Pergi ke kandungan

Perlembagaan Persekutuan Malaysia/Am dan Pelbagai

Daripada Wikisumber

Perkara 152. Bahasa kebangsaan.

(1) Bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah dalam tulisan yang diperuntukkan melalui undang-undang oleh Parlimen:

Dengan syarat bahawa—

(a) tiada seorang pun boleh dilarang atau dihalang daripada menggunakan (selain bagi maksud rasmi), atau daripada mengajarkan atau belajar, apa-apa bahasa lain; dan
(b) tiada apa-apa jua dalam Fasal ini boleh menjejaskan hak Kerajaan Persekutuan atau hak mana-mana Kerajaan Negeri untuk memelihara dan meneruskan penggunaan dan pengajian bahasa mana-mana kaum lain di dalam Persekutuan.

(2) Walau apa pun peruntukan Fasal (1), selama tempoh sepuluh tahun selepas Hari Merdeka, dan selepas itu sehingga diperuntukkan selainnya oleh Parlimen, bahasa Inggeris boleh digunakan di dalam kedua-dua Majlis Parlimen, di dalam Dewan Undangan tiap-tiap Negeri, dan bagi segala maksud rasmi yang lain.

(3) Walau apa pun peruntukan Fasal (1), selama tempoh sepuluh tahun selepas Hari Merdeka, dan selepas itu sehingga diperuntukkan selainnya oleh Parlimen, teks sahih—

(a) segala Rang Undang-Undang yang hendak dibawa atau pindaan kepadanya yang hendak dicadangkan di dalam mana-mana satu Majlis Parlimen; dan
(b) segala Akta Parlimen dan segala perundangan subsidiari yang dikeluarkan oleh Kerajaan Persekutuan,

hendaklah dalam bahasa Inggeris.

(4) Walau apa pun peruntukan Fasal (1), selama tempoh sepuluh tahun selepas Hari Merdeka, dan selepas itu sehingga diperuntukkan selainnya oleh Parlimen, segala prosiding di dalam Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Tinggi hendaklah dalam bahasa Inggeris:

Dengan syarat bahawa, jika Mahkamah dan peguam bagi kedua-dua pihak bersetuju, keterangan yang diambil dalam bahasa yang digunakan oleh saksi tidak perlu diterjemahkan ke dalam atau direkodkan dalam bahasa Inggeris.

(5) Walau apa pun peruntukan Fasal (1), sehingga diperuntukkan selainnya oleh Parlimen, segala prosiding di dalam mahkamah rendah, selain pengambilan keterangan, hendaklah dalam bahasa Inggeris.

(6) Dalam Perkara ini, "maksud rasmi" ertinya apa-apa maksud Kerajaan, sama ada Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri, dan termasuklah apa-apa maksud sesuatu pihak berkuasa awam.

Perkara 153. Perizaban kuota berkenaan dengan perkhidmatan, permit, dsb. bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak.

(1) Menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan Perkara ini.

(2) Walau apa pun apa-apa jua dalam Perlembagaan ini, tetapi tertakluk kepada peruntukan Perkara 40 dan peruntukan Perkara ini, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini dan undang-undang persekutuan mengikut apa-apa cara yang perlu untuk meindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan untuk memastikan perizaban bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak apa-apa perkadaran yang difikirkan munasabah oleh Yang di-Pertuan Agong daripada jawatan dalam perkhidmatan awam (selain perkhidmatan awam sesuatu Negeri) dan daripada biasiswa, danasiswa dan keistimewaan pendidikan atau latihan yang seumpamanya atau kemudahan khas lain yang diberikan atau diadakan oleh Kerajaan Persekutuan dan, apabila apa-apa permit atau lesen dikehendaki oleh undang-undang persekutuan bagi mengendalikan apa-apa pertukangan atau perniagaan, maka, tertakluk kepada peruntukan undang-undang itu dan Perkara ini, daripada permit dan lesen itu.

