Dengan syarat Isteri Waris itu seorang Melayu beragama Islam bermazhab Ahlu 's Sunnah wal Jamaah, yang berkahwin dengan Waris itu mengikut Hukum Syarak dan undang-undang yang berjalan kuasa pada masa perkahwinan itu.
(3) "Ampuan Mahkota" hendaklah terhak mendapat elaun, yang akan dikenakan daripada Kumpulan Wang Yang Disatukan yang hendaklah ditetapkan dengan ketetapan Dewan Negeri, dan elaun itu hendaklah berpadanan dan berpatutan bagi memeliharakan martabat kebesarannya yang hendaklah tidak kurang daripada satu perlima daripada elaun Tengku Mahkota.
(4) Sekiranya berlaku kemangkatan Waris maka gelaran isterinya itu hendaklah bertukar dengan sendirinya daripada "Ampuan Mahkota Kelantan" kepada "Ampuan Mahkota (nama tubuh) dan jikalau berlaku perceraian hidup, maka gelaran itu hendaklah terlucut dengan sendirinya:
Dengan syarat kiranya lucut gelaran disebabkan oleh perceraian hidup, maka elaun boleh ditimbang semula oleh Dewan Negeri.
Mengadakan gelaran Bendahara, Temenggong, Laksamana, Panglima, dan lain-lain pangkat dan gelaran yang biasa dipakai dahulu
44. (1) Kebawah Duli Yang Maha Mulia mempunyai hak mengada, melantik, dan menggelar daripada kerabatnya sama ada yang jauh atau yang dekat, seorang lelaki menjadi Bendahara atau Temenggong, atau Laksamana atau Panglima dan mengkurniakan kepada mana-mana orang lain, sama ada Kerabat D'Raja atau lainnya, akan mana-mana gelaran yang pada zaman dahulu telah ada atau telah biasa dipakai dalam Negeri Kelantan.
(2) Di dalam mana-mana perkara yang seumpama itu maka Kebawah Duli Yang Maha Mulia hendaklah menyelesai dan menentukan pada masa pelantikan akan pangkat, kedudukan, pekerjaan dan kewajipan, jika ada, bagi orang itu dan sama ada gelaran yang dikurniakan itu akan jadi turun temurun atau tidak:
Dengan tidak mengendahkan mana-mana pendapatan sama ada daripada hartanya sendiri atau daripada yang lain, maka hendaklah dikurniakan akan elaun yang berpatutan dan berpadanan, mengikut kadar yang akan ditetapkan dengan ketetapan Dewan Negeri