4) Badan Perundangan Negeri boleh, sebelum lulus Enakmen Perbekalan, berkenaan dengan mana-mana tahun kewangan, membenarkan perbelanjaan bagi sebahagian daripada tahun kewangan itu dan juga pengeluaran daripada Kumpulan Wang Yang Disatukan apa-apa wang yang dikehendaki untuk membayar perbelanjaan itu.

58. (Dipotong oleh G.N. No. 241/1957).

Kuasa Negeri berkenaan dengan harta benda, ikatan kira dan mal

59. (1) Negeri mempunyai kuasa memilik, memegang dan menjual harta benda dari apa-apa jenis dan membuat ikatan kira.

(2) Negeri boleh mendakwa dan kena dakwa.

Layanan saksama kepada pekerja-pekerja Negeri

60. Semua orang dari apa bangsa pun, di dalam darjah yang sama di dalam perkhidmatan Negeri, hendaklah dengan tertakluk kepada syarat-syarat perjanjian pekerjaannya hendaklah dilayan dengan saksama.

Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri

61. (1) Hendaklah ada sebuah Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri, yang kuasanya hendaklah tertakluk kepada syarat-syarat yang berikut, meliputi sekalian orang yang menjadi ahli perkhidmatan awam bagi Negeri ini.

(2) Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri hendaklah mengandungi ahli-ahli yang berikut dilantik oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia mengikut timbangannya tetapi setelah menimbangkan nasihat Menteri Besar, iaitu seorang Pengerusi, dan tidak kurang daripada dua orang dan tidak lebih daripada enam orang ahli-ahli lain.

(2A) Kebawah Duli Yang Maha Mulia mengikut timbangannya, setelah menimbang nasihat Menteri Besar, bolehlah melantik seorang Timbalan Pengerusi tambahan kepada ahli-ahli yang telah pun dilantik di bawah Fasal (2) Perkara 61.

(3) Sama ada Pengerusi ataupun Timbalan Pengerusi hendaklah dan boleh kedua-duanya dilantik di antara mereka-mereka yang telah menjadi ahli mana-mana perkhidmatan awam pada bila-bila masa di dalam tempoh lima tahun dahulu sedikit daripada tarikh pelantikannya yang pertama.

(4) Seorang ahli dari perkhidmatan awam bagi Negeri yang dilantik menjadi Pengerusi atau Timbalan Pengerusi hendaklah tidak boleh terhak bagi mana-mana pelantikan lagi di dalam perkhidmatan Negeri selain daripada sebagai seorang ahli Suruhanjaya itu.

(5) (i) Seorang ahli sama ada dari Dewan Parlimen atau Dewan Negeri bagi Negeri ini hendaklah tidak dilantik menjadi ahli Suruhanjaya itu.

(ii) Tertakluk kepada perenggan (iii), seseorang hendaklah tidak dilantik menjadi ahli Suruhanjaya itu sekiranya ia menjadi dan hendaklah tidak menjadi ahli itu jika sekiranya ia menjadi –

(a) seorang ahli mana-mana perkhidmatan awam bagi Persekutuan atau pun bagi mana-mana Negeri;
(b) seorang pegawai atau pekerja mana-mana pihak yang berkuasa tempatan atau sebuah badan yang ditubuhkan atau pihak berkuasa yang ditubuhkan mengikut undang-undang bagi maksud-maksud awam;
(c) seorang ahli kesatuan buruh atau badan atau persatuan yang bergabung dengan kesatuan buruh.

(iii) Seseorang ahli bagi mana-mana perkhidmatan awam bolehlah dilantik dan boleh ditinggal menjadi Pengerusi atau Timbalan Pengerusi dan, jika ada dalam cuti sebelum bersara, maka bolehlah ia dilantik menjadi seorang ahli lain bagi Suruhanjaya itu.

(iv) Jika dalam mana-mana tempoh seseorang ahli Suruhanjaya itu telah dikurniakan cuti oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia ataupun tidak berupaya kerana peninggalannya daripada Persekutuan, kesakitan atau mana-mana sebab yang lain kerana menunaikan kewajipannya sebagai ahli, maka Kebawah Duli Yang Maha Mulia bolehlah melantik supaya menjalankan kewajipan-kewajipannya dalam tempoh itu mana-mana orang yang layak dilantik pada tempatnya dan pelantikan orang itu hendaklah diperbuat dengan cara yang serupa dengan ahli yang kewajipan-kewajipannya ia kena jalankan.

