Penalti kerana tidak mematuhi seksyen 145
151. (1) Seseorang pegawai kereta api yang menjaga suatu stesen kereta api yang tidak memberikan apa-apa notis mengenai suatu kemalangan sebagaimana yang dikehendaki oleh perenggan 145(1)(a) melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
(2) Seseorang pengendali berlesen yang tidak memberikan notis mengenai suatu kemalangan sebagaimana yang dikehendaki oleh perenggan 145(1)(b) hendaklah membayar kepada Ketua Pengarah Pengangkutan Awam Darat suatu jumlah wang sebanyak satu ribu ringgit bagi tiap-tiap hari selama kemungkiran itu berterusan.
Penalti kerana tidak mematuhi seksyen 150
152. Seseorang pengendali berlesen yang tidak mematuhi seksyen 150 hendaklah membayar kepada Ketua Pengarah Pengangkutan Awam Darat suatu jumlah wang sebanyak satu ribu ringgit bagi tiap-tiap hari selama keingkaran itu berterusan selepas hari keempat belas dari tarikh yang dinyatakan bagi pengemukaan penyata itu.
Pemeriksaan perubatan wajib bagi orang yang tercedera dalam kemalangan kereta api
153. Apabila mana-mana orang yang tercedera dalam suatu kemalangan di atas suatu kereta api menuntut pampasan oleh sebab kecederaan itu, mana-mana mahkamah yang mempunyai bidang kuasa ke atas perkara sedemikian boleh memerintahkan supaya orang yang tercedera itu diperiksa oleh seorang pengamal perubatan yang berkelayakan sewajarnya yang bukan seorang saksi bagi mana-mana pihak, dan boleh membuat apa-apa perintah berkenaan dengan kos pemeriksaan itu sebagaimana yang difikirkannya patut.