Pergi ke kandungan

Laman:Akta Akuan Berkanun 1960 (Disemak 2016) (Akta 783).pdf/5

Daripada Wikisumber
Laman ini telah dibaca pruf

UNDANG-UNDANG MALAYSIA

Akta 783

AKTA AKUAN BERKANUN 1960

Suatu Akta untuk mengadakan peruntukan bagi membuat dan mengambil akuan berkanun dan bagi maksud yang berkaitan dan bersampingan dengannya.

[Semenanjung Malaysia —1 Jun 1961, L.N. 154/1961;
Sabah dan Sarawak—1 Januari 1969, P.U. 488/1968]

Tajuk ringkas

1. Akta ini bolehlah dinamakan Akta Akuan Berkanun 1960.

Borang akuan

2. Mana-mana Hakim Mahkamah Sesyen, Majistret atau Pesuruhjaya Sumpah, atau, tertakluk kepada seksyen 4 Akta Notari Awam 1959 [Akta 115], mana-mana notari awam yang dilantik di bawah Akta Notari Awam 1959, boleh mengambil dan menerima akuan mana-mana orang yang membuat akuan itu dengan sukarela dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris mengikut borang dalam Jadual.

Akuan palsu boleh dihukum di bawah Kanun Keseksaan

3. Akuan yang dibuat menurut kuasa Akta ini hendaklah disifatkan sebagai akuan yang disebut dalam seksyen 199 dan 200 Kanun Keseksaan [Akta 574].