Pergi ke kandungan

Perjanjian Umar

Daripada Wikisumber
Perjanjian yang ditandatangani oleh Khalifah Umar ibn al-Khattab bagi mewakili umat Islam, antara beliau dengan Sophronius, Ketua Pendeta Kristian (Patriarch) Baitul Maqdis yang mewakili penganut Kristian Syam setelah Sophronius menyerahkan kuasa pentadbiran Baitul Maqdis kepada beliau.

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Ini adalah apa yang diberikan oleh hamba Allah, Umar ibn al-Khattab, Amir al-Mukminin kepada penduduk Illyaa' mengenai keselamatan yang beliau berikan mereka perlindungan kepada hamba-hamba mereka, wang mereka, gereja-gereja mereka, anak-anak mereka, orang yang hina dan tidak berdosa di kalangan mereka serta saki-baki orang mereka.

Gereja mereka tidak akan diambil, dimusnahkan, dihina atau dikurangkan, begitu juga dengan salib-salib dan wang mereka, dan mereka tidak akan dipaksa menukar agama mereka, tiada seorang pun daripada mereka akan diapa-apakan.

Tiada orang Yahudi yang akan tinggal bersama mereka di Illyaa' dan penduduk Illyaa' dikehendaki membayar jizyah seperti mana penduduk bandar-bandar lain. Mereka juga dikehendaki mengusir orang-orang Rom daripada wilayah mereka; dan sesiapa sahaja dari kalangan penduduk Illyaa' yang berhasrat untuk bertolak bersama-sama dengan orang-orang Rom sambil meninggalkan barang-barang perdagangan dan anak-anak mereka di belakang, maka diri mereka, barang-barang perdagangan dan anak-anak mereka akan dijamin selamat sehinggalah mereka sampai ke tempat tujuan mereka.

Apa yang ada dalam tulisan ini adalah kata-kata Allah, jaminan rasul-Nya, para khalifah dan orang-orang beriman jika mereka membayar jizyah yang dikenakan kepada mereka.

Saksi-saksi perjanjian ini ialah Khalid ibn al-Walid, 'Amr ibn al-'As, Abd al-Rahman ibn Awf dan Muawiyah ibn Abu Sufyan. Ditulis dan dilaksanakan pada tahun 15 (Hijrah)