Pergi ke kandungan

Laman:Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan.pdf/38

Daripada Wikisumber
Laman ini telah dibaca pruf
Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan
39


(6) Jika timbul sesuatu soal mengenai hilang kelayakan Speaker atau Timbalan Speaker di bawah Fasal (5) Dewan Negeri hendaklah mengambil keputusan mengenainya dan keputusan itu adalah muktamad.

Memanggil, memberhenti dan membubarkan Dewan Negeri

46. (1) Kebawah Duli Yang Maha Mulia hendaklah dari satu masa ke satu masa memanggil Dewan Negeri dan hendaklah tidak dibiarkan selama enam bulan berlalu di antara persidangan yang akhir di dalam satu tempoh mesyuarat dengan tarikh yang ditetapkan bagi persidangannya yang pertama di dalam tempoh mesyuarat yang akan datang.

(2) Kebawah Duli Yang Maha Mulia boleh memberhenti atau membubarkan Dewan Negeri.

(3) Dewan Negeri, dikecuali dibubarkan terlebih dahulu, hendaklah berjalan kuasa selama lima tahun daripada tarikh persidangannya yang pertama dan hendaklah kemudian daripada itu terbubar sendiri.

(4) Apabila Dewan Negeri itu telah dibubarkan, maka hendaklah diadakan satu pilihan raya dalam tempoh enam puluh hari dari tarikh pembubaran itu dan Dewan Negeri yang baru itu hendaklah dipanggil bersidang pada suatu tarikh tidak lewat dari sembilan puluh hari daripada tarikh itu.

(5) Sesuatu kekosongan luar jangka hendaklah diisi dalam tempoh enam puluh hari dari tarikh dipastikan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya bahawa ada kekosongan:

Dengan syarat bahawa jika kekosongan luar jangka itu dipastikan pada suatu tarikh dalam masa dua tahun dari tarikh Dewan Negeri akan terbubar, mengikut Fasal (3), maka kekosongan luar jangka itu tidak boleh diisi melainkan jika Speaker memberitahu Suruhanjaya Pilihan Raya secara bertulis bahawa kekuatan dari segi bilangan parti yang membentuk majoriti semua ahli Dewan Negeri terjejas oleh kekosongan itu, dan dalam keadaan sedemikian kekosongan itu hendaklah diisi dalam masa enam puluh hari dari tarikh pemberitahuan itu diterima.