Pergi ke kandungan

Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan/Bahagian Yang Kedua

Daripada Wikisumber

UNDANG-UNDANG PERLEMBAGAAN TUBUH

Bahagian Yang Kedua kepada Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan

1. Adapun Perkara-Perkara yang terkandung di dalam ini (yang kemudian daripada ini digelar "Bahagian ini") hendaklah menjadi Bahagian Yang Kedua kepada Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan, yang akan digelarkan di dalam bahasa Inggeris "the Laws of the Constitution of Kelantan, Second Part"; dan hendaklah dibaca bersekali dengan Perlembagaan Persekutuan dan Bahagian Yang Pertama kepada Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan dan hendaklah berjalan kuat kuasanya dengan serta-merta.

2. (Dipotong oleh G.N. No. 182/1959).

Kuasa-kuasa pada meminda

3. (1) Syarat-syarat yang berikut daripada Perkara ini hendaklah berjalan kuat kuasa berkenaan dengan pindaan Bahagian ini daripada Undang-Undang Perlembagaan Negeri.

(2) Syarat-syarat mengenai –

(a) naik Takhta Kerajaan dan pangkat kebesaran adat istiadat Melayu;
(b) pelantikan dan sifat seseorang bakal atau bakal-bakal Raja kepada Takhta Kerajaan, Raja Perempuan atau Pemangku Raja ataupun ahli-ahli Majlis Pangkuan Raja bagi Negeri;
(c) pembuangan, menarik balik atau menurunkan daripada Takhta Raja itu atau bakal Raja ataupun bakal-bakal Rajanya;
(d) pelantikan dan sifat Ketua-Ketua Pemerintah ataupun pangkat kebesaran adat istiadat Melayu yang serupa itu dan ahli-ahli Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu, Majlis Penasihat Raja ataupun badan-badan yang serupa itu; dan
(e) penubuhan, aturan, pengesahan dan pelucutan pangkat pangkat, gelaran, kehormatan, kebesaran adat istiadat Melayu dan pekurniaan serta sifat pemegang-pemegangnya dan kawalan bagi istana, balai-balai penghadapan dan istana-istana raja, bolehlah dipinda oleh Yang Maha Mulia dengan Perwawai yang dikeluarkan dengan persertaan dan persetujuan Majlis Penasihat Raja, tetapi tidaklah boleh dipinda dengan mana-mana jalan yang lain.

(3) Mana-mana syarat yang lain bolehlah, dengan terkena kepada syarat-syarat Perkara ini, dipinda dengan satu undang-undang dari Badan Undangan, tetapi tidaklah boleh dipinda dengan mana-mana jalan yang lain.

(4) Sesuatu Rang Undang-Undang kerana membuat pindaan kepada mana-mana syarat daripada Bahagian ini, selain daripada syarat-syarat yang tersebut di dalam Fasal (2), hendaklah tidak dilulus oleh Dewan Negeri melainkan telah disokong pada masa Bacaan-Bacaan Kali Yang Kedua dan Yang Ketiga dengan undiundi yang tidak kurang daripada dua pertiga daripada jumlah bilangan ahli-ahli daripadanya.

(5) Di dalam Perkara ini "pindaan" termasuk tambahan dan pembatalan.

Pengertian

4. (1) Di dalam Bahagian ini, melainkan nasnya berkehendak pengertian yang lain -

"Ahlu 's Sunnah wal Jamaah" maknanya ialah mazhab Abu Al-Hassan Al-Asha'ri dan Abu Mansoor Al-Maturidi dan orang yang mengikut jejak langkah keduanya;

"Hukum Syarak" maknanya perhimpunan undang-undang yang diketahui di dalam bahasa Inggeris sebagai "Islamic law" atau "the Law of the religion of Islam";

"Kerabat D'Raja" yang akan dipanggil di dalam bahasa Inggeris "Member of the Royal Family", maknanya mana-mana seorang Melayu yang berdarah raja, yang beragama Islam dan keturunan zuriat Long Yunus;

"Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu" maknanya Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu yang ditubuhkan bagi masa itu di bawah mana-mana undang-undang yang bertulis;

"Majlis Penasihat Raja" maknanya ialah sebuah Majlis yang ditubuhkan di bawah syarat-syarat Bahagian ini;

"Majlis Perajaan Negeri" maknanya Majlis Perajaan Negeri yang ditubuhkan di bawah syarat-syarat Bahagian ini;

"Raja" maknanya Sultan dan Raja bagi Kelantan;

"Waris" yang digelarkan di dalam bahasa Inggeris "Heir", maknanya Putera Raja yang menjadi Bakal Raja kepada Takhta dan Kerajaan Kelantan;

"Waris Yang Kedua" yang digelarkan di dalam bahasa Inggeris "Second Heir"; maknanya Putera Raja yang setingkat di bawah Putera Raja yang menjadi Bakal Raja dan sebegitulah Heir Presumptive kepada Takhta dan Kerajaan Kelantan;

"Waris Yang Lain" yang digelarkan di dalam bahasa Inggeris "Other Heir", maknanya seorang Putera Raja yang berhak boleh mengambil tempat sama ada Waris Yang Kedua Second Heir (Heir Presumptive) atau Bakal Raja (Heir Apparent), iaitu, seorang yang boleh menjadi Bakal Raja kepada Takhta dan Kerajaan Kelantan, jika tempat-tempat dan pangkat-pangkat yang demikian itu tiada berisi.

(2) Melainkan di mana pengertian mana-mana perkataan atau sebutan adalah disyaratkan dengan terangnya oleh Bahagian ini atau di mana nasnya berkehendakkan pengertian yang lain, maka Perkara 4 daripada Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan Bahagian Yang Pertama hendaklah dipakai bagi memberi pengertian kepada Bahagian ini sebagaimana dipakainya bagi memberi pengertian kepada Bahagian Yang Pertama.

(3) Dengan tidak merosakkan apa-apa jua kuasa ulang bicara atau kuasa mengubah keputusan Mahkamah Persekutuan jika dalam sebarang pendakwaan di hadapan mahkamah lain maka jika berbangkit sesuatu hal yang akan terbit daripada apa-apa jua syarat dalam Perlembagaan Negeri maka, Mahkamah Persekutuan, jika diminta oleh pihak yang mendakwa atau yang kena dakwa bolehlah memberi keputusan sama ada dengan sendiri atau ditentu kepada mahkamah lain bagi menjalankan keputusannya itu.

(4) Kebawah Duli Yang Maha Mulia bolehlah menyampaikan apa-apa perkara kepada Mahkamah Persekutuan bertanyakan fikirannya berkenaan dengan akibat apa-apa jua syarat daripada Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Negeri ini yang berbangkit atau yang nampak kepada Baginda harus akan berbangkit, dan Mahkamah Persekutuan hendaklah memasyhurkan dalam mahkamah pendapatnya itu berkenaan apa-apa jua perkara yang disampaikan kepadanya itu.

MAJLIS PERAJAAN NEGERI

Penubuhan Majlis Perajaan Negeri

5. Majlis Perajaan Negeri Kelantan, yang digelarkan di dalam bahasa Inggeris "Council of Succession of Kelantan" adalah dengan ini ditubuhkan.

Pengesahan naik Takhta

6. Tidaklah boleh siapa-siapa pun menaiki Takhta dan Kerajaan Kelantan melainkan kenaikannya itu disahkan oleh Majlis Perajaan Negeri.

Ahli dan pelantikan

7. Majlis Perajaan Negeri hendaklah terdiri daripada yang berikut, iaitu –

(i) Yang di-Pertua;
(ii) Timbalan Yang di-Pertua;
(iii) Setiausaha Kerajaan, yang hendaklah menjadi Setiausaha Majlis;
(iv) Mufti Kerajaan;
(v) empat orang ahli Kerabat D'Raja; dan
(vi) tidak kurang daripada enam orang dan tidak lebih daripada dua belas orang lain yang hendaklah daripada bangsa Melayu dan rakyat Raja Negeri,

yang hendaklah dilantik oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia melalui Surat di bawah tandatangan Baginda dan Mohor Negeri dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia, bertindak mengikut budi bicara Baginda mempunyai hak dan kuasa untuk membatalkan pelantikan atau membuang dan melepaskan mana-mana ahli Majlis Perajaan Negeri.

Sumpah

7A. Kecuali bagi maksud membolehkan Perkara ini dipatuhi, tiada seorang pun boleh mengambil tempat atau mengundi dalam Majlis sehingga dia telah mengangkat dan menandatangani di hadapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia, atau seseorang lain yang diberi kuasa oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia bagi maksud itu, sumpah yang berikut:

"Dengan Kebesaran Allah dan kelebihan Nabi Kami Muhammad, saya, , yang telah dipilih dan diterima menjadi ahli Majlis Perajaan Negeri, atau "the Council of Succession", Negeri Kelantan, bersumpah bahawa saya akan menumpukan taat setia yang sebenar kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan; dan bahawa saya sentiasa sepanjang masa apabila dikehendaki berbuat demikian, akan memberikan nasihat dengan sebaikbaik pertimbangan saya; dan bahawa saya secara langsung atau tidak langsung tidak akan mendedahkan apa-apa perkara yang disampaikan kepada saya atau dibahas dalam Majlis dan yang saya dikehendaki merahsiakannya, dan bahawa saya akan memelihara, menjaga dan mempertahankan Perlembagaan Negeri Kelantan.".

Tambahan kepada lafaz sumpah

7B. Kepada sumpah itu hendaklah ditambah apa-apa perkataan yang menurut agama Islam akan mengikat perasaan hati orang yang mengangkat sumpah itu.