(v) Suruhanjaya itu bolehlah melakukan, dengan tidak mengendahkan kekosongan ahlinya dan tidaklah perjalanan Suruhanjaya itu menjadi tidak sah dengan sebab hanya ada seorang yang tidak berhak telah mengambil bahagian di dalamnya.

(vi) Sebelum menjalankan kewajipannya sebagai seorang ahli Suruhanjaya itu atau di bawah perenggan (iv), maka mana-mana orang hendaklah mengangkat dan menandatangani di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi akan sumpah jawatan dan sumpah taat setia seperti berikut:

"Adalah saya, , setelah dilantik kepada jawatan ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri bagi Negeri Kelantan dengan sesungguhnya bersumpah (atau berikrar) bahawa saya dengan setianya akan menunaikan kewajipan-kewajipan jawatan itu dengan sedaya upaya saya, dan bahawa saya akan taat dan bersetiawan dengan sebenarnya kepada Negeri Kelantan, dan akan memelihara, menjaga dan mempertahankan Perlembagaannya.".

(6) Seorang ahli Suruhanjaya –

(a) hendaklah dilantik bagi tempoh selama lima tahun atau jika Kebawah Duli Yang Maha Mulia melakukan mengikut timbangannya tetapi setelah menimbang nasihat daripada Menteri Besar yang ditentukan di dalam perkara-perkara yang tertentu bagi tempoh yang lebih pendek sebagaimana ia boleh menentukan;
(b) bolehlah, melainkan tidak layak, dilantik dari satu masa ke satu masa; dan
(c) bolehlah pada bila-bila masa berhenti daripada jawatannya tetapi hendaklah tidak dibuang daripada jawatan itu dikecualikan dengan alasan-alasan yang seakan-akan itu dan dengan cara seakan-akan dengan seorang Hakim Mahkamah Persekutuan di bawah Fasal (3), (4) dan (5) Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan:

Dengan syarat bahawa Fasal tersebut hendaklah ditafsirkan seolah-olah sebutan mengenai Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri dalam Fasal itu digantikan dengan sebutan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Menteri Besar.

(7) Maka hendaklah Dewan Negeri dengan undang-undang mengadakan syarat kerana upahan bagi mana-mana ahli Suruhanjaya itu selain daripada ahli yang upahannya sebagai pemegang jawatan lain ada diperbuat cadangan oleh undang-undang Negeri; dan upahan yang dicadangkan itu hendaklah dibayar daripada Kumpulan Wang Yang Disatukan.

(8) Upahan dan lain-lain tempoh jawatan bagi seseorang ahli Suruhanjaya itu hendaklah tidak diubah sehingga merugikan dia kemudian daripada pelantikannya.

(9) Tertakluk kepada syarat mana-mana undang-undang yang ada dan syarat-syarat Bahagian ini, maka hendaklah menjadi kewajipan Suruhanjaya itu pada melantik, mengesah dan meletakkan ke atas ketetapan yang kekal ataupun yang berpencen, menaikkan pangkat, menukarkan dan menjalankan kawalan tatatertib ke atas ahli-ahli perkhidmatan-perkhidmatan yang meliputi kuasanya.

(9A) (i) Walau apa pun yang diperuntukkan dalam Fasal (9), semua kuasa-kuasa dan tugas-tugas Suruhanjaya, selain daripada kuasa bagi membuat lantikan yang pertama kepada jawatan tetap atau berpencen, bolehlah dijalankan oleh sebuah Jumaah yang dilantik oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia.

(ii) Sesiapa yang tidak puas hati dengan cara Jumaah menjalankan sebarang kuasa-kuasa atau tugas-tugas Suruhanjaya yang disebutkan tadi bolehlah merayu kepada Jumaah Ulangbicara yang dilantik oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia.

(iii) Kebawah Duli Yang Maha Mulia boleh membuat peraturan-peraturan berkaitan dengan pelantikan ahli-ahli dan cara-cara yang hendaklah diikuti oleh Jumaah atau Jumaah Ulangbicara di bawah Fasal ini.

