Pergi ke kandungan

Laman:Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).pdf/61

Daripada Wikisumber
Laman ini telah dibaca pruf
Pengangkutan Awam Darat
61


Batasan terhadap bilangan kelas kenderaan perkhidmatan awam yang dinyatakan

33. Menteri hendaklah, dari semasa ke semasa sebagaimana yang didapatinya perlu atau wajar dan selepas berunding dengan Kerajaan Negeri atau Menteri yang bertanggungjawab bagi Wilayah Persekutuan, mengikut mana-mana yang berkenaan, menetapkan bilangan mana-mana kelas kenderaan perkhidmatan awam yang difikirkannya patut dibenarkan untuk digunakan bagi memenuhi keperluan munasabah orang yang menghendaki penggunaan kenderaan sedemikian di mana-mana kawasan yang tertentu.

Pengelasan dan penomboran laluan

34. Ketua Pengarah Pengangkutan Awam Darat boleh mengelaskan dan menomborkan, mengikut apa-apa cara yang sesuai, laluan yang berkenaan dengannya lesen pengendali untuk mengendalikan mana-mana kelas kenderaan perkhidmatan awam dikeluarkan di bawah Bab ini, dan boleh menyiarkan suatu senarai laluan yang dikelaskan dan dinomborkan sedemikian.

Perlindungan kepentingan awam

35. Kecuali sebagaimana yang diperuntukkan dengan nyata selainnya, tiada apa jua dalam Bab ini boleh disifatkan sebagai memberi pengendali berlesen apa-apa hak yang berterusan kepada apa-apa faedah yang berbangkit daripada peruntukan Bab ini, atau daripada mana-mana lesen pengendali yang dikeluarkan atau disifatkan telah dikeluarkan di bawahnya atau daripada mana-mana syarat yang dikenakan pada mana-mana lesen pengendali itu.