Pergi ke kandungan

Laman:Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).pdf/16

Daripada Wikisumber
Laman ini telah dibaca pruf
16
Undang-Undang Malaysia
Akta 611
(e) semua kesalahan di bawah Akta Penculikan 1961 [Akta 365];

“kanak-kanak”—

(a) ertinya seseorang yang di bawah umur lapan belas tahun; dan
(b) berhubung dengan prosiding jenayah, ertinya seseorang yang sudah mencapai umur bagi tanggungjawab jenayah sebagaimana yang ditetapkan dalam seksyen 82 Kanun Keseksaan [Akta 574];

“kanak-kanak dalam percubaan” ertinya seseorang kanak-kanak yang sedang berada di bawah pengawasan menurut kuasa suatu perintah percubaan;

“kaunselor” ertinya mana-mana kaunselor, penolong kaunselor, pegawai psikologi atau penolong pegawai psikologi di Kementerian yang bertanggungjawab bagi perkhidmatan kebajikan;

“Ketua Pendaftar” ertinya Ketua Pendaftar Kanak-Kanak yang dilantik di bawah subseksyen 9(1);

“Ketua Pengarah” ertinya Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat dan termasuklah Pengarah Kebajikan Masyarakat Negeri bagi setiap Negeri;

“khidmat masyarakat” ertinya apa-apa kerja, perkhidmatan atau pelaksanaan arahan demi kebaikan orang awam keseluruhannya di bawah ruang lingkup Kementerian yang bertanggungjawab bagi perkhidmatan kebajikan;

“laporan akhlak” ertinya laporan yang disediakan oleh pegawai akhlak di bawah subseksyen 90(13);

“Lembaga Hakim Pelawat” ertinya Lembaga Hakim Pelawat yang dilantik di bawah seksyen 64 Akta Penjara 1995 [Akta 537];

“Lembaga Pelawat” ertinya Lembaga Pelawat yang dilantik oleh Menteri di bawah seksyen 82;