Pergi ke kandungan

Laman:Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).pdf/205

Daripada Wikisumber
Laman ini telah dibaca pruf
Pengangkutan Awam Darat
205

mempunyai pengetahuan tentang fakta dan hal keadaan kes itu, dan orang itu hendaklah hadir sebagaimana yang dikehendaki sedemikian.

(2) Jika mana-mana orang enggan atau tidak hadir sebagaimana yang dikehendaki sedemikian, pegawai pengangkutan awam darat atau pegawai pengangkutan jalan itu boleh melaporkan keengganan atau ketidakhadiran itu kepada seorang Majistret yang hendaklah mengeluarkan suatu saman untuk memastikan kehadiran orang itu sebagaimana yang dikehendaki oleh perintah yang dibuat di bawah subseksyen (1).

Pemeriksaan orang yang mempunyai pengetahuan tentang kes

225. (1) Seorang pegawai pengangkutan awam darat atau pegawai pengangkutan jalan yang menjalankan suatu penyiasatan di bawah Akta ini boleh memeriksa secara lisan mana-mana orang yang dikatakan mempunyai pengetahuan tentang fakta dan hal keadaan kes itu dan hendaklah mengubah ke dalam bentuk bertulis apa-apa pernyataan yang dibuat oleh orang yang diperiksa sedemikian.

(2) Orang itu adalah terikat untuk menjawab semua soalan yang berhubungan dengan kes itu yang diajukan kepadanya oleh pegawai pengangkutan awam darat atau pegawai pengangkutan jalan itu:

Dengan syarat bahawa orang itu boleh enggan untuk menjawab mana-mana soalan yang jawapannya berkecenderungan mendedahkannya kepada pertuduhan jenayah atau penalti atau pelucuthakan.

(3) Seseorang yang membuat suatu pernyataan di bawah seksyen ini adalah terikat di sisi undang-undang untuk menyatakan yang benar, sama ada pernyataan itu dibuat secara keseluruhannya atau sebahagiannya dalam menjawab soalan atau tidak.

(4) Pegawai pengangkutan awam darat atau pegawai pengangkutan jalan yang memeriksa seseorang di bawah subseksyen (1) hendaklah terlebih dahulu memaklumkan orang itu mengenai peruntukan subseksyen (2) dan (3).