Pengundian dan keputusan-keputusan
11. (1) Mana-mana keputusan Majlis Perajaan Negeri tidak akan menjadi sah dan terpakai melainkan sekurang-kurangnya dua pertiga daripada ahli-ahli yang hadir dan mengundi itu bersetuju dengan keputusan itu.
(2) Mana-mana keputusan Majlis Perajaan Negeri tidak akan menjadi terbatal dengan sebab hanyalah ketiadaan hadir seorang ahli, sama ada ketiadaan hadir itu telah dimaaf oleh Yang di-Pertua atau tidak:
Dengan syarat jika mana-mana ahli yang ketiadaan hadirnya tidak dimaaf atau yang telah mungkir memberi huraian yang berpatutan kepada Yang di-Pertua, kerana ketiadaan hadirnya itu, maka terlucutlah ia dengan sendirinya daripada menjadi ahli Majlis Perajaan Negeri.
Persidangan-persidangan
12. (1) Tiada dibenarkan mana-mana orang yang lain daripada ahli hadir di dalam mana-mana persidangan Majlis Perajaan Negeri.
(2) Maka Yang di-Pertua bolehlah menangguhkan mana-mana persidangan Majlis Perajaan Negeri dari suatu masa ke suatu masa tetapi apabila sesuatu persidangan itu telah dimulakan hendaklah dijalankan terus hingga keputusan Majlis Perajaan Negeri itu telah diperbuat.
(3) Korum dalam mana-mana persidangan Majlis Perajaan Negeri hendaklah sekurang-kuramgnya empat perlima daripada bilangan ahli, tidak termasuk Setiausaha Majlis.
Minit-minit dan rekod-rekod
13. (1) Maka minit-minit perjalanan di dalam tiap-tiap persidangan Majlis Perajaan Negeri itu hendaklah disimpan dengan tulisan oleh Setiausaha Kerajaan atau jika ia tiada hadir oleh seorang ahli yang akan dilantik bagi pihaknya itu oleh Yang di-Pertua.
(2) Rekod bagi tiap-tiap keputusan Majlis Perajaan Negeri hendaklah diperbuat dengan tulisan oleh Setiausaha Kerajaan dan hendaklah ditandatangani oleh Yang di-Pertua dan tandatangannya itu hendaklah disaksikan oleh Setiausaha Kerajaan.
(3) Tiap-tiap keputusan Majlis Perajaan Negeri hendaklah disiarkan di dalam Warta Kerajaan.