Pergi ke kandungan

Syair Raden Menteri dan Kani Tambuhan

Daripada Wikisumber
  • Serta terpandang taman angsuka * baharulah hati baginda nan suka

Hairan melihat kuntum di taman * serindit pun datang berteguran

Raden pun segera mengambil sumpitan * menyumpit burung yang kelihatan

Hingga segenap pohon rambutan * terbangnya datang berlompatan

  • Setengah di pohon nagasari * terbanglah ia pergi mari

Selaku men[d]engarkan Raden Menteri * itupu[n] berjalan meng[h]ampiri

  • Olehnya Raden lalu disumpit * kena seekor burung serindit

Jatuh ke pohon cempaka berapat * ke dalam pagar kota yang berikat

  • Burung pun jatuh dengan perlahan * hinggap di tenun Kani Tambuhan

Berdatang sembah Kani Tadahan * tunggu jawab tangkap perlahan

  • Seperti disuruh orang ke mari * serindit nan datang menyera[h]kan diri

Kani Tambuhan bangkit seraya berdiri * hendak ditangkap burung pun lari

  • Raden bertitah kepada Wira Dandani * kakak wai ke mana burung nan tadi

Hendaklah tangkap bawa ke mari * Wira Dandani menyembah lalu pergi

Jikalau ke dalam kota yang tinggi * betapalah tipu bicara lagi

  • Berjalanlah ia pergi seorang * lantas ke pintu berkerubang

Ditentangnya dari celah lubang * dilihatnya burung adalah terbang

  • Raden pun segera pergi ke situ * menengok kepada kota batu

Katanya kekanda siapakah itu * lakunya seperti anak peratu

  • Serta terpandang hatinya berdebar * lakunya tidak lagi tersabar

Hairan tercengang tiada terkata * lalilah dengan pemandangan mata

  • Wira Dandani tersenyum manis gemar (gemuruh?) rasanya * tahulah akan hati taulannya

