Surat Sultan Johor dan Pahang kepada Francis Light
Iaitu daripada Paduka Seri Sultan Mahmud Ri'ayat Shah yang mempunyai takhta kerajaan Negeri Johor dan Pahang dengan segala daerah takluknya....Dan jikalau menjadi patut kepada sahabat kita minta sampaikan kepada Tuan Jendral yang di Benggala surat kita ini menyatakan bahawa adalah Kompeni Wolanda melanggar Riau hendak mengalahkan orang Bugis dan hendak mengangkat raja Melayu. Maka dengan takdir Allah Ta'ala atas hamba-Nya maka orang Bugis pun alah dilanggar oleh Jakop Pieter Van Braam Komandan. Maka orang Bugis pun habis lari undur dari dalam Riau itu. Maka tinggallah kita segala orang Melayu di dalam Riau. Maka diperbuatlah perjanjian oleh Van Braam dengan kita dan segala raja-raja yang di dalam Riau bersurat-suratan antara keduanya. Setelah sudah putus wa'ad perjanjian maka ia pun pulang ke Betawi. Kemudian daripada itu maka datanglah orang Wolanda lain yang bernama Peter Rody duduk di dalam Riau. Maka segala perjanjian kita dengan segala raja-raja itupun diubahnya. Maka di dalam antara kita itu orang Ilanun pun datang ke Riau. Dengan perintah Allah Negeri Riau pun habislah rosak dan orang Wolanda pun lari pulang ke Melaka. Maka itulah kita menyatakan kepada sahabat kita permintaan kita boleh menyampaikan kepada Tuan Jendral yang di Benggala jikalau ada kita punya salah kepada Kompeni Wolanda melainkan Tuan Jendral salahkan kita dan jikalau ada kebenaran kita melainkan kita minta tolong kepada Tuan Jendral diberikan kita atas jalan yang benar karena tiada tempat peng[h]arapan kita lagi melainkan kepada Kompeni Inggeris karena kepada zaman ini Kompeni Inggerislah yang masyhur dari negeri atas angin sampai ke negeri bawah angin ini. Ialah yang boleh menolongi segala orang yang teraniaya. Dan sebagai lagi seperti kita pun telah sampailah kepada Datu kita Sultan Terengganu maka kita pun serahkan bicara diri kita itu kepada Datu kita baik kepada Kompeni Inggeris baik kepada Kompeni Wolanda mahu kepada baiknya dan mahu kepada jahatnya. Kemudian daripada itu suatu pun tiada alamatul ikhlas daripada kita akan sahabat kita hanyalah doa daripada tiap-tiap hari malam dan siang.
Tersurat kepada dua puluh sembilan hari bulan al-Muharram sanah 1202(H/1787M).