(3) Yang di-Pertuan Agong boleh, bagi memastikan, mengikut Fasal (2), perizaban bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak jawatan-jawatan dalam perkhidmatan awam dan biasiswa, danasiswa dan keistimewaan pendidikan atau latihan atau kemudahan khas lain, memberikan apa-apa arahan am yang dikehendaki bagi maksud itu kepada mana-mana Suruhanjaya yang baginya Bahagian X terpakai atau kepada mana-mana pihak berkuasa yang dipertanggungkan dengan tanggungjawab bagi pemberian biasiswa, danasiswa atau keistimewaan pendidikan atau latihan atau kemudahan khas lain itu; dan Suruhanjaya atau pihak berkuasa itu hendaklah mematuhi arahan itu dengan sewajarnya.

(4) Pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini dan undang-undang persekutuan mengikut Fasal (1) hingga (3) Yang di-Pertuan Agong tidak boleh melucutkan mana-mana orang daripada apa-apa jawatan awam yang dipegang olehnya atau daripada terus mendapat biasiswa, danasiswa atau keistimewaan pendidikan atau latihan atau kemudahan khas lain yang dinikmati olehnya.

(5) Perkara ini tidaklah mengurangkan peruntukan Perkara 136.

(6) Jika menurut undang-undang persekutuan yang sedia ada suatu permit atau lesen dikehendaki bagi mengendalikan apa-apa pertukangan atau perniagaan, maka Yang di-Pertuan Agong boleh menjalankan fungsinya di bawah undang-undang itu mengikut apa-apa cara, atau memberikan apa-apa arahan am kepada mana-mana pihak berkuasa yang dipertanggungkan di bawah undang-undang itu dengan pemberian permit atau lesen itu, sebagaimana yang dikehendaki untuk memastikan perizaban apa-apa perkadaran daripada permit atau lesen itu bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak sebagaimana yang difikirkan munasabah oleh Yang di-Pertuan Agong; dan pihak berkuasa itu hendaklaah mematuhi arahan itu dengan sewajarnya.

(7) Tiada apa-apa jua dalam Perkara ini boleh berkuat kuasa untuk melucutkan atau memberi kuasa supaya dilucutkan apa-apa hak, keistimewaan, permit atau lesen mana-mana orang, yang terakru kepada orang itu atau yang dinikmati atau dipegang oleh orang itu atau untuk memberi kuasa untuk menolak pembaharuan mana-mana permit atau lesen mana-mana orang atau untuk menolak pemberian apa-apa permit atau lesen kepada waris, pengganti atau penerima serah hak seseorang jika pembaharuan atau pemberian itu mungkin semunasabahnya dijangkakan mengikut perjalanan biasa keadaan.

(8) Walau apa pun apa-apa jua dalam Perlembagaan ini, jika menurut mana-mana undang-undang persekutuan apa-apa permit atau lesen dikehendaki bagi mengendalikan apa-apa pertukangan atau perniagaan, maka undang-undang itu boleh membuat peruntukan bagi perizaban apa-apa perkadaran daripada permit atau lesen itu bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak; tetapi tiada undang-undang sedemikian boleh, bagi maksud memastikan perizaban itu—

(a) melucutkan atau memberi kuasa supaya dilucutkan apa-apa hak, keistimewaan, permit atau lesen mana-mana orang, yang terakru kepada orang itu atau yang dinikmati atau dipegang oleh orang itu; atau
(b) memberi kuasa untuk menolak pembaharuan mana-mana permit atau lesen mana-manaa orang atau untuk menolak pemberian apa-apa permit atau lesen kepada waris, pengganti atau penerima serah hak mana-mana orang jika pembaharuan atau pemberian itu mengikut peruntukan yang lain dalam undang-undang itu mungkin semunasabahnya dijangkakan mengikut perjalanan biasa keadaan, atau menghalang mana-mana orang daripada memindahkan hakmilik bersama dengan perniagaannya apa-apa lesen yang boleh dipindahkan hakmiliknya untuk mengendalikan perniagaan itu; atau
(c) jika tiada permit atau lesen dahuluya dikehendaki bagi mengendalikan pertukangan atau perniagaan itu, memberi kuasa untuk menolak pemberian permit atau lesen kepada mana-mana orang bagi mengendalikan apa-apa pertukangan atau perniagaan yang telah dijalankan olehnya secara bona fide sebaik sebelum undang-undang itu mula berkuat kuasa, atau memberi kuasa untuk menolak pembaharuan kemudiannya mana-mana permit atau lesen mana-mana orang, atau untuk menolak pemberian mana-mana permit atau lesen sedemikian kepada waris, pengganti atau penerima serah hak mana-mana orang itu jika, mengikut peruntukan yang lain dalam undang-undang itu, pembaharuan atau pemberian itu mungkin semunasabahnya dijangkakan mengikut perjalanan biasa keadaan.