Panggilan dan mesyuarat kerana mengesahkan kenaikan ke atas Takhta

8. (1) Lepas sahaja daripada mangkat atau turun Takhta daripada menjadi Raja atau lucut baginda daripada menjadi Raja di bawah syarat-syarat Bahagian ini, menurutlah mana-mana yang berlaku, maka hendaklah Setiausaha Kerajaan dengan perintah Yang di-Pertua mengadakan satu mesyuarat setelah memanggil dengan notis tiap-tiap seorang ahli Majlis Perajaan Negeri yang akan dipersampaikan di alamatnya di dalam Negeri pada waktu dan tempat yang akan dinyatakan di dalam notis itu dan wajiblah di atas tiap-tiap seorang ahli Majlis Perajaan Negeri itu hadir pada waktu dan tempat itu melainkan ketiadaan hadirnya dimaafkan oleh Yang di-Pertua kerana sebab yang difikirkannya munasabah dan cukup memuaskan.

(2) Di dalam mesyuarat itu, maka hendaklah Majlis Perajaan Negeri mengesahkan bakal Raja itu menjadi Raja yang memerintah, melainkan setelah disiasat dengan sepenuh dan secukupnya Majlis itu berpendapatan ia ada mempunyai apa-apa kecacatan yang besar dan berat yang menyalahi sifat-sifat Raja seperti pengidapan yang berkekalan, buta, bisu ataupun mempunyai sifat-sifat yang keji yang tidak dibenarkan oleh Hukum Syarak menjadi Raja.

(3) Jika sekiranya Majlis Perajaan Negeri enggan mengesahkan bakal Raja itu daripada menjadi Raja, maka Majlis itu hendaklah dengan terkena kepada kuasa-kuasa yang bersamaan bagi menolak, mengesahkan Waris Yang Kedua dan: jika Majlis itu enggan juga mengesahkannya maka hendaklah disahkan Waris-Waris Yang lain mengikut tertibnya; dengan syarat boleh juga ditolak, sehingga Majlis Perajaan Negeri itu mengesahkan seorang daripada Waris-Waris Yang Lain menjadi Raja, begitulah sampai ke akhirnya Majlis itu berkuasa menolaknya.

Pilihan dan pelantikan Raja apakala tiada Bakal-Bakal Waris yang berhak atau keengganan mengesahkan mana-mana Bakal Waris yang berhak itu

9. (1) Apakala Takhta Kerajaan Kelantan itu tertinggal kosong kerana tidak ada orang yang berhak di bawah syarat-syarat Perkara 17 daripada Bahagian ini, hendak disahkan menjadi Raja, atau, jika pun berhak, tetapi tidak disahkan, maka wajiblah di atas Majlis Perajaan Negeri memilih dan melantik mana-mana seorang menjadi Raja:

Dengan syarat bahawa orang yang hendak dipilih dan dilantik itu hendaklah seorang lelaki yang cukup umur, sempurna akal, daripada bangsa Melayu dan diperanakkan dalam Negeri Kelantan, daripada bapanya yang juga telah diperanakkan dalam Negeri Kelantan, rakyat Raja yang dahulu, beragama Islam bermazhab Ahlu 's Sunnah wal Jamaah, daripada darah baik dan diakui sah dan halal peranakannya, serta ada pula pengetahuannya boleh membaca dan menulis bahasa Melayu, dan ada mempunyai nama· baik, fahaman waras, tabiat perangai, budi pekerti dan tingkah laku yang baik dan terpuji.

(2) Setelah seorang itu dipilih dan dilantik di bawah syaratsyarat Fasal (1) daripada Perkara ini menjadi Raja, kemudian daripada itu maka keturunan yang akan berhak menjadi Raja hendaklah putera, cucunda putera, cicitnda putera dan sebagainya daripada sebelah lelaki, dari selapis ke selapis keturunan hingga akhirnya sekali, oleh itu hendaklah tidak dibenarkan sekali-kali dan hendaklah menjadi tidak sah jika dipilih menjadi Raja akan mana-mana orang selain daripada keturunan zuriat Raja yang dipilih dan dilantik seperti yang tersebut dahulu itu di bawah Fasal (1) daripada Perkara ini:

Dengan syarat bahawa keturunan zuriat Raja yang dipilih di bawah syarat-syarat Fasal ini tidak akan berhak, jika ia difikir dan ditetapkan, selepas disiasat dengan sepenuh dan secukupnya oleh Majlis Perajaan Negeri, ada mempunyai beberapa kecacatan yang besar dan berat yang menyalahi sifat Raja, iaitu apa-apa pengidapan yang berkekalan seperti hilang akal, buta, bisu ataupun mempunyai sifat-sifat yang keji yang tidak dibenarkan oleh Hukum Syarak menjadi Raja.

Panggilan Majlis Perajaan Negeri kerana memilih dan melantik Raja

10. (1) Apabila berlaku mana-mana satu kejadian yang tersebut di dalam Perkara 9 daripada Bahagian ini maka wajiblah Setiausaha Kerajaan dengan perintah Yang di-Pertua memanggil satu Mesyuarat Perajaan Negeri, yang akan dipersampaikan di alamatnya di dalam Negeri bagi maksud memilih dan melantik seorang untuk menjadi Raja sebagaimana yang disyaratkan di dalam Perkara yang tersebut itu.

(2) Maka wajiblah di atas tiap-tiap seorang ahli Majlis Perajaan Negeri itu hadir pada waktu dan tempat yang dinyatakan di dalam notis yang tersebut itu melainkan ketiadaan hadirnya dimaaf oleh Yang diPertua kerana sebab yang difikirkannya munasabah dan cukup memuaskan.

Pengundian dan keputusan-keputusan

11. (1) Mana-mana keputusan Majlis Perajaan Negeri tidak akan menjadi sah dan terpakai melainkan sekurang-kurangnya dua pertiga daripada ahli-ahli yang hadir dan mengundi itu bersetuju dengan keputusan itu.

(2) Mana-mana keputusan Majlis Perajaan Negeri tidak akan menjadi terbatal dengan sebab hanyalah ketiadaan hadir seorang ahli, sama ada ketiadaan hadir itu telah dimaaf oleh Yang di-Pertua atau tidak:

Dengan syarat jika mana-mana ahli yang ketiadaan hadirnya tidak dimaaf atau yang telah mungkir memberi huraian yang berpatutan kepada Yang di-Pertua, kerana ketiadaan hadirnya itu, maka terlucutlah ia dengan sendirinya daripada menjadi ahli Majlis Perajaan Negeri.

Persidangan-persidangan

12. (1) Tiada dibenarkan mana-mana orang yang lain daripada ahli hadir di dalam mana-mana persidangan Majlis Perajaan Negeri.

(2) Maka Yang di-Pertua bolehlah menangguhkan mana-mana persidangan Majlis Perajaan Negeri dari suatu masa ke suatu masa tetapi apabila sesuatu persidangan itu telah dimulakan hendaklah dijalankan terus hingga keputusan Majlis Perajaan Negeri itu telah diperbuat.

(3) Korum dalam mana-mana persidangan Majlis Perajaan Negeri hendaklah sekurang-kuramgnya empat perlima daripada bilangan ahli, tidak termasuk Setiausaha Majlis.

Minit-minit dan rekod-rekod

13. (1) Maka minit-minit perjalanan di dalam tiap-tiap persidangan Majlis Perajaan Negeri itu hendaklah disimpan dengan tulisan oleh Setiausaha Kerajaan atau jika ia tiada hadir oleh seorang ahli yang akan dilantik bagi pihaknya itu oleh Yang di-Pertua.

(2) Rekod bagi tiap-tiap keputusan Majlis Perajaan Negeri hendaklah diperbuat dengan tulisan oleh Setiausaha Kerajaan dan hendaklah ditandatangani oleh Yang di-Pertua dan tandatangannya itu hendaklah disaksikan oleh Setiausaha Kerajaan.

(3) Tiap-tiap keputusan Majlis Perajaan Negeri hendaklah disiarkan di dalam Warta Kerajaan. Persidangan Majlis Perajaan Negeri kerana memilih dan melantik Bakal Raja

14. (1) Apakala dikehendaki memilih dan melantik Bakal Raja, maka hendaklah Setiausaha Kerajaan dengan perintah Yang di-Pertua mengadakan persidangan Majlis Perajaan Negeri yang akan dipersampaikan di alamatnya di dalam Negeri, setelah memanggil dengan notis yang bertulis tiap-tiap seorang ahlinya pada waktu dan tempat yang akan dinyatakan di dalam notis itu dan wajiblah di atas tiap seorang ahli Majlis Perajaan Negeri itu hadir pada waktu dan tempat itu melainkan ketiadaan hadirnya dimaaf oleh Yang di-Pertua kerana sebab-sebab yang difikirkannya munasabah dan cukup memuaskan.

(2) Di dalam persidangan itu, maka Majlis Perajaan Negeri hendaklah menolong dan menasihatkan Raja di dalam memilih dan melantikkan Bakal Raja di antara keturunan zuriat-zuriat yang ditetapkan di dalam Perkara-Perkara 30 dan 31 mengikut tertib dan dengan terkena kepada syarat-syarat yang bersamaan bagaimana ditetapkan di dalam Perkara-Perkara yang tersebut itu.

(3) Persidangan Majlis Perajaan Negeri bagi maksud memilih dan melantik Bakal Raja itu hendaklah terkena kepada syarat-syarat yang ditetapkan di dalam Perkara-Perkara 11, 12 dan 13 Bahagian ini, yang mengaturkan suatu persidangan Majlis Perajaan Negeri bagi maksud memilih dan melantikkan Raja.