(iv) Apabila Kebawah Duli Yang Maha Mulia telah melantik Jumaah itu di bawah perenggan (i) dari Fasal ini untuk maksud menjalankan sebarang kuasa-kuasa atau tugas-tugas yang disebutkan di dalam perenggan itu, maka kuasa atau tugas yang tersebut itu selagi kekal menjadi kuasa atau tugas bagi dijalankan oleh Jumaah itu hendaklah diberhentikan daripada dijalankan oleh Suruhanjaya tersebut.

(10) Undang-undang Negeri boleh mengadakan syarat-syarat kerana menjalankan kewajipan-kewajipan yang lain oleh Suruhanjaya itu.

(11) Suruhanjaya itu bolehlah menurunkan kuasa kepada mana-mana pegawai di dalam perkhidmatan awam bagi Negeri atau kepada mana-mana Lembaga yang pegawai-pegawai itu dilantik olehnya akan manamana kewajipan di bawah Fasal (9) berkenaan dengan mana-mana darjah perkhidmatan, dan pegawai atau Lembaga itu hendaklah menjalankan kewajipan-kewajipan itu di bawah perintah dan kawalan Suruhanjaya itu.

(12) Suruhanjaya itu bolehlah, tertakluk kepada syarat-syarat Perlembagaan ini dan undang-undang Negeri, membuat peraturan-peraturan mengaturkan peraturannya dan menetapkan bilangan ahli-ahlinya yang kena menggenapkan cukup bilangan.

(13) Suruhanjaya itu hendaklah membuat penyata tahunannya berkenaan dengan pergerakan-pergerakannya kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan salinan-salinan penyata ini hendaklah dibentangkan di dalam Dewan Negeri.

(14) Dalam Perkara ini –

(a) "pertukaran" tidak termasuk pertukaran dalam sesebuah pejabat kerajaan dengan tidak berubah pangkat;
(b) "Suruhanjaya" maknanya Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri yang ditubuhkan di bawah Fasal (1);
(c) "perkhidmatan awam bagi Negeri" hendaklah mempunyai makna yang serupa dengan yang di dalam Bahagian X daripada Perlembagaan Persekutuan; dan
(d) "Pengerusi" ertinya Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri, dan hendaklah termasuk seorang Timbalan Pengerusi yang dilantik di bawah Fasal (2A).

Kelebihan Kebawah Duli Yang Maha Mulia tersimpan

62. Melainkan telah disebut di dalam ini, maka Bahagian ini tidaklah akan menyentuh kelebihan, kuasa dan takluk Kebawah Duli Yang Maha Mulia.

Pengertian bagi Undang-Undang Perlembagaan

63. (1) Dengan tiada mencacatkan mana-mana takluk kuasa appeal atau mengubah bagi Mahkamah Persekutuan, jika dalam mana-mana perbicaraan di hadapan satu mahkamah yang lain maka satu soalan ada berbangkit tentang kuasa mana-mana syarat daripada Undang-Undang Perlembagaan Negeri, maka Mahkamah Persekutuan berkuasalah, apabila diminta oleh salah satu pihak bagi perbicaraan itu, menetapkan soalan itu dan sama ada menyelesaikan perkara itu atau hantarkannya kepada mahkamah lain supaya diselesaikan mengikut ketetapan itu.

(2) Maka berkuasalah Kebawah Duli Yang Maha Mulia merujukkan kepada Mahkamah Persekutuan bagi fikirannya manamana soalan tentang kuasa mana-mana syarat daripada UndangUndang Perlembagaan Negeri yang telah berbangkit atau nampak kepadanya harus akan berbangkit, dan Mahkamah Persekutuan hendaklah mengisytiharkan fikirannya di dalam mahkamah terbuka di atas mana-mana soalan yang dirujukkan kepadanya.

PERUNTUKAN PERALIHAN

Syarat-syarat peralihan tentang kandungan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan

64. (1) Selepas dibubarkan Majlis Mesyuarat Negeri yang akhir, maka Majlis Mesyuarat Kerajaan hendaklah mengandungi Menteri Besar dan sekalian mereka yang telah menjadi ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan dahulu sedikit daripada pembubarannya itu tetapi tidaklah boleh mereka itu terus memegang jawatannya selepas persidangan-persidangan yang pertama bagi Dewan Negeri yang pertama melainkan ianya seorang ahli Dewan Negeri itu.

