Pergi ke kandungan

Pemashhoran Kemerdekaan Negara Brunei Darussalam

Daripada Wikisumber

Versi Rumi

[sunting]

Pemashhoran Kemerdekaan Negara Brunei Darussalam

Bismillahir Rahmanir Rahim

Alhamdulillahi Rabbil ‘Alamin, Wassalatu Wassalamu ‘Ala Saiyidina Muhammad Wa ‘ala Alihi
Wasahbihi Ajma‘in.

BAHAWASA-NYA sekarang telah tiba masa-nya bagi Negara Brunei Darussalam mengambil aleh
semula tanggong-jawab antarabangsa dengan sa-chara penoh sebagai sa-buah Negara yang berdaulat
lagi merdeka di-kalangan masharakat negara antarabangsa;

DAN BAHAWASA-NYA Negara Brunei Darussalam ada-lah tidak pernah menjadi tanah jajahan
tetapi mempunyai perhubongan2 perjanjian yang istimewa dengan United Kingdom sejak tahun 1847
dengan mana kemudian pada tahun 1888 telah di-persetujui bahawa perhubongan2 luar negeri
menjadi tanggong-jawab Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Queen bagi
United Kingdom of Great Britain dan Northern Ireland;

DAN BAHAWASA-NYA satu Perlembagaan yang di-gelar Perlembagaan Negeri Brunei, 1959 telah
di-mashhorkan oleh Sultan sa-belum Beta ia-itu Maulana Sultan Sir Muda ‘Omar Ali Saifuddien
Sa‘adul Khairi Waddien ibni Al-Marhum Sultan Jamalul Alam, Sultan dan Yang
Di-Pertuan Negeri Brunei Darussalam yang ka-dua puloh lapan dan menurut-nya-lah Kerajaan
Negara ini di-susun dan ia ada-lah menjadi Undang2 yang tertinggi bagi Kerajaan Negara ini.

DAN BAHAWASA-NYA dengan Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama, 1979 yang telah di-buat
di-antara Beta dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Queen bagi United
Kingdom of Great Britain dan Northern Ireland dan dengan Pertukaran Nota di-antara Beta dengan
Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Queen maka telah di-persetujui
bahawa apa jua kuasa, kewajipan atau tanggong-jawab yang mungkin di-pegang oleh Kerajaan
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Queen terhadap Negara Brunei Darussalam
di-bawah semua triti, perjanjian dan susunan yang terdahulu di-antara Negara Brunei
Darussalam dengan United Kingdom yang bertentangan dengan tanggong-jawab antarabangsa
yang sa-penoh-nya sa-bagai sa-buah negara yang berdaulat lagi merdeka hendak-lah tamat
pada 31 Disember 1983 dan dengan penamatan itu hak dan kuasa Kedaulatan Beta termasuk tanggong-
jawab terhadap urusan2 luar negeri akan kembali kepada Beta sebagai Sultan dan Yang Di-Pertuan
Negara Brunei Darussalam pada Satu haribulan Januari, Seribu Sembilan Ratus Lapan Puloh Empat;

MAKA OLEH YANG DEMIKIAN dengan nama Allah Yang Maha Pemurah dan Yang Maha
Mengasihani, Beta, Sultan Hassanal Bolkiah Mui‘zzaddien Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan
Negara Brunei Darussalam serta sekalian Jajahan Ta‘alok Rantau dan Pesisir-nya, DENGAN INI
MEMASHHOR DAN MENGISHTIHARKAN dengan nama Beta dan bagi pehak diri Beta dan bagi pehak
Pengganti2 Beta dan bagi pehak ra‘ayat Negara Brunei Darussalam bahawa mulai dari Satu
haribulan Januari, Seribu Sembilan Ratus Lapan Puloh Empat Tahun Masehi, bersamaan dengan
Dua Puluh Tujuh haribulan Rabiulawal, Hijrah Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam
Seribu Empat Ratus Empat ia-itu Tahun Yang ka-Tujoh Belas Beta di-atas Takhta Kerajaaan,
Negara Brunei Darussalam ada-lah dan dengan izin serta limpah kornia Allah Subhanahu
Wata‘ala, akan untok sa-lama2-nya kekal menjadi sa-buah Negara Melayu Islam Beraja
yang Merdeka, Berdaulat dan Demokratik bersendikan kepada ajaran2 Ugama Islam menurut Ahlis
Sunnah Waljamaah dan dengan berasaskan keadilan dan amanah dan kebebasan, dan dengan
petunjok serta keredzaan Allah Subhanahu Wata‘ala jua akan sentiasa berusaha pada memperolehi
ketenteraman dan keselamatan, kebajikan serta kebahagiaan bagi ra‘ayat Beta, dan demikian juga
pemeliharaan perhubongan persahabatan di-kalangan antarabangsa atas dasar saling menghormati
terhadap kemerdekaan, kedaulatan, persamaan dan keutohan (kukoh) wilayah bagi semua negara yang
bebas dari champur tangan dari luar negeri.

Barang di-rahmati Allah Subhanahu Wata‘ala dan di-berkati Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi
Wasallam akan Negara Brunei Darussalam kekal sa-lama2-nya. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.

Di-mashhorkan di-Banda Seri Begawan pada Satu haribulan Januari, Seribu Sembilan Ratus Lapan Puloh Empat
Tahun Masehi, bersamaan dengan Dua Puloh Tujoh haribulan Rabiulawal, Hijrah Nabi Muhammad Sallallahu
‘Alaihi Wasallam Seribu Empat Ratus Empat ia-itu Tahun yang ka-Tujoh Belas Beta di-atas Takhta Kerajaan
Negara Brunei Darussalam.

[Mohor]

[Tandatangan]

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM