Perjanjian Madinah
Piagam Madinah
[sunting]Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
Ini ialah penulisan [surat perjanjian] daripada Muhammad kepada orang yang beriman dan beragama Islam yang terdiri daripada kaum Quraisy dan penduduk Yatsrib, orang-orang yang bergabung dengan mereka dan berperang bersama mereka.
Sesungguhnya mereka ialah umat yang satu dan berbeza dengan manusia yang lain.
Kaum Muhajirun yang terdiri daripada orang Quraisy tetap dalam kebiasaan mereka membayar diyat sesama mereka, menebus tawanan mereka dengan cara yang baik dan adil.
Banu Auf tetap dalam kebiasaan mereka membayar diyat sesama mereka seperti dahulu dan setiap kelompok menebus tawanannya dengan cara yang baik dan adil.
Banu Saidah tetap dalam kebiasaan mereka membayar diyat sesama mereka seperti dahulu dan setiap kelompok menebus tawanannya dengan cara yang baik dan adil.
Banu al-Harits tetap dalam kebiasaan mereka membayar diyat sesama mereka seperti dahulu dan setiap kelompok menebus tawanannya dengan cara yang baik dan adil.
Banu al-Najjar tetap dalam kebiasaan mereka membayar diyat sesama mereka seperti dahulu dan setiap kelompok menebus tawanannya dengan cara yang baik dan adil.
Banu Amru ibn Auf tetap dalam kebiasaan mereka membayar diyat sesama mereka seperti dahulu dan setiap kelompok menebus tawanannya dengan cara yang baik dan adil.
Banu Aus tetap dalam kebiasaan mereka membayar diyat sesama mereka seperti dahulu dan setiap kelompok menebus tawanannya dengan cara yang baik dan adil.
Orang beriman tidak boleh membiarkan penghutang [tidak dibantu] dan mereka harus memberinya wang untuk penebusan tawanan atau pembayaran diyat dengan cara yang baik.
Orang beriman tidak boleh bersekutu dengan bekas hamba orang beriman yang lain tanpa melibatkan bekas pemilik hamba itu.
Orang beriman yang bertakwa bersatu dalam menghadapi orang yang menganiayai mereka atau orang yang berlaku zalim atau dosa atau permusuhan atau kerosakan terhadap orang beriman.
Orang beriman tidak boleh membunuh orang beriman yang membunuh orang kafir, dan orang beriman juga tidak boleh membantu orang kafir dalam menghadapi orang beriman yang lain.
Jaminan perlindungan Allah itu satu. Orang yang paling lemah di kalangan mereka akan diberi perlindungan dan sesungguhnya orang beriman ialah pendukung sesama mereka.
Sesiapa dari kalangan bangsa Yahudi yang mengikuti kami berhak mendapatkan pertolongan, kesaksamaan, dan mereka tidak boleh dizalimi dan diperangi.
Perdamaian orang beriman itu satu. Orang beriman tidak boleh berdamai dengan orang selain orang beriman dalam perang di jalan Allah kecuali atas dasar persamaan dan keadilan.
Semua pasukan yang berperang bersama kami datang secara bersilih ganti. Sebahagian orang beriman dibunuh kerana mereka membunuh sebahagian orang beriman yang lain.
Orang beriman yang bertakwa berada pada petunjuk yang paling baik dan lurus.
Orang musyrik tidak boleh melindungi harta orang Quraisy atau jiwa mereka dan tidak boleh berpindah kepadanya untuk menghadapi orang beriman.
Sesiapa yang membunuh orang beriman tanpa dosa dan bukti, dia akan dibunuh kecuali jika keluarga mangsa memaafkannya. Orang beriman bersatu dalam menghadapinya dan mereka harus menegakkan hukum terhadap pembunuh itu.
Orang beriman yang menyetujui apa yang tercatat dalam lembaran perjanjian ini dan yang mengakui Allah dan Hari Akhirat tidak boleh membela pelaku bid'ah dan melindunginya. Sesiapa yang membela pelaku bid'ah atau melindunginya, dia akan dikutuk dan dimurkai Allah pada Hari Kiamat. Penebusannya tidak boleh diterima.
Jika ada perselisihan pendapat dalam sesuatu hal, rujuklah Allah dan Muhammad.