(2) Selepas dibubarkan Dewan Negeri yang pertama atau yang kemudian maka Majlis Mesyuarat Kerajaan hendaklah mengandungi Menteri Besar dan sekalian mereka yang telah menjadi ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan dahulu sedikit daripada pembubaran Dewan Negeri itu tetapi tidaklah boleh mereka itu terus memegang jawatannya selepas persidangan yang pertama bagi Dewan Negeri yang baru itu melainkan ianya seorang ahli Dewan Negeri itu.

Mencetak semula Undang-Undang Perlembagaan

65. (1) Maka berkuasalah Pencetak Kerajaan dengan persetujuan daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia, mencetak salinan-salinan daripada Undang-Undang Perlembagaan dengan segala tambahan, pembatalan dan pindaan akibat daripada undang-undang pindaan Akta Parlimen atau Undang-Undang Negeri, dan salinan-salinannya yang seumpama itu hendaklah disifatkan menjadi salinan-salinan yang sah bagi undang-undang Perlembagaan yang dipinda sedemikian,

(2) Mana-mana perujukan di dalam mana-mana undang-undang, Akta Parlimen atau Undang-Undang Negeri kepada bilangan satusatu barisan daripada suatu Perkara, Fasal ataupun perenggan daripada Undang-Undang Perlembagaan itu hendaklah bererti barisan di dalam salinan rasmi yang dicetak akhir sekali bagi Undang-Undang Perlembagaan ini pada masa diluluskan oleh Akta Parlimen atau Undang-Undang Negeri yang terkandung di dalam perujukan itu.

JADUAL YANG PERTAMA

KEPADA BAHAGIAN YANG PERTAMA UNDANG-UNDANG PERLEMBAGAAN TUBUH KERAJAAN

[Perkara 51]

KEBEBASAN-KEBEBASAN DAN KUASA-KUASA

Pengertian

1. Di dalam Jadual ini melainkan nasnya berkehendak kepada makna yang lain –

"ahli" maknanya seseorang ahli Dewan itu;

"Dewan" maknanya Dewan Negeri;

"pegawai Dewan itu" dan "pegawai" maknanya Kerani Mesyuarat dan manamana orang yang ditetapkan oleh Speaker menjadi seorang pegawai Dewan itu;

"Peringatan-peringatan" maknanya peringatan-peringatan mesyuarat bagi Dewan itu atau rekod-rekod rasmi berkait dengan perjalanan-perjalanannya;

"Perintah-Perintah Tetap" maknanya Peraturan-Peraturan Tetap dan Perintah-Perintah Dewan itu yang pada ketika itu sedang berjalan kuat kuasanya;

"Speaker" maknanya Speaker yang dilantik mengikut makna Perkara 45 daripada Bahagian ini dan termasuklah mana-mana ahli memangku sebagai Speaker.

Kebebasan bercakap dan berbahas

2. Maka hendaklah ada kebebasan bercakap dan berbahas di dalam perjalanan-perjalanan Dewan itu dan kebebasan bercakap serta berbahas itu tidaklah boleh dituduh atau disoal di dalam mana-mana mahkamah atau mahkamah penyelesaian di luar Dewan itu.

Kebebasan ahli-ahli daripada perbicaraan mal atau jenayah kerana apa-apa perkara yang dibuat atau dikata di hadapan Dewan

3. Tidaklah boleh mana-mana ahli terkena kepada mana-mana perbicaraan mal atau jenayah, tangkapan, penjara atau tuntutan malu yang terbit dari sebab mana mana perkara yang ia harus bawa dengan jalan rayu hal, Rang Undang-Undang, ketetapan, cadangan atau lainnya, atau yang ia telah berkata di hadapan Dewan atau mana-mana jawatankuasa.

