perkara yang dipertikaikan oleh mereka, setakat yang perkara itu adalah berhubung dengan keselamatan orang awam, dan boleh menentukan sama ada keseluruhan atau sekian kadar perbelanjaan yang terlibat dalam perkiraan itu hendaklah ditanggung oleh salah satu atau mana-mana pengendali berlesen itu masing-masing.
Kuasa khas semasa darurat
139. (1) Yang di-Pertuan Agong boleh, apabila berlaku apa apa kerusuhan perindustrian, mogok, sekat masuk atau apa-apa kejadian lain yang menimbulkan darurat atau demi kepentingan ketenteraman atau keselamatan awam, memberi Menteri kuasa untuk—
- (a) mengambil milikan sementara mana-mana kereta api, perkhidmatan kereta api, premis atau kemudahan kereta api yang diadakan, disenggarakan atau dikerjakan oleh seseorang pengendali berlesen;
- (b) menarik balik, sama ada sebahagiannya atau keseluruhannya, penggunaan mana-mana perkhidmatan kereta api, premis atau kemudahan kereta api daripada mana-mana orang atau kelas orang atau daripada orang awam pada umumnya.
(2) Jika apa-apa keraguan berbangkit mengenai kewujudan suatu darurat atau sama ada apa-apa perbuatan yang dilakukan di bawah subseksyen (1) adalah demi kepentingan ketenteraman atau keselamatan awam, suatu perakuan yang ditandatangani oleh Yang di-Pertuan Agong dan dipamerkan di mana-mana tempat yang difikirkan patut oleh Menteri hendaklah menjadi bukti konklusif mengenai hal itu.
(3) Jika Kerajaan mengambil milikan sementara mana-mana kereta api, perkhidmatan kereta api atau, premis atau kemudahan kereta api di bawah perenggan (1)(a), pampasan yang memadai hendaklah dibayar oleh Kerajaan, apabila Kerajaan berpuas hati bahawa kejadian yang disebut dalam subseksyen (1) tidak disebabkan atau disumbangkan dengan apa-apa cara oleh pengendali berlesen itu.