Dilihatnya Raden hairan tercengang * berdatang sembah dari belakang

Pengiranya wai baik berangkat pulang * janganlah memandang kepada anak orang

  • Patik nan sudah mendengar warta * puteri tawanan konon semata

Janganlah kiranya tuanku hampiri * karena dikawal Paduka Suri

Jikalau sudah tuanku beristeri * masakan tidak baginda beri

Raden bertitah durja berseri * tidaklah aku mahu kembali

Penungku pintu suruh ke mari * aku nan hendak bertaruh sendiri

Wira dandani menyembah lalu pergi * katanya paman segeralah mari

Titah dipanggil Raden Menteri * ia pun takut datang berlari

  • Serta datang duduk menyembah * menundukkan kepala lalu ke tanah

Raden tersenyum seraya bertitah * paman wai buka pintu kota

Berdatang sembah penunggu pintu * patik nan takut dilarangkan Ratu

Disuruh kawali kota batu * seorang pun jangan diberi ke situ

Raden bertitah dengan murka * merah padam warnanya muka

Hendaklah segera engkau buka * aku nan masuk seorang juga

Jikalau tak mahu engkau sanggah * sekarang kucincang kepalamu luluh

Penunggu pintu terlalu takut * tubuhnya gentar tulang gemertak

Sepatah pun tidak dia menyahut * kancing pintu segera dipahat

Dibukanya pintu oleh si paman * baharulah hati baginda nyaman

Melangkah masuk ke dalam taman * di luar pintu ditinggalkan teman

Tatkala masuk Raden Menteri * dilihat oleh sekelian puteri

Sekeliannya itu habislah lari * tinggallah Kani Tambuhan seorang diri

Raden pun datang dari belakang * dicapainya torak tangan dipegang

Kani Tambuhan terkejut serta memandang * di dalam hatinya siapalah orang

Hendaklah lari ke balik kota * Raden tersenyum manis berkata

Aduh emasku bidadari * ke mana tuan hendak lari

Cahaya mata wajah berseri * jiwaku jangan takut dan ngeri

Sebab pun kekanda datang ke mari * hendak bertanya tuan sendiri

Di manakah tempat desa negeri * betapa hal tuan ke mari

Ya wai apa namanya tuan * kain nan apa nama tenunan

Menangis tunduk Kani Tambuhan * hatinya gundah tidak berketahuan

Berdatang sembah nyaman perlahan * suaranya manis memberi rawan

Namanya patik Kani Tambuhan * kerinsing wayang nama tenunan

Dititahkan oleh Paduka Suri * sekelian bertenun sehari-hari

Akan pati nan tuanku beristeri * ke Banjar Kulan meminang puteri

Raden menyahut sambil tertawa * ke Banjar Kulan tidaklah sahaya

Dipeluknya leher seraya dibujuk * tuanlah nyawa durja yang elok

Tuanku seperti bidadari * hilang di mana kekanda cahari

Dicium oleh Raden Menteri * ia pun menangis meng[h]empaskan diri

Pada fikir segala perputeri * pada rasanya terlalu ngeri

Sebab perbuatan Raden Menteri * murkalah kelak Permaisuri

    • Lalu bertitah Permaisuri * pelebaya panggil ia ke mari

Pelebaya pun datang meng[h]ampiri * lalu bersabda baginda sendiri

  • Bawa olehmu si Tambuhan * buangkan ia ke dalam hutan

Ia berkata perlahan-lahan * padamkan jangan diberi kelihatan

  • Seperti pasanku jangan berubah * pelebaya pun undur lalu menyembah

Segala yang mengadap hatinya berdebar * mukanya pucat tubuhnya gementar

  • Fikirlah ia di dalam hati * Permaisuri ini jahat pekerti

Budinya najis seperti syaitan * marahnya tidak dapat ditahan

Segala perputeri belas kasihan * melihat laku Kani Tambuhan

  • Bertitah pula Permaisuri * bawa si Tambuhan segera pergi

Jikalau mendapatkan anak Menteri * suruhkan anakku bangat ke mari

  • Lalulah bangkit Kani Tambuhan * turun berjalan perlahan-lahan

Diiringkan penglipur Kani Tadahan * pelebaya berjalan dari hadapan

Memandang laku dia berjalan * seperti bulan dirapat awan

  • Tatkala bulan purnama raya * mangkin ditontong mangkin bercahaya

Segala yang melihat terlalu sayang * Kani Tambuhan tidak menoleh ke belakang

  • Setelah sampai ke luar pintu * tersandar sedikit kaki di situ

Berfikirlah ia di dalam hatinya * sudahlah sampai gerangan janjinya

Terkenangkan kasih suaminya * lalu bersedar akan dirinya

  • Tiadalah rupanya aku bertemu * dengan kekanda Raden Inu

Air matanya juga bercucuran * temannya kedua terlalu kasihan

Pelebaya berkata pada Kani Tambuhan * bangat sedikit tuanku berjalan

Masuk ke hutan perburuan * supaya segera bertemu tuan

  • Setelah sampai ke tepi sungai * pantainya indah terlalu permai

Letih lesu badannya lalai * pada penglipur kedua tangan menyapai

  • Hatinya sangat bersayu-sayu * seperti dengung dipuput bayu

Berhenti seketika di bawah pohon * rasanya tidak lagi terjalan

Pelebaya berkata kepada perempuan * gagahi apalah perlahan-lahan

Sedikit lagi melalui hutan * bertemulah tempat perburuan

  • Kani Tambuhan berjalan pula * serta digagahi kaki dihela

Mendengarkan bunyi burung baldu * makin bertambah hatinya pilu

Terkenangkan kata Raden Inu * tatkala membujuk sambil beradu

  • Ada suatu batu yang rata * terhampar rupanya seperti kota

Pelebaya berpaling seraya berkata * di sinilah tuanku perhentian kita

  • Naiklah duduk Kani Tambuhan * berjuntai kaki dengan kelelahan

Kata penglipur Kani Tadahan * perasaan patik sangat bersalahan

Tempat nan semak tiada berketahuan * tiada bekas orang berjalan

Bertambah gundah hati Kani Tambuhan * jejam durja berhamburan

  • Suatu pun tidak apa katanya * hanya juga menyapu air matanya

Lalu menangis kedua hambanya * hilanglah akal budi bicaranya

  • Kani Tambuhan berkata sambil berdiri * paman wai mengapa kita ke mari

Karena sudah tinggi hari * jauhkah lagi Raden Menteri

  • Pelebaya menyahut perlahan-lahan * di sinilah tuanku perhentian

Patik dititahkan Ratu Perempuan * membawa tuanku ke dalam hutan

  • Disuruh bunuh oleh Permaisuri * karena duduk dengan Raden Menteri

Ke Banjar Kulan meminang puteri * kalau tak mahu Raden beristeri

      • Mendengar kata Kani Tambuhan * pelebaya sangat belas dan kasihan

Berdatang sembah dengan perlahan * tuanku ampuni barang kesalahan

Apatah daya patik nan tuan * takut disumpahi Ratu Perempuan

Hari ini juga disuruh padamkan * tidaklah dapat patik salahkan

  • Jika bertemu dengan kakak Menteri * sampaikan sembah ke bawah Duli

Selamat sempurna tuanku beristeri * kekallah tuanku di dalam negeri

  • Setelah didengar Kani Tadahan * segala pasan Kani Tambuhan

Hatinya belas sangatlah kasihan * menangis tunduk di atas ribaan

Air matanya juga berhamburan * basahlah kain Kani Tambuhan

  • Dari kecil patik pelihara * tatkala di dalam Negeri Tanjung Pura

Sedikit tidak diberi cedera * sama-sama merasai sengsara

  • Niatnya patik dari selama * hendaklah mati bersama-sama

Mangkin dikenang bertambah pilu * hancur luluh rasa hatiku

Paman wai bunuh beta dahulu * tiada terpandang hal tuanku

  • Bertitah pula Raden Puteri * kerjakan titah Permaisuri

Mendengar kata demikian ini * pelebaya terlalu amat sayangi

  • Tiada akan bunuh pada perasaan * meng[h]unus keris lalu disarungkan

Keris simpan matanya panjang * ditikamnya dada terus ke belakang

  • Merasai tikam Kani Tambuhan * rebahlah ia perlahan-lahan