Kuasa Dewan memerintahkan kehadiran saksi-saksi dan menunjukkan surat-surat

4. Dewan itu, dan mana-mana jawatankuasa yang diberi kuasa dengan suatu perintah Dewan supaya memanggil orang, mendapatkan surat-surat atau kertas-kertas, bolehlah dengan tertakluk kepada syarat-syarat perenggan 7 dan 8, memerintahkan mana-mana orang supaya hadir di hadapan Dewan atau di hadapan jawatankuasa itu, dan memberi keterangan atau menunjukkan manamana kertas, buku, rekod atau surat yang di dalam milik atau di bawah jagaan orang yang tersebut itu.

Kehadiran hendaklah dimaklumkan dengan saman

5. Mana-mana perintah kerana hadir, kerana memberi keterangan atau kerana menunjukkan surat-surat di hadapan Dewan atau di hadapan mana-mana jawatankuasa hendaklah diberitahu kepada orang yang dikehendaki hadir atau menunjukkan surat itu, dengan saman yang ditandatangan oleh Kerani Mesyuarat yang dikeluarkan dengan perintah Speaker dan di dalam tiap-tiap saman itu hendaklah disebutkan masa dan tempat orang yang dipanggil itu dikehendaki hadir dan surat-surat yang tertentu yang ia dikehendaki tunjuk, dan saman-saman itu hendaklah dihantar kepada orang yang tersebut namanya di dalam saman itu, sama ada diserahkan satu salinan daripadanya atau dengan meninggalkan satu salinan daripada saman itu di tempat kediamannya yang dia biasa tinggal atau yang akhir sekali diketahui ia tinggal dengan diserahkan kepada orang yang dewasa, dan hendaklah dibayar atau diberi kepada orang yang disaman itu jika ia tidak tinggal di dalam enam batu daripada tempat Dewan itu, sejumlah wang untuk perbelanjaannya sebagaimana ditetapkan oleh mana-mana Perintah Tetap bagi maksud itu.

Pemeriksaan saksi-saksi dengan sumpah

6. Dewan atau mana-mana jawatankuasa bolehlah berkehendakkan supaya mana mana dalil, perkara-perkara dan benda-benda yang berkait dengan perkara pemeriksaan di hadapan Dewan atau jawatankuasa itu disahkan ataupun ditahkikkan dengan pemeriksaan saksi-saksi itu dengan mulut, dan bolehlah menyebabkan supaya mana-mana saksi itu diperiksa dengan sumpah yang boleh dijalankan oleh Speaker, atau Pengerusi jawatankuasa itu atau oleh orang yang dilantik khas bagi maksud itu.

Kelepasan daripada menjawab soalan-soalan atau menunjukkan surat-surat

7. Jika mana-mana orang yang diperintahkan supaya hadir kerana memberi keterangan atau untuk menunjukkan mana-mana kertas, buku, rekod atau surat keterangan di hadapan Dewan atau mana-mana jawatankuasa enggan menjawab mana-mana soalan yang harus dihadapkan kepadanya atau menunjukkan mana-mana kertas, buku, rekod atau surat dengan alasan bahawa benda-benda itu ialah barang-barang sulit seseorang (private) dan tidak mengenai dengan perkara penyiasatan itu, maka bolehlah Speaker, atau Pengerusi jawatankuasa, (menurutlah mana-mana satu yang berkenaan) merepotkan keengganan itu bersekali dengan sebab-sebab baginya, dan pada ketika itu bolehlah Dewan itu memaafkan daripada menjawab soalan itu ataupun daripada menunjukkan kertas, buku, rekod atau surat itu ataupun bolehlah memerintahkan supaya diberi jawapan atau ditunjukkan benda-benda itu.

Kebebasan saksi-saksi

8. (1) Tiap-tiap orang yang diperintahkan supaya hadir, kerana memberi keterangan, atau menunjukkan mana-mana kertas, buku, rekod atau surat di hadapan Dewan itu atau mana-mana jawatankuasa hendaklah terhak, berkenaan dengan keterangan atau pembukaan mana-mana surat perutusan atau menunjukkan mana-mana kertas, buku, rekod atau surat, kepada hak atau kebebasan yang sama seperti di hadapan sesebuah mahkamah undang-undang.

