(3) Seseorang pemegang lesen atau pengendali berlesen boleh enggan untuk membawa apa-apa barangan atau bagasi yang disyaki mengandungi benda yang berbahaya sifatnya, dan boleh menghendaki supaya barangan atau bagasi itu dibuka.
(4) Dalam hal mana-mana barangan atau bagasi itu telah diterima oleh mana-mana pemegang lesen atau pengendali berlesen bagi maksud membawanya di atas kenderaan yang berkaitan atau kereta api, mana-mana pekerja pemegang lesen atau pengendali berlesen itu boleh menghentikan penghantarannya sehingga dia berpuas hati tentang sifat kandungan barangan atau bagasi itu.
(5) Seseorang yang membawa atau mendepositkan atau menyebabkan supaya dibawa atau didepositkan mana-mana barangan atau bagasi yang berbahaya atau memudaratkan di atas suatu kenderaan yang berkaitan atau kereta api berlanggaran dengan subseksyen (1) melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi lima puluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya.
Memasuki atau meninggalkan koc kereta api, kenderaan perkhidmatan awam atau kenderaan pelancongan, dsb., semasa sedang bergerak atau membuat perjalanan di luar aturan
199. Mana-mana penumpang yang masuk ke dalam atau ke atas, atau cuba untuk masuk ke dalam atau ke atas, atau keluar atau cuba untuk keluar dari mana-mana koc kereta api, kenderaan perkhidmatan awam atau kenderaan pelancongan semasa koc atau kenderaan itu sedang bergerak, atau yang membuat perjalanan atau cuba untuk membuat perjalanan di atas atau di dalam mana-mana bahagian koc atau kenderaan yang bukan dimaksudkan bagi kegunaan penumpang, melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga bulan atau kedua-duanya bagi setiap kesalahan itu.