Takrif "Yang di-Pertua"

14A. Bagi maksud-maksud Perkara-Perkara 8, 9, 10, 11, 12, 13 dan 14 daripada Bahagian ini, "Yang di-Pertua" maknanya seorang Yang di-Pertua Majlis Perajaan Negeri yang dilantik di bawah Perkara 7 daripada Bahagian ini, dan jika ia meninggalkan Negeri ataupun keuzuran, termasuklah Timbalan Yang di-Pertua bagi Majlis Perajaan Negeri.

RAJA

Raja dan Bakal-Bakal Raja hendaklah orang Melayu daripada darah raja dan beragama Islam

15. Dikecuali ada syarat yang berlainan di dalam Perkara 9 Bahagian ini, maka Raja hendaklah seorang Melayu yang berdarah raja, keturunan zuriat LONG YUNUS, Raja dan Pemerintah Kelantan, seorang lelaki yang beragama Islam bermazhab Ahlu 's Sunnah wal Jamaah; dan Bakal Raja, Waris Yang Kedua dan tiap-tiap seorang Waris-Waris yang lain itu hendaklah orang yang seumpama itu juga.

Keturunan zuriat Sultan Ismail Petra

16. (1) Dengan terkena kepada syarat-syarat yang terkandung di dalam Perkara 17 dan di dalam Perkara ini, maka Raja (kemudian daripada Raja yang sekarang) hendaklah keturunan zuriat yang diakui daripada tubuh badan dan darah daging KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA SULTAN ISMAIL PETRA IBNI AL-MARHUM SULTAN YAHYA PETRA dan hendaklah diperanakkan dengan halalnya.

(2) Maka keturunan zuriat yang akan berhak menjadi Raja hendaklah putera, cucunda putera, cicitnda putera dan seterusnya daripada sebelah lelaki, dari selapis ke selapis keturunan hingga akhirnya sekali, oleh itu hendaklah tidak dibenarkan sekalikali dan hendaklah menjadi tidak sah jika ditetap atau dipilih dan dilantikkan menjadi Raja mana-mana orang selain daripada keturunan zuriat Sultan Ismail Petra, selagi ada seorang keturunan zuriat Kebawah Duli Yang Maha Mulia seperti di atas itu:

Dengan syarat bahawa keturunan zuriat Kebawah Duli Yang Maha Mulia yang tersebut itu tidak akan berhak, jika dia difikir dan ditetapkan, selepas disiasat dengan sepenuh dan secukupnya oleh Majlis Perajaan Negeri, ada mempunyai kecacatan yang besar dan berat yang menyalahi sifat Raja, iaitu apa-apa pengidapan yang berkekalan, seperti hilang akal, buta, bisu ataupun mempunyai sifat-sifat yang keji yang tidak dibenarkan oleh Hukum Syarak menjadi Raja.

Keturunan zuriat Al-Marhum Sultan Yahya Petra, Al-Marhum Sultan Ibrahim, Al-Marhum Tengku Long Senik Sultan Mohamed IV, Al-Marhum Sultan Mohamed III (Sultan Bongsu), Al-Marhum SultanAhmad (Sultan Tengah), Al-Marhum Sultan Mohamed II (Sultan Mulut Merah)

17. (1) Jika pada bila-bila masa keturunan zuriat lelaki daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ismail Petra tidak ada langsung, atau jika ada tinggal seorang sahaja tetapi dia tidak layak dijadikan Raja kerana sebab-sebab yang ditakrifkan di dalam Perkara 16 daripada Bahagian ini, maka mustahaklah dipilih dan dilantik menjadi Raja mana-mana orang di antara keturunan zuriat lelaki AL-MARHUM SULTAN YAHYA PETRA IBNI AL-MARHUM SULTAN IBRAHIM.

(2) Jika tiada keturunan zuriat lelaki daripada Al-Marhum Sultan Yahya Petra ibni Al-Marhum Sultan Ibrahim, atau jika tiada keturunan zuriat lelaki daripada Al-Marhum Sultan Yahya Petra ibni Al-Marhum Sultan Ibrahim yang difikirkan layak kerana sebab-sebab yang ditakrifkan di dalam Perkara 16 daripada Bahagian ini, maka mustahaklah dipilih dan dilantik menjadi Raja mana-mana orang di antara keturunan zuriat lelaki daripada AL-MARHUM TENGKU IBRAHIM IBNI AL-MARHUM SULTAN MOHAMED IV.

(3) Jika tiada keturunan zuriat lelaki daripada Al-Marhum Tengku Ibrahim ibni Al-Marhum Sultan Mohamed IV, atau jika tiada keturunan zuriat lelaki daripada Al-Marhum Tengku Ibrahim ibni Al-Marhum Sultan Mohamed IV, yang difikir layak, kerana sebab-sebab yang diertikan dalam Perkara 16 daripada Bahagian ini, maka mustahaklah dipilih dan dilantik menjadi Raja mana-mana orang di antara keturunan zuriat lelaki daripada AL-MARHUM TENGKU LONG SENIK SULTAN MOHAMED IV.

(4) Jika tidak ada keturunan zuriat lelaki daripada Al-Marhum Tengku Long Senik Sultan Mohamed IV atau jika tidak ada manamana seorang keturunan zuriat lelaki daripada Al-Marhum Tengku Long Senik Sultan Mohamed IV yang difikir berhak kerana sebab-sebab yang diertikan di dalam Perkara 16 Bahagian ini, maka mustahaklah dipilih dan dilantikkan menjadi Raja mana-mana orang di antara keturunan zuriat lelaki daripada AL-MARHUM SULTAN MOHAMED III (SULTAN BONGSU).

(5) Jika tidak ada keturunan zuriat lelaki daripada Al-Marhum Sultan Mohamed III (Sultan Bongsu) atau jika tidak ada manamana seorang keturunan zuriat lelaki daripada Al-Marhum Sultan Mohamed III (Sultan Bongsu) yang difikirkan berhak kerana sebab-sebab yang diertikan di dalam Perkara 16 Bahagian ini, maka mustahaklah dipilih dan dilantikkan menjadi Raja mana-mana orang di antara keturunan zuriat lelaki daripada AL-MARHUM SULTAN AHMAD (SULTAN TENGAH).

(6) Jika tidak ada keturunan zuriat lelaki daripada Al-Marhum Sultan Ahmad (Sultan Tengah) atau jika tidak ada mana-mana seorang keturunan zuriat lelaki daripada Al-Marhum Sultan Ahmad (Sultan Tengah) yang difikirkan berhak kerana sebabsebab yang diertikan di dalam Perkara 16 Bahagian ini, maka mustahaklah dipilih dan dilantikkan menjadi Raja mana-mana orang di antara keturunan zuriat lelaki daripada AL-MARHUM SULTAN MOHAMED II (SULTAN MULUT MERAH).

(7) Tidaklah boleh sesiapa pun dipilih dan dilantikkan menjadi Raja mengikut syarat-syarat yang terkandung di dalam Perkara ini melainkan ia seorang lelaki yang diakui daripada darah yang sejati lagi halal.

Ketiadaan keturunan zuriat Al-Marhum Sultan Yahya Petra, Al-Marhum Sultan lbrahim, Al-Marhum Tengku Long Senik Sultan Mohamed IV, Al-Marhum Sultan Mohamed III (Sultan Bongsu), Al-Marhum Sultan Ahmad (Sultan Tengah), Al-Marhum Sultan Mohamed II (Sultan Mulut Merah)

18. (1) Jika tidak ada orang yang berhak di bawah syarat-syarat Perkara 17 Bahagian ini, maka pilihan dan pelantikan Raja itu hendaklah terserah kepada timbangan, pandangan dan keputusan Majlis Perajaan Negeri dan mereka hendaklah menetapkan pilihan dan pelantikan mereka sama ada dengan sebulat suara atau dengan suara ramai seperti yang disyaratkan dahulu di dalam Perkara 11:

Dengan syarat bahawa orang yang hendak dipilih dan dilantik itu hendaklah seorang lelaki yang cukup umur, sempurna akal, daripada bangsa Melayu dan peranakan di dalam Negeri Kelantan daripada bapanya yang juga telah diperanakkan di dalam Negeri Kelantan, rakyat Raja yang dahulu, beragama Islam bermazhab Ahlu 's Sunnah wal Jamaah, daripada darah baik dan diakui sah dan halal peranakannya serta ada pula pengetahuannya boleh membaca dan menulis bahasa Melayu, dan ada mempunyai nama baik, fahaman waras, tabiat perangai, budi pekerti dan tingkah laku yang baik dan terpuji.

(2) Jika orang yang dipilih dan dilantik menjadi Raja itu bukan daripada darah raja, maka syarat-syarat Perkara 15 Bahagian ini hendaklah tidak terpakai tetapi perkara itu hendaklah disifatkan satu pengecualian yang sah.

Raja belum cukup umur dan Majlis Pangkuan Raja

19. (1) Jika seorang Raja naik Takhta Kerajaan Negeri Kelantan sebelum umurnya genap dua puluh satu tahun, mengikut hitungan tahun Masihi, hendaklah tidak disifatkannya cukup umur, dan, di dalam tempoh belum cukup umurnya itu, hendaklah ditubuhkan sebuah Majlis Pangkuan Raja.

(2) Majlis Pangkuan Raja itu hendaklah mengandungi tidak kurang daripada tiga orang dan ahli-ahlinya hendaklah daripada bangsa Melayu dan peranakan dalam Negeri Kelantan, yang beragama Islam bermazhab Ahlu's Sunnah wal Jamaah, dan rakyat Raja, dan seorang daripadanya hendaklah daripada ahli Kerabat D'Raja.