(2) Tidaklah boleh seseorang pegawai kerajaan –

(a) menunjukkan di hadapan Dewan atau mana-mana jawatankuasa akan mana-mana kertas, buku, rekod atau surat; atau
(b) memberi keterangan di atas mana-mana perkara itu di hadapan Dewan atau mana-mana jawatankuasa,

berkait dengan surat-surat bagi mana-mana angkatan tentera laut, darat, udara atau jabatan awam (sivil) atau yang berkait dengan mana-mana perkara yang mengenai perkhidmatan kerajaan, dikecuali dengan persetujuan Yang di-Pertuan Agong di dalam perkara jabatan tentera laut, darat, udara atau jabatan bagi Kerajaan Persekutuan ataupun dengan persetujuan Kebawah Duli Yang Maha Mulia atau Yang di-Pertua Negeri, menurutlah mana-mana satu yang berkenaan, di dalam perkara sesebuah jabatan Negeri-Negeri Selat, dan tidaklah boleh diterima atau ditunjukkan di hadapan Dewan atau mana-mana jawatankuasa akan keterangan yang beralas mulut atau salinan bagi kandungan-kandungan mana-mana kertas, buku, rekod atau surat itu.

Surat akuan Speaker yang seorang saksi itu telah menjawab soalan-soalan yang dihadapkan kepadanya oleh Dewan

9. Tiap-tiap orang saksi di hadapan Dewan atau di hadapan sesuatu jawatankuasa yang menjawab dengan penuh dan dengan betul benar akan mana-mana soalansoalan yang dihadapkan kepadanya oleh Dewan atau oleh jawatankuasa sehingga memuaskan hatinya hendaklah terhak mendapat satu surat akuan di bawah tandatangan Speaker atau Pengerusi jawatankuasa, menyatakan bahawa saksi itu telah dikehendaki menjawab di dalam pemeriksaannya dan telah menjawab akan mana-mana soalan itu.

Tegahan memberi keterangan di luar Dewan akan mana-mana keterangan di hadapan Dewan dengan tiada kebenaran Dewan

10. Tidaklah boleh mana-mana ahli atau pegawai Dewan dan tidaklah boleh jurutrengkas yang bekerja mengambil minit-minit atau keterangan di hadapan Dewan atau mana-mana jawatankuasa, memberi keterangan di tempat-tempat yang lain berkenaan dengan kandungan keterangan itu ataupun berkenaan dengan kandungan-kandungan mana-mana tulisan atau surat yang dibentangkan di hadapan Dewan atau mana-mana jawatankuasa atau berkenaan dengan mana-mana perjalanan-perjalanan atau pemeriksaan yang dijalankan di hadapan Dewan atau mana-mana jawatankuasa dengan tidak terlebih dahulu mendapat kebenaran khas daripada Dewan. Maka kebenaran khas itu bolehlah diberi selepas daripada pembubaran atau di dalam masa rehat atau penangguhan oleh Speaker atau di dalam masa ketiadaannya atau sebab-sebab yang lain, oleh Kerani Mesyuarat.

Peringatan-peringatan Dewan boleh diterima sebagai keterangan

11. Tatkala dibuat mana-mana penyiasatan yang menyentuh kebebasan, kelebihan dan kuasa Dewan atau mana-mana ahli, maka mana-mana salinan peringatan-peringatan yang dicetak atau yang bererti telah dicetak oleh Pencetak Kerajaan atau oleh atau dengan kuasa Dewan hendaklah diterima sebagai keterangan bagi peringatan-peringatan itu di dalam semua mahkamah-mahkamah dan tempat-tempat dengan tidak payah diberi keterangan yang salinan itu telah dicetak sedemikian itu.

Surat akuan Speaker menjadi suatu keterangan jawapan di dalam perbicaraan-perbicaraan yang dijalankan berkenaan dengan perisytiharan Dewan itu

