UNDANG-UNDANG PERLEMBAGAAN TUBUH KERAJAAN KELANTAN
BAHAGIAN YANG KEDUA
Tandatangan
(KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA)
Alhamdulillahi Rabbil Alamin, Wassolatu wassalamu ala Sayyidina Muhammad wa ala Alihi wa Sohbihi ajmain
ALWATHIQ BILLAHI IBRAHIM, Sultan dan Raja bagi Kerajaan dan jajahan Kelantan dan segala daerah Takluk, Raja dan Ketua bagi Darjah Kerabat Yang Amat Dihormati, Raja dan Ketua bagi Darjah Kebesaran Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia, Raja dan Ketua bagi Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan, Ahli Pangkat Yang Pertama bagi Darjah Kerabat Johor Yang Amat Dihormati, Knight Commander bagi Darjah Kebesaran St.Michael dan St.George Yang Amat Terbilang:
BAHAWA KITA telah mengkurnia dan menjalankan pada 21 haribulan Rabiulawal tahun Hijrah 1367 Nabi Sollallahu Alaihi Wasallam, bersamaan dengan 1 haribulan Februari tahun 1948 Masihi, Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan, Bahagian Yang Pertama, yang digelarkan di dalam bahasa Inggeris "the Laws of the Constitution of Kelantan, First Part":
DAN JUGA KITA memikirkan bahawa munasabah pada masa ini KITA mengurniakan dan menjalankan Bahagian Yang Kedua kepada Undang-Undang yang tersebut itu:
MAKA YANG DEMIKIAN ADALAH KITA, dengan hak-hak dan kuat kuasa kelebihan KITA sebagai Sultan dan Raja bagi Negeri Kelantan dan dengan nasihat, persertaan dan persetujuan Majlis Mesyuarat Kerajaan dan Pegawai-Pegawai Melayu KITA Yang Kanan dan Orang-Orang Besar Negeri Kelantan KITA, DENGAN INI MENYATAKAN DAN MENITAHKAN dengan nama KITA, dan bagi pihak KITA, dan bagi dan kerana pihak Waris Ganti KITA, bagaimana yang tersebut kemudian daripada ini: