Elaun
35. (1) Tidaklah boleh siapa-siapa pun dalam Negeri berhak mendapat daripada hasil-hasil Negeri mana-mana elaun, selain daripada elaun yang kena dibayar mengikut Undang-Undang ini atau mana-mana undangundang yang bertulis yang berjalan kuat kuasa pada masa itu dalam Negeri, melainkan elaun-elaun itu telah dilulus oleh Dewan Negeri dari suatu masa ke suatu masa.
(2) Maka Raja hendaklah terhak mendapat elaun, yang akan dikenakan daripada Kumpulan Wang Yang Disatukan, yang hendaklah ditetapkan dengan ketetapan Dewan Negeri; dan elaun itu hendaklah berpadanan dan berpatutan bagi memelihara pangkat dan martabat kebesaran Raja itu dan dalam mentaksirkan elaun itu, tidaklah dibenarkan diambil kira mana-mana pendapatan yang terdapat daripada hartanya sendiri.
(3) Waris itu hendaklah, dari semenjak diputerakannya terhak mendapat elaun, yang akan dikenakan daripada Kumpulan Wang Yang Disatukan, yang hendaklah ditetapkan dengan ketetapan Dewan Negeri; dan elaun itu hendaklah berpadanan dan berpatutan bagi memelihara pangkat dan martabat kebesarannya dan, menjadi sebanyak tidak kurang daripada separuh elaun Raja semasa dikurniakan gelaran Tengku Mahkota di bawah Perkara 27 Bahagian ini dan apabila mentaksirkan elaun itu tidaklah dibenarkan diambil kira akan mana-mana pendapatan yang terdapat daripada hartanya sendiri atau daripada mana-mana punca yang lain dan hendaklah di dalam masa hidupnya mendapat sebuah tempat kediaman yang layak yang disediakan berserta perkakas alatan dan perhiasan yang munasabah kerana memelihara tarafnya.
(4) Elaun-elaun hidup hendaklah dibayar daripada hasil-hasil Negeri mengikut kadar yang akan ditetapkan oleh Undang-Undang Negeri atau dilulus oleh Dewan Negeri dari suatu masa ke suatu masa kepada Putera-Putera dan Puteri-Puteri seorang Raja:
Dengan syarat juga bahawa Raja dengan persertaan Majlis Mesyuarat Kerajaan, bolehlah menetap, memberhenti, menahan atau membezakan elaun itu jika nampak layak diperbuat begitu.
(5) Mana-mana orang yang menerima suatu elaun mengikut Fasal yang telah lepas yang memegang mana-mana jawatan di dalam Kerajaan Negeri bolehlah mendapat gaji bagi jawatan itu sebagai tambahan kepada elaun itu.