(8A) Walau apa pun apa-apa jua dalam Perlembagaan ini, jika di dalam mana-mana Universiti, Kolej dan institusi pendidikan lain yang memberikan pendidikan selepas Malaysian Certificate of Education atau yang setaraf dengannya, bilangan tempat yang ditawarkan oleh pihak berkuasa yang bertanggungjawab bagi pengurusan Universiti, Kolej atau institusi pendidikan itu kepada calon-calon bagi apa-apa kursus pengajian adalah kurang daripada bilangan calon yang layak mendapat tempat-tempat itu, maka adalah sah bagi Yang di-Pertuan Agong menurut kuasa Perkara ini memberikan apa-apa arahan yang perlu kepada pihak berkuasa itu untuk memastikan perizaban apa-apa perkadaran daripada tempat-tempat itu bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak sebagaimana yang difikirkan munasabah oleh Yang di-Pertuan Agong; dan pihak berkuasa itu hendaklah mematuhi arahan itu dengan sewajarnya.

(9) Tiada apa-apa jua dalam Perkara ini boleh memberi Parlimen kuasa untuk menyekat perniagaan atau pertukangan semata-mata bagi maksud perizaban bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak.

(9A) Dalam Perkara ini ungkapan "anak negeri" berhubung dengan Negeri Sabah atau Sarawak hendaklah mempunyai erti yang diberikan kepadanya dalam Perkara 161A.

(10) Perlembagaan Negeri yang ber-Raja boleh membuat peruntukan yang bersamaan (dengan ubah suaian yang perlu) dengan peruntukan Perkara ini.

Perkara 154. Ibu kota persekutuan.

(1) Sehingga diputuskan selainnya oleh Parlimen, perbandaran Kuala Lumpur ialah ibu kota persekutuan.

(2) Walau apa pun apa-apa jua dalam Bahagian VI, Parlimen mempunyai kuasa khusus untuk membuat undang-undang mengenai sempadan ibu kota persekutuan.

(3) (Dimansuhkan).

Perkara 155. Persalingan Komanwel.

(1) Jika undang-undang yang berkuat kuasa di mana-mana bahagian lain Komanwel memberikan apa-apa hak atau keistimewaan kepada warganegara Persekutuan maka adalah sah bagi Parlimen memberikan hak atau keistimewaan yang seumpamanya kepada warganegara dari bahagian Komanwel itu yang bukan warganegara Persekutuan, walau apa pun apa-apa jua dalam Perlembagaan ini.

(2) Sebutan dalam Fasal (1) mengenai warganegara sesuatu bahagian Komanwel, berhubung dengan United Kingdom atau mana-mana bahagian Komanwel yang lain yang bukan suatu negara Komanwel atau bukan suatu wilayah yang ditadbirkan oleh Kerajaan sesuatu negara Komanwel selain United Kingdom, hendaklah ditafsirkan sebagai sebutan mengenai warganegara United Kingdom dan Tanah-Tanah Jajahan.

(3) Perkara ini terpakai berhubung dengan Republik Ireland sebagaimana Perkara ini terpakai berhubung dengan sesuatu negara komanwel.

Perkara 156. Sumbangan bagi membantu kadar-kadar berkenaan dengan harta persekutuan dan Negeri.