(3) Dengan tidak mengendahkan apa-apa yang bertentangan mengandungi di dalam Bahagian ini, ahli-ahli Majlis Pangkuan Raja hendaklah dipilih oleh Majlis Perajaan Negeri dan hendaklah dilantik dengan Surat Cara serta dicop Mohor Negeri, yang ditandatangani oleh Yang di-Pertua Majlis Perajaan Negeri, pelantikan yang mana hendaklah disiarkan di dalam Warta Kerajaan.

20. (Dipotong oleh G.N. No. 182/1959).

Tempoh di antara Penggantinya kemangkatan Raja dan pengesahan

21. (1) Di dalam tempoh di antara kemangkatan atau turun Takhta atau lucut daripada Kerajaannya di bawah syarat-syarat Bahagian ini, menurutlah mana-mana yang berlaku, dan penggantinya telah pun disah oleh Majlis Perajaan Negeri (kemudian daripada ini digelarkan "tempoh yang tersebut") maka tidaklah mustahak ditubuhkan Majlis Pangkuan Raja.

(2) Maka Raja yang kenaikannya telah disah oleh Majlis Perajaan Negeri hendaklah disifatkan telah menjadi Raja bila sahaja mangkat Raja yang terdahulu daripadanya dan kesemua perbuatan-perbuatan yang dilakukan mengikut undang-undang dalam Negeri ini dalam tempoh yang tersebut itu oleh mana-mana Majlis Mesyuarat, pihak yang berkuasa kerajaan atau pegawai kerajaan, yang bermakna telah dilakukan bagi pihak Raja atau dengan kebenaran daripada Raja atau dengan kerana kelebihan Raja atau di bawah mana-mana syarat Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan ataupun Perlembagaan Persekutuan itu, hendaklah disifatkan menjadi sah dengan tidak boleh disoal lagi.

Tempoh di antara kemangkatan Raja dengan pelantikan Penggantinya

22. Di dalam tempoh di antara kemangkatan Raja dengan pilihan dan pelantikan Raja baharu di bawah syarat-syarat Perkara 9 Bahagian ini, maka hendaklah ditubuhkan sebuah Majlis Pangkuan Raja dan syarat-syarat Fasal-Fasal (2) dan (3) Perkara 19 Bahagian ini hendaklah terpakai kepada penubuhan itu.

Pangkuan Raja

22A. (1) Maka hendaklah ada satu Pangkuan Raja di dalam Negeri apabila berlaku keadaan yang berikut, iaitu-

(a) jika Ke bawah Duli Yang Maha Mulia ada sebab meninggal Negeri lebih daripada tiga puluh hari;
(b) jika Kebawah Duli Yang Maha Mulia gering tidak boleh menjalankan hal ehwal Negeri; atau
(c) jika Kebawah Duli Yang Maha Mulia dipilih memegang jawatan atau menjalankan tanggungan-tanggungan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh lebih daripada lima belas hari.

(2) Di dalam perkara apabila Kebawah Duli Yang Maha Mulia berhajat meninggal Negeri, maka hendaklah Baginda melantik seorang Pemangku Raja, atau Majlis Pangkuan Raja sebagaimana nampak kepadanya berpatutan pada menjalankan tanggungan-tanggungannya di dalam masa peninggalannya daripada Negeri.

(3) Dalam perkara kegeringan Raja itu maka Majlis Perajaan Negeri hendaklah melantik seorang Pemangku Raja atau Majlis Pangkuan Raja sebagaimana nampak kepadanya berpatutan dan jika mustahak melantikkan satu Majlis Pangkuan Raja, maka syarat-syarat Fasal-Fasal (2) dan (3) Perkara 19 daripada Bahagian ini hendaklah dipakai bagi pelantikan yang seumpama itu.

(4) Maka Raja hendaklah melantik seorang Pemangku Raja atau satu Majlis Pangkuan Raja sebagaimana nampak kepadanya berpatutan pada menjalankan tanggungan-tanggungannya sebagai Raja jikalau Baginda dipilih memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong atau Baginda menjalankan tanggungan-tanggungan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh lebih daripada lima belas hari.

(5) Maka Pemangku Raja atau Majlis Pangkuan Raja ini hendaklah berhenti menjalankan kerja apabila Raja itu pulang ke Negeri atau apabila Baginda sembuh daripada kegeringan atau keberhentian Baginda memegang jawatan ataupun menjalankan tanggungan-tanggungan Yang di-Pertuan Agong, menurutlah manamana yang berlaku.

Upahan bagi Raja atau Majlis Pangkuan Raja

22B. Maka hendaklah dibayar kepada Pemangku Raja atau Majlis Pangkuan Raja di dalam mana-mana tempoh yang Pemangkuan Raja atau Majlis Pangkuan itu dilantik di bawah syarat-syarat Bahagian ini kerana menjalankan kelebihan Raja dan menunaikan kewajipan-kewajipan Raja akan wang sebagaimana yang ditetapkan dengan ketetapan Dewan Negeri dan dikenakan di atas Kumpulan Wang Yang Disatukan tambahan kepada mana-mana wang yang orang atau orangorang yang dilantik itu boleh mendapat dengan jalan lain daripada wang kerajaan:

Dengan syarat bahawa jumlah wang kena dibayar itu hendaklah tidak lebih daripada elaun yang akan dibayar kepada Raja di bawah Perlembagaan ini ataupun mana-mana undang-undang lain yang bertulis.

Kelucutan Takhta Kerajaan kerana lama meninggalkan Negeri

23. (1) Maka Raja tidaklah boleh meninggalkan Negeri Kelantan selama lebih daripada dua belas bulan berturut-turut, mengikut takwim Masihi, dan, jika Baginda melakukan demikian, maka seorang Pengganti hendaklah dipilih dan dilantik mengikut syarat-syarat Bahagian ini, melainkan jika Majlis Perajaan Negeri berpendapat bahawa peninggalan Raja dengan lama itu ada sebab yang cukup dan boleh dimaafkan.

(2) Jika sekiranya Raja melanggar syarat-syarat Fasal (1) Perkara ini, maka Baginda hendaklah disifatkan tidak lagi menjadi Raja dan telah menarik diri daripada Negeri ini dan daripada hak-hak dan tuntutan-tuntutannya di atas Negeri ini:

Dengan syarat bahawa Dewan Negeri bolehlah, kiranya difikir layak, mengadakan kerana perbelanjaan hidup bekas Raja, akan elaun yang hendaklah tidak lebih daripada separuh bahagian dan tidak kurang daripada satu pertiga daripada wang yang ditetapkan bagi perbelanjaan hidup pada masa Baginda menjadi Raja yang memerintah Negeri; dan mana-mana elaun yang seumpama itu hendaklah dikenakan daripada Kumpulan Wang Yang Disatukan.

(3) Tidaklah apa-apa di dalam Perkara ini terpakai kepada Sultan semasa Baginda memegang jawatan atau menjalankan tanggungan-tanggungan Yang di-Pertuan Agong.

Kelucutan Takhta Kerajaan kerana kecacatan yang besar dan berat

23A. (1) Jika sekiranya setelah disiasat dengan sepenuhnya dan secukupnya, Majlis Perajaan Negeri berpendapat bahawa Raja ada mempunyai apa-apa kecacatan yang besar dan berat yang menyalahi sifat-sifat Raja, yang tidak dibenarkan oleh Hukum Syarak untuk menjadi Raja, maka seorang Pengganti hendaklah dipilih dan dilantik oleh Majlis Perajaan Negeri untuk menjadi Raja mengikut syarat-syarat di bawah Bahagian ini.

(2) Jika sekiranya Raja telah digantikan dengan seorang Pengganti mengikut Fasal (1) Perkara ini maka Baginda hendaklah disifatkan tidak lagi menjadi Raja dan telah menarik diri daripada Negeri ini dan daripada hak-hak dan tintutan-tuntutannya di atas Negeri ini.

Dengan syarat bahawa hendaklah Baginda terhak kepada elaun seumur hidup, akan dikenakan daripada Kumpulan Wang Yang Disatukan, yang hendaklah ditetapkan oleh Dewan Negeri; dan elaun itu yang hendaklah tidak kurang daripada separuh daripada jumlah yang ditetapkan bagi perbelanjaan hidupnya pada masa Baginda menjadi Raja yang memerintah, dan berhaklah di dalam masa hidupnya mendapat sebuah tempat kediaman yang layak yang disediakan berserta perkakas alatan dan perhiasan dengan kakitangan kediaman serta kenderaan yang munasabah dan sesuai kerana memelihara tarafnya. Maka gelaran Baginda hendaklah tertukar dengan sendirinya daripada “Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Kelantan” kepada “Duli Yang Maha Mulia Sultan (nama tubuh).

Raja turun Takhta Kerajaan

24. (1) Maka Raja bolehlah turun daripada Takhta Kerajaan dengan kesukaannya sendiri dan melepaskan hak-hak dan kuasakuasa dirajanya.

(2) Jika pada masa turun daripada Takhta itu Kerajaan, Raja ada dalam Negeri ini, maka perbuatan turun daripada Takhta Kerajaan itu hendaklah diperbuat dengan Surat Cara yang ditandatangani olehnya dan dimeterai dengan Mohor Kerajaan dan Surat Cara itu hendaklah disaksi oleh Yang di-Pertua dan sekurang-kurangnya empat orang ahli lain daripada Majlis Perajaan Negeri yang hendaklah hadir bersama-sama ketika Raja menurunkan tandatangan di atas Surat Cara yang tersebut itu:

Dengan syarat bahawa, perbuatan turun daripada Takhta Kerajaan itu hendaklah disiasat dan disahkan terlebih dahulu oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan.

