Pergi ke kandungan

Laman:Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).pdf/60

Daripada Wikisumber
Laman ini telah dibaca pruf
60
Undang-Undang Malaysia
Akta 715


Perizaban lesen pengendali

32. (1) Walau apa pun apa-apa jua yang terkandung dalam Akta ini, Yang di-Pertuan Agong boleh dari semasa ke semasa melalui perintah, memberi Ketua Pengarah Pengangkutan Awam Darat arahan sebagaimana yang dikehendaki bagi perizaban lesen pengendali bagi orang Melayu dan anak negeri mengikut apa-apa perkadaran lesen pengendali yang hendak dikeluarkan kepada pengendali perkhidmatan kenderaan perkhidmatan awam di bawah Bab ini sebagaimana yang difikirkan munasabah oleh Yang di-Pertuan Agong, dan Ketua Pengarah Pengangkutan Awam Darat hendaklah mematuhi arahan sedemikian.

(2) Sesuatu lesen pengendali yang dikeluarkan kepada seorang Melayu atau anak negeri oleh Ketua Pengarah Pengangkutan Awam Darat menurut arahan yang diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong di bawah subseksyen (1) hendaklah mengandungi pengendorsan yang berikut:

“Diberikan menurut arahan yang diberikan di bawah subseksyen 32(1) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.”.

(3) Pengendorsan dalam subseksyen (2) itu hendaklah menjadi keterangan konklusif bahawa lesen pengendali itu telah dikeluarkan menurut arahan sedemikian.

(4) Ketua Pengarah Pengangkutan Awam Darat boleh, berkenaan dengan mana-mana lesen pengendali yang dikeluarkan menurut arahanyang diberikan di bawah subseksyen (1), mengenakan pada lesen pengendali itu apa-apa syarat yang difikirkannya patut sebagai tambahan kepada syarat yang disebut dalam seksyen 22.

(5) Bagi maksud seksyen ini, “orang Melayu” atau “anak negeri” termasuklah suatu syarikat, persatuan atau kumpulan orang, sama ada diperbadankan atau tidak diperbadankan, yang bahagian majoriti modalnya dipunyai oleh dan pengurusan dan pekerjanya terdiri daripada orang Melayu atau anak negeri.

(6) Seksyen ini tidak terpakai bagi pengendali berlesen perkhidmatan kenderaan perkhidmatan awam yang melibatkan penggunaan mana-mana bas pekerja.