Jika tanah, bangunan, atau hereditamen diduduki bagi maksud awam oleh atau bagi pihak Persekutuan, sesuatu Negeri atau sesuatu pihak berkuasa awam, maka Persekutuan, Negeri atau pihak berkuasa awam itu tidaklah bertanggungan membayar kadar-kadar tempatan berkenaan dengannya tetapi bagi membantu pembayaran kadar-kadar itu hendaklah memberikan apa-apa sumbangan berkenaan dengannya sebagaimana yang dipersetujui antara Persekutuan, Negeri atau pihak berkuasa awam itu, mengikut mana-mana yang berkenaan, dengan pihak berkuasa yang melevikan kadar-kadar itu atau, jika tidak ada persetujuan, sebagaimana yang diputuskan oleh suatu tribunal yang terdiri daripada pengerusi Tribunal Tanah yang ditubuhkan di bawah Perkara 87, yang hendaklah mempengerusikannya, dan dua orang anggota lain dengan setiap satu pihak yang berkenaan itu melantik seorang anggota.

Perkara 157. Pewakilan fungsi Negeri kepada suatu Negeri lain.

Tertakluk kepada apa-apa peruntukan undang-undang Negeri, perkiraan boleh dibuat antara mana-mana dua Negeri supaya pihak-pihak berkuasa satu Negeri melaksanakan apa-apa fungsi bagi pihak-pihak berkuasa Negeri yang satu lagi, dan perkiraan itu boleh mengadakan peruntukan bagi membuat pembayaran berkenaan dengan apa-apa kos yang dilakukan di bawah perkiraan itu.

Perkara 158. (Perkiraan dengan Brunei - Dimansuhkan)

(Dimansuhkan).

Perkara 159. Pindaan Perlembagaan.

(1) Tertakluk kepada peruntukan yang berikut dalam Perkara ini dan kepada Perkara 161E, peruntukan Perlembagaan ini boleh dipinda melalui undang-undang persekutuan.

(2) (Dimansuhkan).

(3) Sesuatu Rang Undang-Undang bagi membuat apa-apa pindaan kepada Perlembagaan (selain pindaan yang dikecualikan daripada peruntukan Fasal ini) dan sesuatu Rang Undang-Undang bagi membuat apa-apa pindaan kepada sesuatu undang-undang yang diluluskan di bawah Fasal (4) Perkara 10 tidaklah boleh diluluskan di dalam mana-mana satu Majlis Parlimen melainkan jika Rang Undang-Undang itu telah disokong pada Bacaan Kali Kedua dan Kali Ketiga dengan undi sebanyak tidak kurang daripada dua pertiga daripada jumlah bilangan ahli Majlis Parlimen itu.

(4) Pindaan-pindaan yang berikut dikecualikan daripada peruntukan Fasal (3), iaitu;

(a) apa-apa pindaan kepada Bahagian III Jadual Kedua atau kepada Jadual Keenam atau Jadual Ketujuh;
(b) apa-apa pindaan yang bersampingan dengan atau berbangkit daripada penjalanan apa-apa kuasa untuk membuat undang-undang yang diberikan kepada Parlimen oleh mana-mana peruntukan Perlembagaan ini selain Perkara 74 dan 76;
(bb) tertakluk kepada Perkara 161E apa-apa pindaan yang dibuat bagi atau berkaitan dengan penerimaan masuk mana-mana Negeri ke dalam Persekutuan atau pergabungannya dengan Negeri-Negeri Persekutuan, atau apa-apa ubah suaian yang dibuat tentang pemakaian Perlembagaan ini bagi sesuatu Negeri yang diterima masuk atau bergabung sedemikian sebelum itu;
(c) apa-apa pindaan yang berbangkit daripada sesuatu pindaan yang dibuat di bawah perenggan (a).

(5) Sesuatu undang-undang yang membuat sesuatu pindaan kepada Fasal (4) Perkara 10, apa-apa undang-undang yang diluluskan di bawahnya, peruntukan Bahagian III, Perkara 38, 63(4), 70, 71(1), 72(4), 152, atau 153 atau kepada Fasal ini tidaklah boleh diluluskan tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja.

