Pembayaran pampasan
91. (1) Pada menjalankan kuasa di bawah seksyen 89 dan 90, suatu syarikat kereta api hendaklah melakukan seberapa sedikit kerosakan yang mungkin pada tanah itu dan pampasan yang mencukupi hendaklah dibayar bagi apa-apa kerosakan yang dilakukan akibat penjalanan kuasa itu.
(2) Mana-mana orang yang menuntut pampasan daripada suatu syarikat kereta api boleh menyerahkan tuntutannya dengan Pentadbir yang hendaklah mengemukakan tuntutan itu kepada syarikat kereta api itu.
(3) Jika terdapat pertikaian tentang amaun pampasan, Pentadbir hendaklah menentukan amaun itu, setakat yang boleh, mengikut tatacara yang ditetapkan oleh undang-undang yang berhubungan dengan pengambilan tanah bagi maksud awam yang berkuat kuasa di Negeri yang berkenaan.
(4) Tiada apa jua dalam seksyen ini boleh menghalang penyelesaian melalui persetujuan akan amaun pampasan yang hendaklah dibayar berkenaan dengan tanah yang rosak atau yang terjejas dengan mudarat akibat daripada penjalanan kuasa yang diberikan oleh seksyen ini.
Kerja-kerja kemudahan
92. (1) Tiap-tiap syarikat kereta api hendaklah, tertakluk kepada subseksyen (3) dan (4), membina dan menyenggarakan bagi kemudahan tuan punya dan penduduk tanah yang berdampingan dengan mana-mana kereta api—
- (a) apa-apa dan sekian banyak lintasan, jambatan, gerbang, pembetung dan lorong lalu yang sesuai di atas, di bawah atau di sisi atau yang menuju ke atau dari kereta api itu, yang pada pendapat Ketua Pengarah Pengangkutan Awam Darat adalah perlu bagi maksud mengatasi apa-apa gangguan pada penggunaan tanah yang disebabkan oleh pembinaan kereta api itu;