(3) Jika pada masa turun daripada Takhta Kerajaan, Raja tidak ada dalam Negeri ini, maka perbuatan turun daripada Takhta Kerajaan itu hendaklah diperbuat bagi pihak Raja dengan Surat Cara yang dimeterai dengan Mohor Kerajaan dan ditandatangani oleh Yang di-Pertua dan sekurang-kurangnya empat orang ahli lain daripada Majlis Perajaan Negeri yang hendaklah hadir bersama-sama ketika Surat Cara itu ditandatangani:

Dengan syarat bahawa perbuatan turun daripada Takhta Kerajaan hendaklah disiasat dan disahkan terlebih dahulu oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan.

(4) Apabila Surat Cara turun daripada Takhta Kerajaan disiarkan di dalam Warta Kerajaan, maka Raja hendaklah disifatkan tidak lagi menjadi Raja dan telah menarik diri daripada Negeri ini dan daripada hak-hak dan tuntutan-tuntutannya di atas Negeri ini:

Dengan syarat bahawa hendaklah Baginda terhak kepada elaun seumur hidup, akan dikenakan daripada Kumpulan Wang Yang Disatukan, yang hendaklah ditetapkan oleh Dewan Negeri; dan elaun itu yang hendaklah tidak lebih daripada separuh daripada jumlah yang ditetapkan bagi perbelanjaan hidupnya pada masa Baginda menjadi Raja yang memerintah, dan berhaklah di dalam masa hidupnya mendapat sebuah tempat kediaman yang layak yang disediakan berserta perkakas alatan dan perhiasan yang munasabah kerana memelihara tarafnya.

Pilihan Raja baharu

25. Apabila Raja berhenti daripada menjadi Raja mengikut syarat-syarat Perkara 23, 23A atau 24, maka mustahaklah dipilih dan dilantik seorang Raja baru mengikut syarat-syarat Perkara-Perkara 15 hingga 18 di dalam ini.

RAJA PEREMPUAN

Kuasa melantik Raja Perempuan Kelantan

26. (1) Raja dengan nasihat Majlis Perajaan Negeri bolehlah melantik Isterinya menjadi Raja Perempuan Kelantan:

Dengan syarat ia seorang Melayu beragama Islam dan menjadi seorang isteri Raja yang berkahwin dengan mengikut Hukum Syarak dan undang-undang yang berjalan kuasa pada masa perkahwinan itu.

(2) Sekiranya berlaku kemangkatan Raja atau penggantian Raja maka gelaran Isterinya itu hendaklah bertukar dengan sendirinya daripada "Raja Perempuan (Kelantan)" kepada "Yang Maha Mulia Raja Perempuan (nama tubuh)", dan jikalau berlaku perceraian hidup maka gelaran itu hendaklah terlucut dengan sendirinya.

(3) Raja Perempuan hendaklah terhak menerima elaun yang akan dikenakan daripada Kumpulan Wang Yang Disatukan, yang hendaklah ditetapkan oleh Dewan Negeri; dan elaun itu hendaklah tidak kurang daripada satu perempat daripada jumlah wang yang ditetapkan bagi perbelanjaan hidup Raja yang memerintah:

Dengan syarat bahawa, kiranya lucut gelaran disebabkan oleh perceraian hidup maka elaunnya itu bolehlah ditimbangkan semula oleh Dewan Negeri.

Raja yang dipilih sebagai atau menjalankan tanggungan-tanggungan Yang di-Pertuan Agong

(4) Dengan tidak mengendahkan syarat-syarat Fasal (3), maka hendaklah tidak dibayar mana-mana elaun-

(a) kepada Raja atau Raja Perempuan bagi Raja itu yang menyandang gelaran Raja Perempuan bersabit dengan mana-mana tempoh yang Raja itu dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong; atau
(b) kepada Raja bersabit dengan mana-mana tempoh yang lebih daripada lima belas hari yang Raja itu menjalankan tanggungantanggungan Yang di Pertuan Agong.

WARIS

Pelantikan Waris

27. (1) Maka pilihan dan pelantikan Bakal Raja hendaklah diperbuat oleh Raja dengan nasihat Majlis Perajaan Negeri, yang hendaklah melihat kepada kelayakan-kelayakan anak yang sulung, kepada yang lebih dekat darjah Waris Raja dahulu daripada yang lebih jauh, mengikut Hukum Syarak, dan di dalam setiap-tiap darjah, Waris kepada yang tertua, dahulu daripada yang muda.

Pengurniaan Waris

(2) Maka bolehlah Raja, dengan nasihat Majlis Perajaan Negeri, mengurniakan kepada Waris, akan gelaran TENGKU MAHKOTA, Kelantan, yang akan dinamakan di dalam bahasa Inggeris sebagai "Crown Prince of Kelantan".

Waris-Waris tidak boleh mengganggu di dalam hal ehwal Negeri

28. Maka Waris hendaklah tiada mempunyai sebarang kuasa pun pada mengambil bahagian dan tidaklah harus mengganggu di dalam mana-mana hal ehwal Negeri atau Kerajaan, melainkan hanyalah apabila ia mendapat titah daripada Raja amnya atau di dalam mana-mana perkara yang tertentu ataupun bagaimana yang boleh dikuasakan di bawah Bahagian ini, dan syarat ini hendaklah terpakai juga kepada Waris-Waris yang lain:

Dengan syarat jika sekiranya mana-mana orang itu dilantik menjadi pegawai dalam Negeri, maka Perkara ini hendaklah tidak terpakai pada menjalankan tanggungan-tanggungannya tatkala memegang jawatan itu.

Waris-Waris hendaklah orang Melayu daripada darah raja yang beragama Islam

29. Dikecuali ada syarat yang berlainan di dalam Perkara 31 Bahagian ini, maka Waris hendaklah orang Melayu daripada darah raja, keturunan zuriat Raja-Raja Kelantan, seorang lelaki yang beragama Islam, bermazhab Ahlu 's Sunnah wal Jamaah, tiap-tiap seorang daripada Waris yang lain itu hendaklah orang yang seumpama itu juga.

Keturunan zuriat Sultan Ismail Petra

30. (1) Maka Waris hendaklah anak yang diperanakkan daripada nikah yang halal mengikut Hukum Syarak dan undang-undang yang berjalan kuasa pada masa itu dan diakui daripada tubuh badan dan darah daging KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA SULTAN ISMAIL PETRA IBNI AL-MARHUM SULTAN YAHYA PETRA.

(2) Maka keturunan zuriat yang akan berhak menjadi Waris hendaklah putera, cucunda putera, cicitnda putera dan sebagainya daripada sebelah lelaki, dari selapis ke selapis keturunan hingga akhirnya sekali, oleh itu hendaklah tidak dibenarkan sekali-kali dan hendaklah menjadi tidak sah jika dilantik menjadi Waris akan mana-mana orang selain daripada keturunan zuriat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ismail Petra, selagi ada seorang keturunan zuriat Kebawah Duli Yang Maha Mulia yang tersebut di atas itu:

Dengan syarat keturunan zuriat Kebawah Duli Yang Maha Mulia yang tersebut di atas itu tidak akan berhak, jika ia difikir dan ditetapkan, selepas disiasat dengan sepenuh dan secukupnya oleh Majlis Perajaan Negeri, ada mempunyai kecacatan yang besar dan berat yang menyalahi sifat Waris, iaitu, apa-apa pengidapan yang berkekalan, seperti hilang akal, buta, bisu atau pun mempunyai sifat-sifat yang keji yang tidak dibenarkan oleh Hukum Syarak menjadi Waris.

Keturunan zuriat Al-Marhum Sultan Yahya Petra, Al-Marhum Sultan Ibrahim, Al-Marhum Tengku Long Senik Sultan Mohamed IV, Al-Marhum Sultan Mohamed III (Sultan Bongsu), Al-Marhum Sultan Ahmad (Sultan Tengah), Al-Marhum Sultan Mohamed II (Sultan Mulut Merah)

31. (1) Jika pada bila-bila masa keturunan zuriat lelaki daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ismail Petra tidak ada langsung, atau jika ada tinggal seorang sahaja tetapi ia tidak layak dijadikan Waris kerana sebab-sebab yang ditakrifkan di dalam Perkara 30 apabila dikehendaki memilih dan melantik Waris itu, maka mustahaklah dipilih dan dilantik menjadi Waris mana-mana orang di antara keturunan zuriat lelaki AL-MARHUM SULTAN YAHYA PETRA IBNI AL-MARHUM TENGKU IBRAHIM.

(2) Jika tiada keturunan zuriat lelaki daripada Al-Marhum Sultan Yahya Petra ibni Al-Marhum Sultan Ibrahim atau jikalau tiada keturunan zuriat lelaki daripada Al-Marhum Sultan Yahya Petra ibni Al-Marhum Sultan Ibrahim yang difikir layak kerana sebab-sebab yang ditakrifkan di dalam Perkara 30, apabila dikehendaki memilih dan melantik Waris itu, maka mustahaklah dipilih dan dilantik menjadi Waris mana-mana orang di antara keturunan zuriat lelaki ALMARHUM TENGKU IBRAHIM IBNI AL-MARHUM SULTAN MOHAMED IV.

(3) Jika tiada keturunan zuriat lelaki daripada Al-Marhum Tengku Ibrahim ibni Al-Marhum Sultan Mohamed IV atau jikalau tiada keturunan zuriat lelaki daripada Al-Marhum Tengku Ibrahim ibni Al-Marhum Sultan Mohamed IV yang difikir layak, kerana sebab-sebab yang diertikan di dalam Perkara 30, apabila dikehendaki memilih dan melantik Waris itu, maka mustahaklah dipilih dan dilantik menjadi Waris mana-mana orang di antara keturunan zuriat lelaki AL-MARHUM TENGKU LONG SENIK SULTAN MOHAMED IV.

