Laman ini telah dibaca pruf
Pengangkutan Awam Darat
45
Bahagian III
KENDERAAN PERKHIDMATAN AWAM, KENDERAAN PELANCONGAN DAN KENDERAAN BARANGAN
Bab 1
Pelesenan pengendali perkhidmatan kenderaan perkhidmatan awam
Kehendak bagi lesen pengendali
16. (1) Tertakluk kepada seksyen 194 dan 195, tiada seorang pun boleh mengendalikan atau mengadakan sesuatu perkhidmatan kenderaan perkhidmatan awam dengan menggunakan suatu kelas kenderaan perkhidmatan awam melainkan jika dia memegang sesuatu lesen pengendali yang dikeluarkan di bawah Bab ini.
(2) Bagi maksud Bab ini, seseorang disifatkan mengendalikan atau mengadakan suatu perkhidmatan kenderaan perkhidmatan awam jika dia—
- (a) menggunakan atau memandu sesuatu kenderaan perkhidmatan awam daripada suatu kelas kenderaan perkhidmatan awam dengan sendiri; atau
- (b) mengambil kerja seorang atau lebih untuk menggunakan atau memandu sesuatu kenderaan perkhidmatan awam daripada suatu kelas kenderaan perkhidmatan awam,
untuk mengendalikan atau mengadakan suatu perkhidmatan kenderaan perkhidmatan awam, dan—
- (A) dia mempunyai kenderaan perkhidmatan awam itu; atau
- (B) dia bertanggungjawab, di bawah apa-apa bentuk perkiraan dengan pemunya atau pemberi pajak kenderaan perkhidmatan awam tersebut untuk menguruskan, menyenggarakan atau mengendalikan kenderaan perkhidmatan awam itu.