Kemuliaan
48. Maka hendaklah Jiwa Kemuliaan Kedaulatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia disalutkan kepada tubuh badan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan begitu jua dengan mana-mana istana Baginda yang ditetapkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia dari suatu masa ke suatu masa.
Balai penghadapan dan istana raja
49. (1) Kebawah Duli Yang Maha Mulia, jika Baginda suka bolehlah membuat peraturan-peraturan dari suatu masa ke suatu masa bagi balai penghadapan dan istananya bagi melantikkan pegawai-pegawai balai penghadapan dan istananya, bagi mengaturkan segala adat istiadat dan bagi menyempurnakan pekerjaan pegawai-pegawai balai penghadapan dan istana Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan orang yang bertanggungjawab bagi pekerjaan-pekerjaan adat istiadat, dan tatkala membuat begitu hendaklah memandangkan kepada adat istiadat Negeri ini, jika ada.
(2) Tiadalah sesuatu yang terkandung di dalam ini akan disifat merendahkan kekuasaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia yang am itu sebagai Pangkal segala Kehormatan dan Kebesaran dalam Negeri.
Darjah, Bintang Kebesaran dan Pingat-Pingat yang tersebut di dalam Perwawai No. 2 Tahun 1939 (Persiaran 221 Tahun 1939) diperkekalkan selama-lamanya
50. Maka hendaklah tujuh jenis Darjah-Darjah yang ada sekarang dipakai selama-lamanya dan diperkekalkan bagaimana rupa dan keadaannya yang ada itu juga, iaitu "Darjah Kerabat Yang Amat Dihormati (Al-Yunusi)", "Darjah Kebesaran Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (Al-Muhammadi)", dan "Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (Al-Ismaili)", "Darjah Kebesaran Kesatria Mahkota Kelantan Yang Amat Perkasa (Al-Yahyawi)", "Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (Al-Ibrahimi)", “Darjah Kebesaran Jasa Mahkota Kelantan Yang Amat Setia (Al-Petrawi)” dan "Darjah Pahlawan Yang Amat Gagah Perkasa (P.Y.G.P.)" dan Bintang-Bintang "Sri Mahkota Kelantan", "Sri Kelantan" dan "Ahli Kelantan", serta Pingat-Pingat yang sekarang "Pingat Bakti", "Pingat Perangai Baik", "Pingat Taat", dan "Pingat Peringatan Pembukaan Mesyuarat" hendaklah dipakaikan selama-lamanya dan diperkekalkan sebagai pekurniaan kerana keberanian dan kerana jasa-jasa yang cemerlang dan taat setia yang dipersembahkan kepada Negeri dan kepada Raja menurutlah mana-mana yang berlaku.