“premis kereta api” ertinya semua premis yang di bawah kawalan atau diduduki atau digunakan oleh suatu syarikat kereta api yang merupakan pengendali berlesen;
“rizab kereta api” ertinya—
- (a) segala tanah yang dirizabkan dengan sewajarnya, sama ada sebelum atau selepas permulaan kuat kuasa Akta Kereta Api 1991 [Akta 463], bagi maksud Kereta Api Persekutuan Tanah Melayu atau Kereta Api Negeri Johor atau Kereta Api Tanah Melayu di bawah peruntukan seksyen 62 Kanun Tanah Negara 1965 atau di bawah peruntukan yang bersamaan dalam mana-mana undang-undang tanah yang terdahulu sebagaimana yang ditafsirkan dalam Kanun Tanah Negara 1965; dan
- (b) segala tanah yang disifatkan sebagai rizab kereta api di bawah peruntukan seksyen 16 atau 17 Ordinan Kereta Api 1948 [M.U. Ord. 8/1948] yang termansuh;
“skim kereta api” ertinya sesuatu skim bagi pembinaan mana-mana kereta api yang disimpan dengan Ketua Pengarah Pengangkutan Awam Darat menurut Bahagian IV;
“skim penentuan harga bagi kesesakan kawasan” ertinya sesuatu skim yang dilaksanakan di sesuatu kawasan yang ditentukan, yang matlamatnya adalah untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas atau impak yang buruk kepada persekitaran yang berkaitan, atau kedua-duanya, dengan mengenakan suatu caj penentuan harga bagi kesesakan kawasan yang ditetapkan terhadap pengguna jalan di dalam kawasan itu;
“stok kereta” termasuk tender, motor, koc, tren, wagon, trak, troli, pengangkut daripada apa-apa jenis dan lokomotif dan enjin jenis lain yang digunakan di atas kereta api;