(6) Dalam Perkara ini "pindaan" termasuklah tambahan dan pemansuhan; dan dalam Perkara ini dan dalam Perkara 2(a) "Negeri" termasuklah mana-mana wilayah.

Perkara 159A. Perjalanan kuat kuasa peruntukan peralihan dalam Akta Malaysia.

Peruntukan Bahagian IV Akta Malaysia (yang mengandungi peruntukan sementara dan peralihan berkaitan dengan perjalanan kuat kuasa Akta itu) hendaklah berkuat kuasa seolah-olah peruntukan itu termaktub dalam Perlembagaan ini, dan hendaklah berkuat kuasa walau apa pun apa-apa jua dalam Perlembagaan ini sebagaimana yang dipinda oleh Akta itu; dan peruntukan Perlembagaan ini, dan khususnya Fasal (1) Perkara 4 dan Perkara 159 dan 161E hendaklah berkuat kuasa berhubung dengan peruntukan Bahagian IV Akta Malaysia dengan sewajarnya.

Perkara 160. Tafsiran.

(1) Ordinan Tafsiran dan Fasal-Fasal Am 1948 [M.U. 7 tahun 1948], sebagaimana yang berkuat kuasa sebaik sebelum Hari Merdeka, setakat yang dinyatakan dalam Jadual Kesebelas, hendaklah terpakai bagi pentafsiran Perlembagaan ini sebagaimana Ordinan itu terpakai bagi mentafsirkan mana-mana undang-undang bertulis mengikut pengertian Ordinan itu, tetapi dengan menggantikan sebutan mengenai Pesuruhjaya Tinggi dengan sebutan mengenai Yang di-Pertuan Agong.

(2) Dalam Perlembagaan ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain, ungkapan-ungkapan yang berikut mempunyai erti sebagaimana yang diberikan dengan ini kepadanya masing-masing, iaitu—

"Akta Parlimen" ertinya undang-undang yang dibuat oleh Parlimen;

"Anggota pentadbiran", berhubung dengan Persekutuan, ertinya seseorang yang memegang jawatan sebagai Menteri, Timbalan Menteri, Setiausaha Parlimen atau Setiausaha Politik dan, berhubung dengan sesuatu Negeri, ertinya seseorang yang memegang sesuatu jawatan yang bersamaan di dalam Negeri itu atau yang memegang jawatan sebagai anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan (selain anggota kerana jawatan);

"Badan Perundangan", berhubung dengan sesuatu Negeri, ertinya pihak berkuasa yang mempunyai kuasa di bawah Perlembagaan Negeri itu untuk membuat undang-undang bagi Negeri itu;

"Cukai" termasuklah impos atau duti tetapi tidak termasuk kadar yang dilevikan bagi maksud tempatan atau fi bagi perkhidmatan yang diberikan;

"Dewan Undangan" ertinya dewan perwakilan, tidak kira bagaimana jua disebut, dalam Badan Perundangan sesuatu Negeri (dan khususnya termasuklah Majlis Negeri di Sarawak), tetapi kecuali dalam Jadual Kelapan termasuklah juga sesuatu Majlis Undangan, tidak kira bagaimana jua disebut;

"Enakmen", jika ungkapan itu terdapat dalam Jadual Kelapan, ertinya undang-undang yang dibuat oleh Badan Perundangan sesuatu Negeri;

"Gabenor" (Dimansuhkan);

"Hak pencen" termasuklah hak persaraan dan hak kumpulan wang simpanan;

"Hari Merdeka" ertinya tiga puluh satu hari bulan Ogos, tahun seribu sembilan ratus lima puluh tujuh;

"Hutang" termasuklah apa-apa liabiliti berkenaan dengan apa-apa obligasi untuk membayar balik wang modal dengan cara anuiti dan apa-apa liabiliti di bawah apa-apa jaminan dan "caj hutang" hendaklah ditafsirkan dengan sewajarnya;

