Pergi ke kandungan

Ucapan Lee Hsien Loong, Rapat Umum Hari Kebangsaan 2005

Daripada Wikisumber

Singapore Government Press Release
Media Relations Division, Ministry of Information, Communications and the Arts,
MICA Building, 140 Hill Street, 2nd Storey, Singapore 179369
Tel: 6837-9666

SPEECH BY PRIME MINISTER LEE HSIEN LOONG
AT NATIONAL DAY RALLY 2005 (MALAY VERSION),
21 AUGUST 2005, 6.45 PM AT UNIVERSITY CULTURAL CENTRE, NUS

UCAPAN PERDANA MENTERI
DI RAPAT UMUM HARI KEBANGSAAN 2005
PADA 21 OGOS 2005, DI PUSAT BUDAYA UNIVERSITI,
UNIVERSITI NASIONAL SINGAPURA


Saudara-saudara setanah air

Tahun lalu, saya bincangkan ciri masyarakat Melayu kita yang moden – berjaya, memandang ke depan, memainkan peranan penuh dalam pembangunan negara – dan masih mengekalkan adat resam dan cara hidup mereka. Saya gembira kerana setiap tahun, masyarakat Melayu bertambah maju.

Disember lalu, apabila tsunami melanda negara-negara jiran, rakyat Singapura bertindak pantas untuk membantu. Angkatan Bersenjata Singapura dan Pasukan Pertahanan Awam (SCDF) telah menolong dan memberi harapan kepada para penduduk. Kumpulan-kumpulan sukarelawan kita juga mengadakan usaha besar-besaran. Kita telah menolong di tempat yang amat memerlukan, dan pada saat yang mendesak.

Satu sebab penting kejayaan kita ialah kerana adanya relawan dan anggota pasukan kita / yang fasih berbahasa Melayu dan memahami budaya Melayu, termasuk yang bukan Melayu. Mereka dapat berhubung dengan penduduk Aceh, memahami keperluan mereka, dan berurusan dengan pihak berkuasa tempatan. Pengalaman kita di Aceh menunjukkan bahawa warga Singapura yang bukan Melayu juga harus memahami bahasa dan budaya Melayu. Kini lebih banyak sekolah mengajar bahasa Melayu sebagai bahasa ketiga. Saya harap lebih ramai pelajar mempelajarinya.

Masyarakat Melayu telah mencapai kemajuan besar. Anda sedang menuju ke arah mencapai matlamat 90 peratus kohort pelajar Melayu sampai ke pos-menengah. Sekarang pun, sudah ramai anak Melayu mempelajari sains hayat dan multi-media. Kian ramai menjadi karyawan dan eksekutif yang berkeyakinan dan berjaya.

Satu kejayaan besar anda ialah usaha menangani salahguna dadah. Ia pernah menjadi satu masalah serius. Sepuluh tahun lalu, lebih 3,000 penagih dadah Melayu ditangkap. Ini lebih dari separuh jumlah penagih yang ditangkap. Kini, jumlahnya jauh merosot. Dalam enam bulan pertama tahun ini, hanya 40 penagih Melayu ditangkap.

Ini adalah satu pencapaian cemerlang. Saya ucapkan syabas kepada anda semua, terutama para relawan NCADA atau Majlis Mencegah Salahguna Dadah, SANA, Mendaki dan AMP, Pertapis, Jamiyah, Taman Bacaan, dan lain-lain yang telah banyak membantu memulihkan penagih.

Saya rasa perlu menyebut tentang Almarhum Cikgu Harun Ghani. Beliau menjadikan usaha ini sebagai misi peribadi dan memerangi salahguna dadah dengan seluruh jiwa raganya. Tekadnya yang kuat dan keikhlasan beliau, telah menginsafkan ramai penagih. Ia adalah satu sumbangan besar kepada kejayaan kita memerangi salahguna dadah. Pemergian beliau adalah satu kehilangan kepada Singapura. Saya yakin anda bersetuju jika saya katakan bahawa Cikgu Harun harus menjadi teladan kepada generasi muda untuk menumpukan perhatian dan tenaga mereka dalam meningkatkan taraf masyarakat dan negara!

Kita berjaya memerangi salahguna dadah kerana kita membawa perkara itu ke tengah, membincangkannya secara terbuka, menerima hakikat adanya masalah yang perlu diselesaikan, dan menggembleng seluruh masyarakat untuk mengatasinya. Begitulah juga cara kita dalam mengatasi masalah prestasi pendidikan anak-anak Melayu. Saya sedar, sebilangan orang Melayu kurang selesa dengan pendekatan ini kerana masalah mereka menjadi perhatian. Tetapi jika kita tidak ketengahkan, mungkin masalah itu tidak selesai hingga sekarang.

