Majlis Mesyuarat Kerajaan
16. (1) Kebawah Duli Yang Maha Mulia hendaklah melantik sebuah Majlis Mesyuarat Kerajaan.
(2) Majlis Mesyuarat Kerajaan hendaklah dilantik mengikut seperti yang tersebut di bawah ini, iaitu –
- (a) Ke bawah Duli Yang Maha Mulia hendaklah mula-mula sekali melantik sebagai Menteri Besar untuk mengetuai Majlis Mesyuarat Kerajaan iaitu seorang daripada ahli Dewan Negeri yang mengikut tilikannya harus mempengaruhi kepercayaan sebilangan besar daripada ahli-ahli Dewan itu;
- (b) Baginda dengan nasihat Menteri Besar hendaklah melantik tidak lebih daripada sepuluh orang dan tidak kurang daripada empat orang ahli-ahli lain daripada ahli-ahli Dewan Negeri; dan
- (c) Baginda dengan nasihat Menteri Besar, hendaklah melantik seorang ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan menjadi Timbalan Menteri Besar yang hendak menolong Menteri Besar pada menjalankan kuasa-kuasanya dan menunaikan kewajipan-kewajipannya dan, dengan perintahan-perintahan daripada Menteri Besar, hendaklah ia menjalankan kuasa-kuasa itu dan menunaikan kewajipan-kewajipan Menteri Besar itu,
tetapi kalau pelantikan itu diperbuat apakala Dewan Negeri itu dibubarkan, seseorang yang telah menjadi ahli Dewan Negeri yang lepas bolehlah dilantik tetapi hendaklah tidak terus memegang jawatan kemudian daripada persidangan yang pertama bagi Dewan Negeri yang akan datang melainkan ianya menjadi ahli daripadanya.
(3) Dengan tidak mengendahkan apa-apa di dalam Perkara ini, seseorang yang menjadi warganegara diberi jalan permohonan ataupun daftaran menurut [1]Perkara 17 dalam Perlembagaan Persekutuan hendaklah tidak dilantik menjadi Menteri Besar.
- ↑ CATATAN-Perkara ini telah dipotong oleh Akta Perlembagaan (Pindaan) 1962 [Akta 1411962] mula berkuat kuasa pada 1 Julai 1963.