(4) Jika tidak ada keturunan zuriat lelaki daripada Al-Marhum Tengku Long Senik Sultan Mohamed IV atau jika tidak ada manamana seorang keturunan zuriat lelaki daripada Al-Marhum Tengku Long Senik Sultan Mohamed IV, yang difikir berhak, kerana sebab-sebab yang diertikan di dalam Perkara 30, bila dikehendaki dipilih dan dilantik Waris itu, maka mustahaklah dipilih dan dilantik sebagai Waris, manamana seorang di antara keturunan zuriat lelaki daripada AL-MARHUM SULTAN MOHAMED III (SULTAN BONGSU).

(5) Jika tidak ada keturunan zuriat lelaki daripada Al-Marhum Sultan Mohamed III (Sultan Bongsu) atau jika tidak ada manamana seorang keturunan zuriat lelaki daripada Al-Marhum Sultan Mohamed III (Sultan Bongsu) yang difikir berhak, kerana sebabsebab yang diertikan di dalam Perkara 30, bila dikehendaki dipilih dan dilantik Waris itu, maka mustahaklah dipilih dan dilantik sebagai Waris, mana-mana seorang di antara keturunan zuriat lelaki daripada AL-MARHUM SULTAN AHMAD (SULTAN TENGAH).

(6) Jika tidak ada keturunan zuriat lelaki daripada Al-Marhum Sultan Ahmad (Sultan Tengah) atau jika tidak ada mana-mana seorang keturunan zuriat lelaki daripada Al-Marhum Sultan Ahmad (Sultan Tengah) yang difikir berhak, kerana sebab-sebab yang diertikan di dalam Perkara 30, bila dikehendaki dipilih dan dilantik Waris itu, maka mustahaklah dipilih dan dilantik sebagai Waris, mana-mana seorang di antara keturunan zuriat lelaki daripada Al-MARHUM SULTAN MOHAMED II (SULTAN MULUT MERAH).

(7) Tidak boleh siapa-siapa pun dipilih dan dilantik menjadi Waris mengikut syarat-syarat yang terkandung di dalam ini melainkan ia seorang lelaki yang diakui daripada darah yang sejati lagi halal.

Waris meninggalkan Negeri dengan lama

32. (1) Maka Waris tidaklah boleh meninggalkan Negeri Kelantan selama lebih daripada dua belas bulan berturut-turut, mengikut takwim Masihi, dan, jika ia melakukan demikian, maka seorang Pengganti bolehlah dipilih dan dilantik mengikut syarat-syarat Bahagian ini, melainkan jika Majlis Perajaan Negeri berpendapat bahawa peninggalan Waris dengan lama itu ada sebab yang cukup dan boleh dimaafkan.

(2) Jika sekiranya Waris itu melanggar syarat-syarat Fasal (1) Perkara ini, maka ia hendaklah disifatkan tidak lagi menjadi Waris dan telah menarik diri daripada Negeri ini, dan daripada hak-hak dan tuntutantuntutannya di atas Negeri ini:

(3) (Dipotong oleh Enakmen A16)

Dengan syarat bahawa Dewan Negeri bolehlah, jika difikirkannya layak, mengadakan kerana perbelanjaan hidup bekas Waris itu, akan elaun yang hendaklah tidak lebih daripada separuh bahagian dan tidak kurang daripada satu pertiga daripada wang yang ditetapkan bagi perbelanjaan hidupnya pada masa ia menjadi Waris; dan mana mana elaun yang seumpama itu hendaklah dikenakan daripada Kumpulan Wang Yang Disatukan.

Melucutkan dirinya daripada menjadi Waris

33. (1) Maka Waris itu bolehlah melucutkan dirinya daripada menjadi Waris dengan kesukaannya sendiri dan melepaskan hakhak dan kuasakuasa dirajanya.

(2) Jika, pada masa melucutkan dirinya daripada menjadi Waris dan melepaskan hak-hak dan kuasa-kuasa dirajanya, Waris itu ada tinggal dalam Negeri ini, maka perbuatan melucutkan dirinya daripada menjadi Waris dan melepaskan hak-hak dan kuasakuasa dirajanya itu, hendaklah diperbuat dengan Surat Cara yang ditandatangani olehnya dan dimeterai dengan Mohor Kerajaan dan Surat Cara itu hendaklah disaksi oleh Yang di-Pertua dan sekurang-kurangnya empat orang ahli lain daripada Majlis Perajaan Negeri yang hendaklah hadir bersama-sama ketika Waris itu menurunkan tandatangan di atas Surat Cara yang tersebut itu:

Dengan syarat bahawa perbuatan melucutkan dirinya daripada menjadi Waris dan melepaskan hak-hak dan kuasa-kuasa dirajanya itu hendaklah disiasat dan disahkan terlebih dahulu oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan.

(3) Jika, pada masa melucutkan dirinya daripada menjadi Waris dan melepaskan hak-hak dan kuasa-kuasa dirajanya, Waris itu tidak ada dalam Negeri ini, maka perbuatan melucutkan dirinya daripada menjadi Waris itu hendaklah diperbuat bagi pihak Waris itu dengan Surat Cara yang dimeterai dengan Mohor Kerajaan dan ditandatangani oleh Yang di-Pertua dan sekurang-kurangnya empat orang ahli lain daripada Majlis Perajaan Negeri yang hendaklah hadir bersama-sama ketika Surat Cara itu ditandatangani:

Dengan syarat bahawa perbuatan melucutkan dirinya daripada menjadi Waris itu hendaklah disiasat dan disahkan terlebih dahulu oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan.

(4) Apabila Surat Cara melucutkan dirinya daripada menjadi Waris dan melepaskan hak-hak dan kuasa-kuasa dirajanya disiarkan di dalam Warta Kerajaan, maka Waris itu hendaklah disifatkan tidak lagi menjadi Waris dan telah menarik diri daripada Negeri ini dan daripada hak-hak dan tuntutan-tuntutannya di atas Negeri ini:

Dengan syarat bahawa hendaklah ia terhak kepada elaun seumur hidup, akan dikenakan daripada Kumpulan Wang Yang Disatukan, yang hendaklah ditetapkan oleh Dewan Negeri; dan elaun itu yang hendaklah tidak lebih daripada separuh daripada jumlah yang ditetapkan bagi perbelanjaan hidupnya pada masa ia menjadi Waris dan, berhaklah di dalam masa hidupnya mendapat sebuah tempat kediaman yang layak yang disediakan berserta perkakas alatan dan perhiasan yang munasabah kerana memelihara tarafnya.

PERKARA AM

Kelantan tidak boleh diserahkan

34. (1) Maka hendaklah tidak menjadi sah bagi Raja atau manamana orang lain atau mana-mana perkumpulan orang menyerah atau memberikan Negeri takluk jajahan Kelantan atau mana-mana bahagian daripadanya.

(2) Tidaklah apa-apa di dalam Perkara ini akan menyebabkannya tidak sah bagi Raja membuat satu perjanjian dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja bagi Negeri-Negeri Melayu membatalkan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu dan Perjanjian Kelantan tahun 1948, dan mengadakan syarat kerana Perlembagaan dan Kerajaan bagi sesebuah Persekutuan yang baru dan merdeka, di dalam Negeri-Negeri British Komanwel, daripada Negeri-Negeri Melayu dan Negeri-Negeri Selat Melaka, dan Pulau Pinang dan lain-lain jajahan yang boleh diterima masuk Persekutuan itu dari suatu masa ke suatu masa.

(3) Fasal (2) daripada Perkara ini hendaklah berjalan kuat kuasa dahulu sedikit daripada 5 haribulan Ogos 1957.

Elaun

35. (1) Tidaklah boleh siapa-siapa pun dalam Negeri berhak mendapat daripada hasil-hasil Negeri mana-mana elaun, selain daripada elaun yang kena dibayar mengikut Undang-Undang ini atau mana-mana undangundang yang bertulis yang berjalan kuat kuasa pada masa itu dalam Negeri, melainkan elaun-elaun itu telah dilulus oleh Dewan Negeri dari suatu masa ke suatu masa.

(2) Maka Raja hendaklah terhak mendapat elaun, yang akan dikenakan daripada Kumpulan Wang Yang Disatukan, yang hendaklah ditetapkan dengan ketetapan Dewan Negeri; dan elaun itu hendaklah berpadanan dan berpatutan bagi memelihara pangkat dan martabat kebesaran Raja itu dan dalam mentaksirkan elaun itu, tidaklah dibenarkan diambil kira mana-mana pendapatan yang terdapat daripada hartanya sendiri.

(3) Waris itu hendaklah, dari semenjak diputerakannya terhak mendapat elaun, yang akan dikenakan daripada Kumpulan Wang Yang Disatukan, yang hendaklah ditetapkan dengan ketetapan Dewan Negeri; dan elaun itu hendaklah berpadanan dan berpatutan bagi memelihara pangkat dan martabat kebesarannya dan, menjadi sebanyak tidak kurang daripada separuh elaun Raja semasa dikurniakan gelaran Tengku Mahkota di bawah Perkara 27 Bahagian ini dan apabila mentaksirkan elaun itu tidaklah dibenarkan diambil kira akan mana-mana pendapatan yang terdapat daripada hartanya sendiri atau daripada mana-mana punca yang lain dan hendaklah di dalam masa hidupnya mendapat sebuah tempat kediaman yang layak yang disediakan berserta perkakas alatan dan perhiasan yang munasabah kerana memelihara tarafnya.

(4) Elaun-elaun hidup hendaklah dibayar daripada hasil-hasil Negeri mengikut kadar yang akan ditetapkan oleh Undang-Undang Negeri atau dilulus oleh Dewan Negeri dari suatu masa ke suatu masa kepada Putera-Putera dan Puteri-Puteri seorang Raja:

Dengan syarat juga bahawa Raja dengan persertaan Majlis Mesyuarat Kerajaan, bolehlah menetap, memberhenti, menahan atau membezakan elaun itu jika nampak layak diperbuat begitu.