"Jawatan berpendapatan" ertinya apa-apa jawatan sepenuh masa dalam mana-mana perkhidmatan awam, dan termasuklah—

(a) jawatan mana-mana hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Tinggi; dan
(b) jawatan Ketua Audit Negara; dan
(c) jawatan seseorang anggota Suruhanjaya Pilihan Raya, jawatan seseorang anggota (selain anggota ex officio) sesuatu Suruhanjaya yang baginya Bahagian X terpakai, atau jawatan seseorang anggota (selain anggota ex officio) mana-mana Suruhanjaya yang bersamaan yang ditubuhkan oleh Perlembagaan sesuatu Negeri; dan
(d) apa-apa jawatan lain yang tidak dinyatakan dalam Fasal (3) Perkara 132 yang boleh ditetapkan sebagai jawatan berpendapatan melalui Akta Parlimen;

"Jawatankuasa Kaedah" (Dimansuhkan);

"Kadar tempatan" (Dimansuhkan);

"Kekosongan luar jangka" ertinya kekosongan yang berlaku di dalam Dewan Rakyat atau di dalam sesuatu Dewan Undangan selain oleh sebab pembubaran Parlimen atau pembubaran Dewan Undangan itu;

"Ketua Menteri" dan "Menteri Besar" kedua-duanya bererti yang dipertua, tidak kira dengan gelaran apa jua dia dikenali, Majlis Mesyuarat Kerajaan di dalam sesuatu Negeri;

"Majlis Mesyuarat Kerajaan" ertiya Jemaah Menteri atau badan lain, tidak kira bagaimana jua disebut, yang di dalam Kerajaan sesuatu Negeri adalah bersamaan, sama ada anggotaanggotanya ialah Menteri atau bukan, dengan Jemaah Menteri di dalam Kerajaan Persekutuan (dan khususnya termasuklah Majlis Tertinggi di Sarawak);

"Majlis Undangan" (Dimansuhkan);

"Maksud negeri", berhubung dengan mana-mana Negeri, termasuklah maksud Negeri itu berkaitan dengan perkara yang disebut satu persatu dalam Senarai Bersama dan dengan apa-apa perkara lain yang mengenainya Badan Perundangan Negeri itu mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang;

"Maksud persekutuan" termasuklah maksud Persekutuan berkaitan dengan perkara yang disebut satu persatu dalam Senarai Bersama dan dengan apa-apa perkara lain yang mengenainya Parlimen mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang, selain menurut kuasa Perkara 76;

"Meminjam" termasuklah memperdapatkan wang dengan pemberian anuiti atau dengan membuat apa-apa perkiraan yang menghendaki apa-apa cukai, kadar, royalti, fi atau apa-apa bayaran lain dibayar sebelum tarikh genap masanya atau dengan membuat apa-apa perjanjian yang menurutnya Kerajaan kena membayar balik atau memulangkan apa-apa faedah yang telah dinikmatinya di bawah perjanjian itu, dan "pinjaman" hendaklah ditafsirkan dengan sewajarnya;

"Negara asing" tidak termasuk mana-mana bahagian Komanwel atau Republik Ireland;

"Negara Komanwel" ertinya mana-mana negara yang diiktiraf oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai negara Komanwel; dan "bahagian Komanwel" ertinya mana-mana negara Komanwel, mana-mana tanah jajahan, protektorat atau negara naungan atau mana-mana wilayah lain yang ditadbirkan oleh Kerajaan mana-mana negara Komanwel;

"Negeri" ertinya suatu Negeri di dalam Persekutuan;

"Orang asli" ertinya orang asli Semenanjung Tanah Melayu;

"Orang Melayu" ertinya seseorang yang menganuti agama Islam, lazim bercakap bahasa Melayu, menurut adat Melayu dan—

(a) yang lahir sebelum Hari Merdeka di Persekutuan atau Singapura atau yang lahir sebelum Hari Merdeka dan ibu atau bapanya telah lahir di Persekutuan atau di Singapura, atau yang pada Hari Merdeka berdomisil di Persekutuan atau di Singapura; atau
(b) ialah zuriat seseorang yang sedemikian;

