difikirkan patut oleh Ketua Pengarah Pengangkutan Awam Darat, dan selepas dibayar fi yang ditetapkan, mengeluarkan suatu lesen kepada pemohon itu; atau
- (b) menolak permohonan itu.
(2) Pengeluaran suatu lesen oleh Ketua Pengarah Pengangkutan Awam Darat di bawah subseksyen (1) tidaklah mengenakan apa-apa tanggungan pada Ketua Pengarah Pengangkutan Awam Darat bagi apa-apa kerugian atau kerosakan yang disebabkan oleh apa-apa perbuatan, peninggalan atau keingkaran pemegang lesen itu.
Tempoh lesen
39. Sesuatu lesen yang dikeluarkan di bawah Bab ini hendaklah, melainkan jika digantikan atau dibatalkan, terus berkuat kuasa bagi apa-apa tempoh yang ditentukan oleh Ketua Pengarah Pengangkutan Awam Darat, dengan syarat bahawa tempoh itu tidak boleh melebihi tiga tahun.
Lesen jangka pendek
40. (1) Jika sesuatu permohonan telah dibuat bagi suatu lesen di bawah Bab ini, Ketua Pengarah Pengangkutan Awam Darat boleh, jika sebab pentadbiran atau atas alasan keterdesakan perkara itu difikirkannya wajar dibuat sedemikian sementara menunggu permohonan itu diputuskan, mengeluarkan kepada pemohon itu suatu lesen jangka pendek bagi apa-apa tempoh dan tertakluk kepada apa-apa syarat yang difikirkannya patut.
(2) Suatu lesen jangka pendek hendaklah terhenti berkuat kuasa dari tarikh Ketua Pengarah Pengangkutan Awam Darat memberikan keputusannya tentang permohonan itu, dan dalam apa hal jua pun tidak boleh berkuat kuasa lebih daripada enam bulan.