Orang Yahudi mesti membiayai bersama orang beriman jika mereka sama-sama diperangi.
Orang Yahudi Banu Auf satu umat dengan orang beriman. Orang Yahudi dengan agama mereka dan orang beriman denga agama mereka. Hamba-hamba dan jiwa mereka [dilindungi] kecuali orang berlaku zalim dan membuat dosa, dia cumalah membinasakan diri sendiri dan ahli keluarganya.
Orang Yahudi Banu al-Najjar memiliki hak yang sama dengan orang Yahudi Banu Auf.
Orang Yahudi Banu al-Harits memiliki hak yang sama dengan orang Yahudi Banu Auf.
Orang Yahudi Banu Saidah memiliki hak yang sama dengan orang Yahudi Banu Auf.
Orang Yahudi Banu Jusyam memiliki hak yang sama dengan orang Yahudi Banu Auf.
Orang Yahudi Banu Aus memiliki hak yang sama dengan orang Yahudi Banu Auf.
Orang Yahudi Banu Tsa'labah memiliki hak yang sama dengan orang Yahudi Banu Auf kecuali orang yang berbuat zalim dan dosa, dia hanya membinasakan diri sendiri dan ahli keluarganya.
Suku Jafnah yang adalah salah satu suku dalam Banu Tsa'labah, sama seperti mereka.
Orang Yahudi Banu al-Syutaibah memiliki hak yang sama dengan orang Yahudi Banu Auf. Kebaikan mencegah dosa.
Hamba orang Banu Tsa'labah adalah sama seperti mereka.
Keluarga orang Yahudi adalah sama seperti mereka.
Tiada seorang pun daripada orang Yahudi boleh keluar [dari Yatsrib] melainkan dengan keizinan Muhammad.
Sesiapa yang membunuh, maka dia membunuh dirinya sendiri dan keluarganya, kecuali orang yang dizalimi. Allah hendak menolak kezaliman dari dirinya.
Orang Yahudi dikenakan kewajipan kewangan dan begitu juga orang Islam dikenakan kewajipan kewangan. Mereka semua berkewajipan memberikan pembelaan terhadap sesiapa sahaja yang memerangi orang yang mengakui lembaran perjanjian ini. Nasihat dan kebaikan harus dilakukan sesama mereka.
Seseorang tidak boleh berbuat jahat terhadap sekutunya dan pembelaan harus diberikan kepada orang yang dizalimi.
Orang Yahudi wajib membiayai [peperangan] bersama orang beriman jika mereka diperangi.
Yatsrib adalah kota suci bagi sesiapa yang mengakui perjanjian ini.
Jiran tetangga itu seperti jiwa; tidak boleh diganggu dan disakiti.
Kehormatan tidak boleh dilanggar kecuali dengan keizinan pemiliknya.
Jika terjadi sesuatu pertikaian pada orang yang mengakui perjanjian ini yang dikhuatiri akan menimbulkan kerosakan, maka rujuklah Allah dan Muhammad Pesuruh Allah. Allah sangat mampu menjaga perjanjian ini.
Orang Quraisy tidak boleh dilindungi, begitu juga orang-orang yang menolong mereka.
Sesama mereka harus menolong melawan orang yang menyerang Yatsrib.
Jika mereka diajak berdamai dan bersahabat, maka mereka harus berdamai dan bersahabat. Jika mereka diajak kepada hal itu, mereka mempunyai hak ke atas orang beriman kecuali terhadap orang yang memerangi agama.
Setiap orang mempunyai bahagian terhadap mereka sendiri seperti sebelumnya.
Orang Yahudi Banu Aus; hamba-hamba mereka dan jiwa mereka mempunyai hak yang sama dengan orang yang mengakui perjanjian ini, termasuklah berbuat kebaikan kepada orang yang mengakui perjanjian ini. Jika seseorang mengerjakan sesuatu, maka itu adalah untuk dirinya sendiri. Allah membenarkan isi perjanjian ini dan meredhainya.
Sesiapa yang keluar dari Madinah pun aman. Sesiapa yang menetap di Madinah pun aman, kecuali orang yang zalim dan berbuat dosa. Allah melindungi orang yang berbuat kebaikan dan bertakwa. Muhammad ialah Pesuruh Allah.
Sumber: Sirah Nabawiyah Ibnu Hisyam