"Peguam Negara" ertinya Peguam Negara bagi Persekutuan;

"Pemilih" ertinya seseorang yang berhak mengundi dalam pilihan raya ke Dewan Rakyat atau Dewan Undangan sesuatu Negeri;

"Persekutuan" ertinya Persekutuan yang ditubuhkan di bawah Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957;

"Peruntukan Diraja" ertinya peruntukan yang dibuat daripada wang awam bagi penyaraan Yang di-Pertuan Agong, Isterinya, seseorang Raja atau Yang di-Pertua Negeri;

"Pihak berkuasa awam" ertinya Yang di-Pertuan Agong, Raja atau Yang di-Pertua Negeri sesuatu Negeri, Kerajaan Persekutuan, Kerajaan sesuatu Negeri, pihak berkuasa tempatan, pihak berkuasa berkanun yang menjalankan kuasa yang diletakhakkan padanya oleh undang-undang persekutuan atau Negeri, mana-mana mahkamah atau tribunal selain Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi, atau mana-mana pegawai atau pihak berkuasa yang dilantik oleh atau yang bertindak bagi pihak mana-mana orang, mahkamah, tribunal atau pihak berkuasa itu;

"Raja"—

(a) berhubung dengan Negeri Sembilan, ertinya Yang di-Pertuan Besar yang bertindak bagi pihak dirinya sendiri dan Pembesar-Pembesar Memerintah mengikut Perlembagaan Negeri itu; dan
(b) dalam hal mana-mana Negeri, kecuali dalam Fasal (2) Perkara 181 dan Jadual Ketiga dan Kelima, termasuklah mana-mana orang yang mengikut Perlembagaan Negeri itu menjalankan fungsi Raja Negeri itu;

"Saraan" termasuklah gaji atau upah, elaun, hak pencen, perumahan percuma atau bersubsidi, pengangkutan percuma atau bersubsidi, dan keistimewaan lain yang dapat dinilai dengan wang;

"Senarai Bersama" ertinya Senarai Ketiga yang dinyatakan dalam Jadual Kesembilan;

"Senarai Negeri" ertinya Senarai Kedua yang dinyatakan dalam Jadual Kesembilan;

"Senarai Persekutuan" ertinya Senarai Pertama yang dinyatakan dalam Jadual Kesembilan;

"Undang-undang" termasuklah undang-undang bertulis, common law setakat yang berkuat kuasa di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, dan apa-apa adat atau kelaziman yang mempunyai kuat kuasa undang-undang di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya;

"Undang-undang bertulis' termasuklah Perlembagaan ini dan Perlembagaan mana-mana Negeri;

"Undang-undang Negeri" ertinya—

(a) mana-mana undang-undang sedia ada yang berhubungan dengan sesuatu perkara yang mengenainya Badan Perundangan sesuatu Negeri mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang, iaitu undang-undang yang diteruskan kuat kuasanya di bawah Bahagian XIII; dan
(b) sesuatu undang-undang yang dibuat oleh Badan Perundangan sesuatu Negeri;

"Undang-undang persekutuan" ertinya—

(a) mana-mana undang-undang sedia ada yang berhubungan dengan sesuatu perkara yang mengenainya Parlimen mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang, iaitu undang-undang yang diteruskan kuat kuasanya di bawah Bahagian XIII; dan
(b) apa-apa Akta Parlimen; "Undang-undang yang sedia ada" ertinya mana-mana undang-undang yang berkuat kuasa di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya sebaik sebelum Hari Merdeka;

"Warganegara" ertinya warganegara Persekutuan;

"Yang di-Pertua Negeri" ertinya Ketua Negeri di sesuatu Negeri yang tidak mempunyai Raja.