(5) Mana-mana orang yang menerima suatu elaun mengikut Fasal yang telah lepas yang memegang mana-mana jawatan di dalam Kerajaan Negeri bolehlah mendapat gaji bagi jawatan itu sebagai tambahan kepada elaun itu.

(6) Dengan tidak mengendahkan syarat-syarat Fasal (2) maka Raja hendaklah tidak terhak mendapat mana-mana elaun di bawah Perkara ini berkenaan dengan mana-mana tempoh yang Baginda dipilih kepada jawatan Yang di-Pertuan Agong atau berkenaan dengan mana-mana tempoh yang lebih daripada lima belas hari yang Baginda menjalankan tanggungan-tanggungan Yang di-Pertuan Agong.

MAJLIS PENASIHAT RAJA

Penubuhan Majlis Penasihat Raja

36. (1) Majlis Penasihat Raja Kelantan, yang digelarkan di dalam bahasa Inggeris "the Council of Advisers, Kelantan" adalah dengan ini ditubuhkan bagi maksud menolong dan menasihatkan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dalam menjalankan tanggungantanggungannya.

(2) Majlis Penasihat Raja hendaklah mengandungi Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Tengku Mahkota serta ahli-ahli yang berikut, iaitu

(a) Setiausaha Sulit kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia yang hendaklah menjadi Setiausaha Majlis itu;
(b) Mufti Kerajaan; dan
(c) tidak kurang daripada lapan dan tidak lebih daripada enam belas orang ahli lain,

yang dilantik oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia dengan ditandatanganinya dan dicop Mohor Negeri di antara mereka yang pada fikirannya telah menyumbangkan pekerjaan yang cemerlang kepada Kerajaan ataupun yang telah mendapat kepujian di dalam pekerjaan, perusahaan, pertanian, pergerakan-pergerakan pertanian atau perkhidmatan-perkhidmatan perubatan.

(3) Seseorang hendaklah tidak boleh dilantik menjadi ahli Majlis Penasihat Raja jika ianya, dan hendaklah tidak tetap menjadi seorang ahli jika ia menjadi

(a) sama ada seorang ahli Majlis Parlimen atau pun Dewan Negeri bagi sesebuah Negeri;
(b) seorang pegawai atau pekerja daripada mana-mana pihak yang berkuasa tempatan atau daripada satu badan yang ditubuh atau pihak yang berkuasa yang ditubuhkan oleh undang-undang bagi maksud am;
(c) seorang ahli daripada persatuan buruh atau daripada satu badan atau pun kesatuan yang bergabung dengan manamana persatuan buruh.

(4) (Dipotong oleh Kn. L.N. 8/1964).

(5) Maka hendaklah ahli-ahli Majlis Penasihat Raja terhak kepada suatu elaun yang berpatutan mengikut kadar yang akan ditetapkan oleh Dewan Negeri.

(6) Melainkan jika ternyata sebaliknya dalam Surat Cara pelantikan atau pelantikannya terlebih dahulu dibatalkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia yang bertindak menurut budi bicara Baginda, tiap-tiap pelantikan sedemikian hendaklah disifatkan telah dibuat selama tempoh dua tahun dari tarikh pelantikan itu.

(7) Walau apa pun apa-apa yang terkandung terdahulu daripada ini, orang yang menjadi ahli Majlis Penasihat Raja sebaik sebelum kemangkatan Raja memerintah, hendaklah terhenti menjadi ahli Majlis Penasihat Raja selepas kemangkatan Raja memerintah itu.

Sumpah

36. (1) Melainkan bagi maksud membolehkan Perkara ini diturut, maka tidaklah boleh seseorang ahli itu duduk atau mengundi di dalam Majlis Penasihat Raja sehingga ia telah mengangkat sumpah dan menandatangani di hadapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia atau di hadapan seorang yang dikuasakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia kerana itu, akan akuan sumpah bagaimana yang berikut:

"Dengan Kemegahan Tuhan dan dengan Kelebihan Penghulu Saya Nabi Muhammad, adalah saya, setelah dipilih dan dimasukkan kepada Majlis Penasihat Raja, bagi Negeri Kelantan, bersumpah bahawa saya pada tiap-tiap masa apabila dikehendaki akan memberi dengan seterusnya nasihat-nasihat saya setakat mana dalam daya upaya timbangan saya kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan ialah bagi kesempurnaan urusan hal ehwal Negeri yang tersebut itu; dan bahawa tidaklah saya dengan terus atau dengan tidak terusnya bukakan apa-apa perkara yang telah disampaikan kepada saya atau yang telah dibahas di dalam Majlis Penasihat Raja dan diserahkan bagi pegangan rahsia saya, dan bahawa saya akan memelihara, menjaga dan mempertahankan Perlembagaan bagi Negeri Kelantan.".

(2) Kepada sumpah itu hendaklah ditambah apa-apa perkataan yang menurut kepercayaan agamanya akan mengikat perasaan hati orang yang mengangkat sumpah itu.

Permohonan berhenti

38. Mana-mana ahli Majlis Penasihat Raja bolehlah memohon berhenti daripada menjadi ahli dan kiranya permohonannya itu diterima oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia, maka ianya hendaklah dilepaskan daripada kewajipan itu dan berhenti daripada menjadi ahli Majlis Penasihat Raja.

Pelantikan semula

39. Mana-mana orang yang telah menjadi ahli Majlis Penasihat Raja dan telah memohon berhenti daripada Majlis itu mengikut peraturan yang ditetapkan dahulu daripada ini masih boleh dipilih dan dilantik semula sebagai ahli Majlis Penasihat Raja.

Panggilan mesyuarat

40. Majlis Penasihat Raja hendaklah bersidang dan bermesyuarat apabila dititahkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia melalui Setiausaha.

Cukup bilangan

41. (1) Notis persidangan hendaklah diberi kepada sekalian ahli Majlis Penasihat Raja yang ada dalam Negeri di dalam masa yang secukup supaya membolehkan mereka hadir di dalam persidangan itu.

(2) Majlis Penasihat Raja hendaklah tidak terganggu daripada menguruskan apa-apa pekerjaan kerana sebab ada kekosongan di antara ahlinya:

Dengan syarat tidak boleh diuruskan apa-apa pekerjaan melainkan tangguhan persidangan sahaja sekiranya dibantah oleh mana-mana ahli yang hadir bahawa ada kurang daripada separuh bilangan ahli-ahli yang hadir selain daripada Sultan atau ahli yang mengetuai.

(3) (Dipotong oleh G.N. No. 182/1959).

Pembuangan

42. Kebawah Duli Yang Maha Mulia mempunyai hak dan kuasa pada membuang dan memecatkan mana-mana ahli Majlis Penasihat Raja daripada Majlis itu mana-mana jua daripada rakan-rakannya sekiranya ahli itu telah melakukan mana-mana kesalahan yang berat atau jika ahli itu melalui kelakuan atau perkataannya telah menunjukkan perbuatan yang tidak setia atau tidak taat kepada Baginda.

Dan pembuangan serta pemecatannya daripada Majlis itu bolehlah juga ataupun tidak disertai dengan hukuman yang lain atau ianya bolehlah juga ataupun tidak dilucutkan daripada atau diturunkan pangkatnya (kiranya ia ada pangkat atau gelaran) sebagaimana ditetapkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia pada masa menimbang kesalahan ahli itu.

Gelaran dan kebesaran

43. (1) Maka Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah pangkal segala kemuliaan dan kebesaran dalam Negeri ini dan Bagindalah sahaja boleh mengurniakan gelaran dan kebesaran serta mengadakan Pangkat-Pangkat Kemuliaan, Pingat-Pingat Kebesaran dan Kehormatan, dan jika perkara mengadakan mana-mana Pangkat Kemuliaan atau Pingat Kehormatan dan Kebesaran itu akan mengenai perbelanjaan daripada Kumpulan Wang Yang Disatukan, maka mustahaklah mendapat kebenaran Dewan Negeri.

(2) Kebawah Duli Yang Maha Mulia dengan nasihat Majlis Penasihat Raja bolehlah melantik dan mengurniakan gelaran "AMPUAN MAHKOTA" kepada Isteri Warisnya yang menjadi Tengku Mahkota:

Dengan syarat Isteri Waris itu seorang Melayu beragama Islam bermazhab Ahlu 's Sunnah wal Jamaah, yang berkahwin dengan Waris itu mengikut Hukum Syarak dan undang-undang yang berjalan kuasa pada masa perkahwinan itu.

(3) "Ampuan Mahkota" hendaklah terhak mendapat elaun, yang akan dikenakan daripada Kumpulan Wang Yang Disatukan yang hendaklah ditetapkan dengan ketetapan Dewan Negeri, dan elaun itu hendaklah berpadanan dan berpatutan bagi memeliharakan martabat kebesarannya yang hendaklah tidak kurang daripada satu perlima daripada elaun Tengku Mahkota.

(4) Sekiranya berlaku kemangkatan Waris maka gelaran isterinya itu hendaklah bertukar dengan sendirinya daripada "Ampuan Mahkota Kelantan" kepada "Ampuan Mahkota (nama tubuh) dan jikalau berlaku perceraian hidup, maka gelaran itu hendaklah terlucut dengan sendirinya:

Dengan syarat kiranya lucut gelaran disebabkan oleh perceraian hidup, maka elaun boleh ditimbang semula oleh Dewan Negeri.

