Pergi ke kandungan

Laman:Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan.pdf/37

Daripada Wikisumber
Laman ini telah dibaca pruf
38
Undang-Undang Negeri Kelantan


(2A) Dewan Negeri boleh dari semasa ke semasa memilih seorang daripada ahlinya untuk menjadi Timbalan Speaker.

(2B) Seseorang Timbalan Speaker boleh pada bila-bila masa meletakkan jawatannya dan hendaklah mengosongkan jawatannya –

(a) apabila dia terhenti menjadi ahli Dewan Negeri; atau
(b) jika pada bila-bila masa Dewan menetapkan sedemikian.

(3) Dalam masa peninggalan Speaker itu daripada satu persidangan Dewan Negeri, Timbalan Speaker atau jika Timbalan Speaker tidak hadir atau jika jawatan Timbalan Speaker kosong, maka ahli lain yang boleh diputuskan oleh aturan-aturan Peraturan Dewan itu, hendaklah melaku sebagai Speaker.

(4) Badan Undangan itu hendaklah mengadakan syarat dengan undang-undang kerana upahan Speaker dan Timbalan Speaker dan upahan yang disyaratkan itu hendaklah dikenakan di atas Kumpulan Wang Yang Disatukan.

(5) Seseorang ahli yang dipilih menjadi Speaker atau Timbalan Speaker adalah hilang kelayakan dari memegang jawatan itu jika tiga bulan selepas dipilih memegang jawatan itu atau pada bila-bila masa selepas itu ia adalah atau menjadi ahli mana-mana lembaga pengarah atau lembaga pengurusan, atau seorang pegawai atau pekerja, atau melibatkan diri dalam hal ehwal atau urusan, sesuatu pertubuhan atau badan, sama ada diperbadankan atau sebaliknya, atau sesuatu pengusahaan perdagangan, perindustrian atau lain-lain pengusahaan, sama ada ia menerima atau mendapat atau tidak apa-apa saraan, hadiah, untung atau faedah daripadanya:

Dengan syarat bahawa hilang kelayakan itu tidak boleh dipakai jika pertubuhan atau badan itu menjalankan apa-apa kerja kebajikan atau sukarela atau tujuan yang berfaedah kepada masyarakat atau mana-mana bahagiannya, atau apa-apa kerja atau tujuan lain berupa khairat atau sosial, dan ahli itu tidak menerima apa-apa saraan, hadiah, untung atau faedah.