Petang ini, saya ingin mengajak anda sama-sama meneliti satu lagi isu yang juga sukar dan sensitif. Kebanyakan warga Singapura dapat mengharungi perubahan. Namun, ada sebilangan kecil yang ketinggalan dan dalam kesulitan. Mereka tiada kemahiran atau kerja tetap. Mereka berhenti sekolah sebelum tamat pendidikan menengah. Ramai yang menganggur, dan mempunyai anak-anak kecil yang tidak mampu mereka tanggung.

Dalam sesi bertemu rakyat, para Anggota Parlimen sering bertemu mereka. Mereka banyak bermasalah. Keluarga mereka tidak mantap kerana ditinggalkan bapa atau bapanya di penjara. Ibu terpaksa membesarkan anak-anak kecil secara sendirian. Mereka tidak mampu menyara hidup atau membayar bil air dan elektrik. Anak-anak mereka lemah dalam pelajaran di sekolah. Lingkaran musibah ini mungkin bersambung ke generasi selanjutnya.

Ini bukanlah satu masalah baru, dan ia tidak tertumpu pada masyarakat Melayu sahaja. Tetapi ia menjejas masyarakat Melayu lebih daripada India atau Cina kerana lebih ramai pasangan Melayu yang berkahwin muda dan bercerai awal. Misalnya, pada tahun lalu, 18 peratus pengantin perempuan Melayu berusia di bawah 21 tahun, berbanding dengan 9 peratus perempuan India dan 3 peratus perempuan Cina.

Kita perlu bantu keluarga-keluarga ini supaya dapat berdikari, bukan hanya dengan bantuan wang, tetapi lebih penting memberi bimbingan untuk mengubah sikap dan cara hidup mereka. Badan-badan Melayu ada banyak program yang dapat membantu keluarga-keluarga ini bebas dari lingkaran musibah. Para pemimpin masyarakat dan Anggota Parlimen, termasuk Anggota Parlimen Melayu, membantu dengan sumber dari Majlis Pembangunan Masyarakat (iaitu CDC) dan program ComCare. Mereka telah mengumpul dana untuk membantu pelajar-pelajar yang tercicir mendapatkan kemahiran asas agar lebih mudah mendapatkan kerja.

Saya telah berbincang dengan Menteri Yaacob Ibrahim dan Anggota Parlimen Melayu. Mereka amat prihatin dan telah membincangkan masalah ini dengan pemimpin-pemimpin Melayu yang lain. Mereka akur perlunya usaha lebih sepadu untuk menangani cabaran ini. Mereka meminta saya ketengahkan perkara ini supaya kita dapat melangkah ke depan dalam menghuraikannya.

Forum Pemimpin Masyarakat akan diadakan lagi November ini. Saya menggesa para peserta meneliti fakta, menganalisa masalah itu, dan melakar program mengatasinya. Kehidupan dan masa depan muda mudi ini, serta anak-anak mereka, agak terancam. Seluruh masyarakat Melayu perlu berganding bahu. Pastikan agar anak-anak lelaki dan gadis kita terus bersekolah hingga mendapat sijil kelulusan. Ini akan memberi mereka masa depan yang lebih cerah. Pemerintah akan memberi sokongan penuh. Tetapi hanya dengan pelibatan peribadi dan campur tangan pemimpin masyarakat, barulah kita boleh mengubah keadaan, sebagaimana kita mengatasi masalah dadah.

Kita harus melihat masalah ini di sebalik banyak kejayaan dan pencapaian masyarakat Melayu. Ia tidak harus melemahkan semangat kita. Saya yakin masyarakat Melayu boleh mengatasinya, seperti mana anda berjaya meningkatkan taraf pendidikan anak-anak Melayu dan mengurangkan masalah dadah. Kita boleh dan akan membantu golongan yang memerlukan di kalangan semua kaum, termasuk orang Melayu, untuk meningkat maju. Kita juga harus membuka peluang kepada yang berkebolehan dan bertenaga untuk maju lebih jauh.

Selain isu masyarakat anda sendiri, warga Melayu Singapura juga mempunyai keprihatinan yang sama seperti rakyat Singapura yang lain. Kita mesti membentuk semula Singapura – ekonomi kita, sistem pendidikan kita, budaya perkhidmatan kita, dan membina kota bertaraf dunia yang dinamik. Ini memerlukan gabungan daya usaha seluruh negara.

Saya yakin akan masa depan kita, dan masa depan masyarakat Melayu/Islam. Asia berada dalam keadaan baik. Kita menjalin hubungan lebih erat dengan Timur Tengah, terutama Negara-negara Teluk. Pengetahuan bahasa Melayu dan budaya Islam dapat membantu kita untuk menjalin persahabatan dan berurus niaga dengan rantau ini.

Orang Melayu Singapura harus mengasah kemahiran dan pengalaman untuk menyertai sepenuhnya usaha menangani cabaran Singapura, dan memanfaatkan berbagai peluang di sekeliling kita. Inilah caranya mencapai wawasan Masyarakat Cemerlang kita. Marilah kita bekerjasama untuk meningkatkan Singapura dan masyarakat Melayu ke tahap selanjutnya.