Pergi ke kandungan

Surat penduduk Syam yang beragama Kristian kepada Khalifah Umar

Daripada Wikisumber

Kami mendengar 'Abd al-Rahman ibn Ghanam (meninggal dunia pada 78H/697M) berkata seperti berikut: Apabila Umar ibn al-Khattab r.a menawarkan keamanan kepada penganut Kristian Syam, kami menulis kepada beliau seperti berikut:

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Ini ialah surat kepada hamba Allah, Umar, Amir al-Mukminin, daripada orang-orang Kristian bandar sekian-sekian. Apabila tuan datang terhadap kami, kami memohon pada tuan akan jaminan keamanan bagi diri kami sendiri, keturunan kami, harta kami dan orang-orang dalam masyarakat kami, dan kami melaksanakan kewajipan-kewajipan berikut terhadap tuan:

Kami tidak akan membina biara-biara atau gereja-gereja baru di dalam bandar-bandar kami atau di dalam kejiranan mereka, mahupun membaiki semua itu yang menjadi puing-puing atau yang terletak di dalam kawasan kediaman orang Islam siang dan malam.

Kami akan membiarkan pintu pagar kami terbuka kepada orang yang lalu lalang dan musafir. Kami akan memberi tumpang dan penginapan selama tiga hari kepada semua orang Islam yang melintasi jalan kami.

Kami tidak akan memberi perlindungan kepada sebarang perisik di dalam gereja kami atau rumah kediaman kami, atau memberi peluang kepadanya atau menyembunyikannya daripada orang Islam.

Kami tidak akan mengajar al-Quran kepada anak-anak kami.

Kami tidak akan memperlihatkan agama kami secara terbuka atau membawa sesiapa sahaja ke dalamnya. Kami tidak akan menghalang kaum keluarga kami daripada memeluk Islam jika mereka mahukannya.

Kami akan menghormati orang Islam, dan kami akan bangun daripada tempat duduk kami apabila mereka ingin duduk.

Kami tidak akan cuba menyerupai orang Islam dengan meniru sebarang pakaian mereka, kopiah, serban, sepatu atau dandanan rambut. Kami tidak akan bercakap sebagaimana mereka bercakap, atau mengguna kuniyah mereka.

Kami tidak akan menunggang di atas pelana, kami juga tidak akan mengenakan pedang pada diri kami atau memiliki sebarang senjata atau mengarahkan orang-orang kami untuk membawa senjata-senjata itu.

Kami tidak akan tulisan Arab pada cap-cap kami.

Kami tidak akan menjual minuman yang ditapai.

Kami akan mengepit bahagian hadapan kepala kami.

Kami akan mengenakan pakaian menurut cara yang sama di mana sahaja kami berada, kami akan mengikat zunar di keliling pinggang kami.

Kami tidak akan mempamerkan salib-salib dan buku-buku agama kami di jalan-jalan dan pasar-pasar orang Islam. Kami hanya akan menggunakan anak loceng di dalam gereja kami secara amat perlahan-lahan. Kami tidak akan meninggikan suara kami semasa mengiringi jenazah kami. Kami tidak akan menyalakan pelita atau lilin (untuk upacara keagamaan) di jalan-jalan orang Islam atau di pasar-pasar mereka. Kami tidak akan mengebumikan jenazah kami berhampiran kubur orang Islam.

Kami tidak akan mengambil hamba yang telah diperuntukkan kepada orang Islam.

Kami tidak akan membina rumah lebih tinggi daripada rumah orang Islam.

Apabila saya membawa surat tersebut kepada Umar, beliau menambah satu frasa: Kami tidak akan menyerang orang Islam.

Kami menerima syarat-syarat ini untuk diri kami dan orang-orang dalam komuniti kami, dan sebagai balasannya kami diberi jaminan keselamatan.

Sekiranya kami melanggar janji-janji ini dalam apa cara sekalipun yang telah kami sendiri menjaminnya, kami akan kehilangan perjanjian kita (zimmah) dan kami bersedia untuk menerima hukuman kerana kedegilan dan hasutan.

Umar ibn al-Khattab menjawab: Tandatangan apa yang diminta mereka, namun tambahkan dua klausa dan kuatkuasakannya di samping apa yang telah mereka janjikan. Klausa-klausa itu ialah: "Mereka tidak akan membeli sesiapa sahaja yang telah menjadi tawanan orang Islam," dan "sesiapa yang menyerang orang Islam dengan sengaja akan kehilangan perlindungan piagam ini."

(Siraj al-Muluk oleh al-Turtushi, ms. 229-230)