Mengadakan gelaran Bendahara, Temenggong, Laksamana, Panglima, dan lain-lain pangkat dan gelaran yang biasa dipakai dahulu

44. (1) Kebawah Duli Yang Maha Mulia mempunyai hak mengada, melantik, dan menggelar daripada kerabatnya sama ada yang jauh atau yang dekat, seorang lelaki menjadi Bendahara atau Temenggong, atau Laksamana atau Panglima dan mengkurniakan kepada mana-mana orang lain, sama ada Kerabat D'Raja atau lainnya, akan mana-mana gelaran yang pada zaman dahulu telah ada atau telah biasa dipakai dalam Negeri Kelantan.

(2) Di dalam mana-mana perkara yang seumpama itu maka Kebawah Duli Yang Maha Mulia hendaklah menyelesai dan menentukan pada masa pelantikan akan pangkat, kedudukan, pekerjaan dan kewajipan, jika ada, bagi orang itu dan sama ada gelaran yang dikurniakan itu akan jadi turun temurun atau tidak:

Dengan tidak mengendahkan mana-mana pendapatan sama ada daripada hartanya sendiri atau daripada yang lain, maka hendaklah dikurniakan akan elaun yang berpatutan dan berpadanan, mengikut kadar yang akan ditetapkan dengan ketetapan Dewan Negeri dan yang hendaklah dikenakan daripada Kumpulan Wang Yang Disatukan kepada mana-mana orang yang dikurniakan gelaran mengikut Perkara ini.

Sumpah

44A. Tertakluk kepada peruntukan Perkara 44c Bahagian ini, setiap orang yang dilantik menjadi Bendahara atau Temenggong atau Laksamana atau Panglima atau dikurniakan mana-mana gelaran di bawah Perkara 44 Bahagian ini hendaklah mengangkat sumpah taat setia dan menandatangani di hadapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia, atau di hadapan orang lain yang diberi kuasa secara bertulis oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia, bagi maksud itu, sumpah yang berikut:

"Saya, , setelah dilantik menjadi /dikurniakan gelaran bersumpah bahawa saya akan menumpukan taat setia yang sejati kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan, Waris-Waris dan Pengganti-Pengganti Baginda dan bahawa saya akan memelihara, menjaga dan mempertahankan kehormatan Gelaran ini dan Perlembagaan Negeri Kelantan.".

Tambahan kepada lafaz sumpah

44B. Kepada sumpah itu hendaklah ditambah perkataan-perkataan yang, menurut agamanya, mengikat perasaan hati orang yang mengangkat sumpah itu.

Pengecualian mengangkat dan/atau menandatangani sumpah

44C. Kebawah Duli Yang Maha Mulia boleh mengecualikan mana-mana orang daripada mengangkat dan/atau menandatangani sumpah yang dikehendaki oleh Perkara 44A, Bahagian ini.

Kuasa menurunkan pangkat

45. (1) Maka Kebawah Duli Yang Maha Mulia bolehlah menurunkan pangkat mana-mana orang yang telah dikurniakan kepadanya mana-mana pangkat atau gelaran atau Pingat-Pingat Kehormatan mengikut syarat-syarat Perkara 43 atau 44 Bahagian ini, jika ada cukup kesalahan atau dosa yang telah dilakukan yang mengharuskan diperbuat demikian itu.

(2) Jika orang yang diturunkan pangkat itu ada menyandang pangkat atau gelaran yang berturun temurun, maka hendaklah dilantik orang lain oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia bagi menyandang pangkat atau gelaran itu, yang kemudian daripada itu hendaklah jadi kekal turun temurun mengikut cara yang diperintah oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia dengan persertaan Majlis Penasihat Raja.

Hak-hak kelebihan dan milik raja

46. Bagi maksud menerangkan dan dengan tidak mengurangkan segala hak-hak kelebihan dan milik raja yang sehingga itu telah dipunyai atau digunakan oleh Raja, maka hak-hak kelebihan dan milik raja yang berikut, di antara lain-lainnya, adalah dengan ini terserah kepada Raja:

(a) Pancuran Kemuliaan;
(b) Pancuran Keadilan;
(c) Pancuran Rahmat;
(d) Ketua bagi Agama Negeri;
(e) Pengawal Adat Istiadat Melayu;
(j) Tuanpunya Tanah Yang Sebenar dan Muktamad.

Jiwa Kedaulatan

47. Di dalam bentukan sifat-sifat Jiwa Kedaulatan Raja, yang tersebut di bawah inilah menjadi anggotanya:

(a) Jiwa Kedaulatan Raja tidak boleh membuat salah;
(b) Jiwa Kedaulatan Raja disifatkan tidak mangkat.

Kemuliaan

48. Maka hendaklah Jiwa Kemuliaan Kedaulatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia disalutkan kepada tubuh badan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan begitu jua dengan mana-mana istana Baginda yang ditetapkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia dari suatu masa ke suatu masa.

Balai penghadapan dan istana raja

49. (1) Kebawah Duli Yang Maha Mulia, jika Baginda suka bolehlah membuat peraturan-peraturan dari suatu masa ke suatu masa bagi balai penghadapan dan istananya bagi melantikkan pegawai-pegawai balai penghadapan dan istananya, bagi mengaturkan segala adat istiadat dan bagi menyempurnakan pekerjaan pegawai-pegawai balai penghadapan dan istana Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan orang yang bertanggungjawab bagi pekerjaan-pekerjaan adat istiadat, dan tatkala membuat begitu hendaklah memandangkan kepada adat istiadat Negeri ini, jika ada.

(2) Tiadalah sesuatu yang terkandung di dalam ini akan disifat merendahkan kekuasaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia yang am itu sebagai Pangkal segala Kehormatan dan Kebesaran dalam Negeri.

Darjah, Bintang Kebesaran dan Pingat-Pingat yang tersebut di dalam Perwawai No. 2 Tahun 1939 (Persiaran 221 Tahun 1939) diperkekalkan selama-lamanya

50. Maka hendaklah tujuh jenis Darjah-Darjah yang ada sekarang dipakai selama-lamanya dan diperkekalkan bagaimana rupa dan keadaannya yang ada itu juga, iaitu "Darjah Kerabat Yang Amat Dihormati (Al-Yunusi)", "Darjah Kebesaran Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (Al-Muhammadi)", dan "Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (Al-Ismaili)", "Darjah Kebesaran Kesatria Mahkota Kelantan Yang Amat Perkasa (Al-Yahyawi)", "Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (Al-Ibrahimi)", “Darjah Kebesaran Jasa Mahkota Kelantan Yang Amat Setia (Al-Petrawi)” dan "Darjah Pahlawan Yang Amat Gagah Perkasa (P.Y.G.P.)" dan Bintang-Bintang "Sri Mahkota Kelantan", "Sri Kelantan" dan "Ahli Kelantan", serta Pingat-Pingat yang sekarang "Pingat Bakti", "Pingat Perangai Baik", "Pingat Taat", dan "Pingat Peringatan Pembukaan Mesyuarat" hendaklah dipakaikan selama-lamanya dan diperkekalkan sebagai pekurniaan kerana keberanian dan kerana jasa-jasa yang cemerlang dan taat setia yang dipersembahkan kepada Negeri dan kepada Raja menurutlah mana-mana yang berlaku.

51. (Dipotong oleh G.N. No. 182/1959).

Kelebihan Raja tersimpan

52. Melainkan bagaimana yang tersebut di dalam ini, maka Bahagian ini hendaklah tidak menyentuh kelebihan-kelebihan kuasa dan takluk kuasa Raja.

Penyudahan dan ucapan doa

Demikianlah Bahagian Yang Kedua bagi Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Negeri Kelantan mudah-mudahan dengan kemegahan junjungan Kita bahawa Tuhan seru sekalian Alam permuliakan Bahagian Yang Kedua daripada Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Negeri ini selama-lamanya, Amin! Ya Rabbal Alamin!

Diperbuat di Istana Balai Besar Kota Bharu pada 25 haribulan Zulhijjah tahun 1375 Hijrah Nabi Sollallahu alaihi Wassallam bersamaan dengan 2 haribulan Ogos, tahun Masihi 1956 iaitu tahun Yang Kedua Belas Kita di atas Takhta Kerajaan.

PADA MENYAKSIKAN pekurniaan dan ketetapan Bahagian ini daripada Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Negeri ini serta persertaan dan persetujuan Majlis Mesyuarat Kerajaan, dan Pegawai-Pegawai Melayu Yang Kanan, dan Orang-Orang Besar Negeri ini adalah Kita sekalian menurunkan tandatangan masing-masing di bawah ini:

YAHYA PETRA
(dalam tulisan Jawi)
(Tengku Mahkota)
H. ZAINAL
(dalam tulisan Rumi)
(Tengku Sri Maharaja)
MOHAMED DAUD BIN MOHD
(dalam tulisan Jawi)
(Dato' Aria D'Raja)
T.AHMED
(dalam tulisan Rumi)
(Tengku Panglima Raja)
AHMED MAHIR
(dalam tulisan Jawi)
(Haji Ahmed Mahir)
T.M. YUSUFF
(dalam tulisan Rumi)
(Tengku Sri Laksamana)
T.MAHAMOOD
(dalam tulisan Rumi)
(Tengku Kaya Pahlawan)
AHMED ISMAIL
(dalam tulisan Jawi)
(Dato' Lela Negara)
AHMED BIN MAHAMOOD
(dalam tulisan Jawi)
(Dato' Sri Nara D'Raja)
ISMAIL IBRAHIM
(dalam tulisan Jawi)
(Che Ismail bin Ibrahim)
YUSOFF ZAKI YACOB
(dalam tulisan Jawi)
(Che Yusoff Zaki bin Haji Yacob)
YAHYA DAUD
(dalam tulisan Jawi)
(Haji Nik Yahya bin Nik Daud)