Pergi ke kandungan

Laman:Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).pdf/103

Daripada Wikisumber
Laman ini telah dibaca pruf
Pengangkutan Awam Darat
103

jika, dengan mengambil kira hal keadaan yang wujud pada suatu masa tertentu, adalah ternyata bahawa jika langkah itu tidak diambil besar kemungkinan kenderaan itu akan terlepas bagi mengelakkan daripada dikesan atau selainnya.

(2) Seseorang yang tidak mematuhi apa-apa isyarat munasabah seorang pegawai polis berpakaian seragam, pegawai pengangkutan jalan berpakaian seragam atau pegawai pengangkutan awam darat berpakaian seragam yang menghendaki supaya orang atau kenderaan itu berhenti sebelum sampai ke mana-mana galangan itu atau cuba untuk melintasi atau melanggar mana-mana galangan itu, melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi dua ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

(3) Tiada seorang pegawai pun boleh bertanggungan bagi apa-apa kerugian, kecederaan atau kerosakan yang disebabkan kepada mana-mana orang atau harta berikutan dengan langkah yang diambilnya sebagaimana yang disebut dalam subseksyen (1).

Kuasa untuk menyita dokumen, dsb.

79. (1) Jika mana-mana pegawai polis, pegawai pengangkutan jalan atau pegawai pengangkutan awam darat mempunyai sebab yang munasabah untuk mempercayai bahawa sesuatu dokumen yang dibawa di atas suatu kenderaan yang berkaitan, atau mana-mana lesen, lesen pengendali, rekod atau dokumen lain yang dikemukakan kepadanya menurut Akta ini oleh pemandu atau orang yang mengawal suatu kenderaan yang berkaitan ialah suatu dokumen, suatu lesen, suatu lesen pengendali atau suatu rekod yang berhubungan dengannya suatu kesalahan di bawah Akta ini telah dilakukan, dia boleh menyita atau menanggalkan dokumen, lesen, lesen pengendali atau rekod itu daripada kenderaan yang berkaitan itu.

(2) Jika lesen atau lesen pengendali yang disita di bawah subseksyen (1) ialah suatu lesen atau lesen pengendali yang telah digantung di bawah Akta ini, lesen atau lesen pengendali itu hendaklah dikembalikan kepada pemegang lesen, pemegang lesen terminal,