12. Mana-mana orang yang menjadi orang yang kena dakwa di dalam mana-mana perbicaraan mal atau jenayah yang dijalankan bagi atau kerana atau berkenaan dengan siaran oleh orang itu atau oleh orang gajinya dengan perintah atau dengan kuasa Dewan atau mana-mana jawatankuasa, akan mana-mana penyata-penyata, kertas-kertas, minit-minit, undi-undi atau perjalanan-perjalanan mesyuarat itu bolehlah, setelah diberi dua puluh empat jam notis yang bertulis memberitahu akan hajatnya itu kepada orang yang mendakwa atau pendakwa (menurutlah mana-mana satu yang berkenaan), membawa ke hadapan mahkamah yang perbicaraan mal atau jenayah itu dijalankan, akan satu surat akuan di bawah tandatangan Speaker atau Kerani Mesyuarat, menyatakan bahawa penyata-penyata, kertas-kertas, minit-minit, undi-undi atau perjalanan-perjalanan mesyuarat berkenaan dengannya perbicaraan mal atau jenayah itu dijalankan, telah disiarkan oleh orang itu atau oleh orang gajinya dengan perintah atau dengan kuasa Dewan atau mana-mana jawatankuasa, bersama-sama dengan surat ikrar yang mengesahkan surat pengakuan itu, dan mahkamah itu hendaklah pada ketika itu dengan serta-merta memberhentikan perbicaraan mal atau jenayah itu dan perkara itu serta tiap-tiap perjalanan yang berlaku di dalamnya disifatkan sebagai telah diputuskan dengan muktamad.

Siaran-siaran yang dibebaskan

13. Di dalam mana-mana perbicaraan mal dan jenayah yang dijalankan kerana menyiarkan mana-mana cabutan atau ringkasan mana-mana penyata, kertas, minit-minit, undi-undi atau perjalanan mesyuarat, sebagaimana yang telah tersebut di dalam perenggan yang lepas, jika mahkamah itu ataupun juri, (menurutlah mana-mana satu yang berkenaan) puas hati bahawa cabutan atau ringkasan itu telah disiarkan dengan sebenar-benarnya dan bukan dengan sebab sakit hati, maka hukuman atau keputusan (menurutlah mana-mana satu yang berkenaan) hendaklah diberi bagi orang yang kena dakwa atau orang yang dituduh itu.

Speaker terus menjadi Yang di-Pertua

14. Dengan tidak mengendahkan keberhentian atau pembubaran Dewan, maka Speaker hendaklah terus menjadi sebagai Yang di-Pertua Dewan itu bagi maksud Jadual ini.

Ketetapan

Bahkan demikianlah Bahagian Yang Pertama bagi Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Negeri Kelantan.

Ucapan Doa

Mudah-mudahan dengan kemegahan junjungan Kita bahawa TUHAN seru sekalian Alam permuliakan Bahagian yang Pertama daripada Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Negeri ini selama-lamanya. Amin Ya Rabbal Alamin.

Diperbuat di Istana Balai Besar Kota Bharu pada dua puluh satu haribulan Rabiulawal Tahun 1367 Hijrah Nabi (Sollalahu Alaihi Wasallam) bersamaan dengan satu haribulan Februari tahun Masihi, 1948, iaitu tahun yang keempat Kita di atas Takhta Kerajaan.

PADA MENYAKSIKAN pengurniaan dan ketetapan Bahagian ini daripada Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Negeri ini serta persertaan dan persetujuan Pegawai-Pegawai Melayu Kanan, dan Orang-Orang Besar bagi Negeri ini, adalah sekalian Kita membubuh tandatangan masing-masing di bawah ini:

T.Y. PETRA (dalam tulisan Rumi)
ABDUL RAHMAN (dalam tulisan Jawi)
H. ZAINAL (dalam tulisan Rumi)
T. AHMED (dalam tulisan Rumi)
MAHMOOD BIN ISMAIL (dalam tulisan Jawi)
T.M. YUSUFF (dalam tulisan Rumi)
N.A. KAMIL (dalam tulisan Rumi)
T. MAHMOOD (dalam tulisan Rumi)
AHMED MAHER (dalam tulisan Jawi)
AHMED ZAINAL ABIDIN (dalam tulisan Jawi)
AHMED HAJI MAHMOOD (dalam tulisan Jawi)
MOHAMED DAUD BIN MOHAMED (dalam tulisan Jawi)

  1. CATATAN-Ordinan ini telah disatukan dan disemak menjadi Akta Tafsiran 1948 dan 1967 [Akta 388] mula berkuat kuasa pada 19 Oktober 1989.
  2. CATATAN-Perkara ini telah dipotong oleh Akta Perlembagaan (Pindaan) 1962 [Akta 1411962] mula berkuat kuasa pada 1 Julai 1963.