sebagaimana yang pada pendapatnya patut dicapai oleh seorang pengendali berlesen.
(3) Tanpa menjejaskan keluasan subseksyen (2), peraturan-peraturan yang dibuat di bawah subseksyen itu boleh—
- (a) membuat peruntukan bagi tatacara yang hendaklah diikuti bagi penguatkuasaan standard prestasi itu; dan
- (b) mengadakan hal keadaan yang dalamnya seorang pengendali berlesen boleh dikecualikan daripada mematuhi standard prestasi itu.
Permohonan oleh pengendali berlesen bagi kelulusan untuk mengambil bahagian dalam perniagaan atau perjanjian
70. (1) Jika seorang pengendali berlesen yang mengendalikan atau mengadakan suatu perkhidmatan kenderaan perkhidmatan awam atau perkhidmatan kenderaan barangan merupakan suatu syarikat, perkongsian atau firma yang bercadang untuk mengambil bahagian dalam mana-mana perniagaan atau perjanjian yang akan menyebabkan—
- (a) apa-apa perubahan dalam struktur ekuiti; atau
- (b) apa-apa perubahan dalam anggota lembaga pengarah syarikat, atau pekongsi dalam perkongsian atau firma itu, mengikut mana-mana yang berkenaan, pengendali berlesen itu hendaklah mendapatkan kelulusan Ketua Pengarah Pengangkutan Awam Darat sebelum mengambil bahagian dalam perniagaan atau perjanjian itu.
(2) Ketua Pengarah Pengangkutan Awam Darat boleh, apabila diterimanya permohonan di bawah subseksyen (1), meluluskan atau menolak permohonan itu dan, jika Ketua Pengarah Pengangkutan Awam Darat meluluskan permohonan itu, ia boleh mengenakan apa-apa syarat yang difikirkannya patut.