(3) Melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain, apa-apa sebutan dalam Perlembagaan ini mengenai sesuatu Bahagian, Perkara atau Jadual tertentu ialah sebutan mengenai Bahagian atau Perkara dalam Perlembagaan ini, atau Jadual kepada Perlembagaan ini, apa-apa sebutan mengenai sesuatu bab, fasal, seksyen atau perenggan tertentu ialah sebutan mengenai bab dalam Bahagian, fasal dalam Perkara, seksyen dalam Jadual, atau perenggan dalam fasal atau seksyen, yang dalamnya terdapat sebutan itu; dan apa-apa sebutan mengenai sesuatu kumpulan Perkara, seksyen atau penggal Perkara-Perkara atau seksyen-seksyen hendaklah ditafsirkan sebagai termasuk yang pertama dan yang akhir kedua-duanya sekali dalam kumpulan yang disebut itu.

(4) Jika di bawah Perlembagaan ini seseorang dikehendaki mengangkat dan menandatangani suatu sumpah, maka dia hendaklah dibenarkan mematuhi kehendak itu dengan membuat dan menandatangani suatu ikrar jika dia berhasrat sedemikian.

(5) Sebutan dalam Perlembagaan ini mengenai Persekutuan dan Negeri-Negeri Persekutuan dan mengenai wilayah-wilayah Persekutuan atau wilayah-wilayah mana-mana Negeri Persekutuan, dan mengenai mana-mana pegawai yang memegang jawatan di bawah Persekutuan atau mana-mana pihak berkuasa atau badan di dalam atau bagi Persekutuan hendaklah ditafsirkan—

(a) berhubung dengan bila-bila masa selepas Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 mula berkuat kuasa, dan sebelum Hari Merdeka, sebagai sebutan mengenai Persekutuan yang ditubuhkan di bawah Perjanjian itu, dan Negeri-Negeri dan Negeri-Negeri Selat yang termasuk di dalamnya dan mengenai wilayah-wilayah Persekutuan itu atau wilayah-wilayah mana-mana Negeri atau Negeri Selat yang termasuk di dalamnya, dan mengenai pegawai yang bersamaan yang memegang jawatan di bawahnya atau pihak berkuasa atau badan yang bersamaan di dalam atau bagi Persekutuan itu;
(b) berhubung dengan bila-bila masa sebelum Perjanjian tersebut mula berkuat kuasa (setakat yang dibenarkan oleh konteksnya) sebagai sebutan mengenai mana-mana negara, wilayah, jawatan, pihak berkuasa atau badan yang pentafsiran sebutannya telah dibuat peruntukan oleh Fasal 135(2) Perjanjian tersebut, mengikut mana-mana yang sesuai.

(6) Sebutan dalam Perlembagaan ini mengenai apa-apa tempoh hendaklah ditafsirkan, setakat yang dibenarkan oleh konteksnya, sebagai termasuk sebutan mengenai suatu tempoh yang bermula sebelum Hari Merdeka.

(7) Sebutan dalam Perlembagaan ini mengenai Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 hendaklah ditafsirkan, kecuali jika konteksnya menghendaki makna yang lain, sebagai sebutan mengenai Perjanjian itu sebagaimana yang berkuat kuasa sebaik sebelum Hari Merdeka.

Perkara 160A. Cetakan semula Perlembagaan.

Pihak berkuasa yang dilantik di bawah undang-undang persekutuan bagi maksud menyemak undang-undang boleh, dengan persetujuan Yang di-Pertuan Agong, membenarkan pencetakan salinan Perlembagaan ini, termasuk segala pindaan yang berkuat kuasa pada tarikh kebenaran itu; dan mana-mana salinan Perlembagaan ini yang dicetak sedemikian hendaklah disifatkan bagi segala maksud sebagai salinan yang benar dan betul bagi Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 160B. Teks sahih.

Jika Perlembagaan ini telah diterjemahkan ke dalam bahasa kebangsaan, Yang di-Pertuan Agong boleh menetapkan teks bahasa kebangsaan itu sebagai teks sahih, dan selepas itu, jika ada percanggahan atau perselisihan antara teks bahasa kebangsaan itu dengan teks bahasa Inggeris Perlembagaan ini, teks bahasa kebangsaan itu hendaklah mengatasi teks bahasa Inggeris itu.